Setiap kali memikirkan destinasi penginapan di dalam negeri, anda perlukan masa untuk mencari penginapan yang selesa dan berbaloi. Mulai dengan memeriksa harga di pelbagai agen pelancongan seperti Agoda, melihat review di blog-blog peribadi dan Trip Advisor, hingga memeriksa lokasi penginapan di Google Maps dan menyesuaikannya dengan jadual yang telah disusun.
Lokasi penginapan yang dekat dengan pengangkutan awam ini sering kali jadi keutamaan kerana mudah bergerak ke mana-mana sekitar Kuala Lumpur
Bagi yang ingin merasai pengalaman sebenar tinggal di Kuala Lumpur, Hotel The Kuala Lumpur Journal harus menjadi pilihan. Lokasinya cukup strategik di mana terletak di persekitaran Bukit Bintang. Hotel berkonsep butik ini direalisasikan bagi memenuhi keperluan pelancong independent, mahupun pelancong berkumpulan yang mencari alternatif selain menginap di hotel standard yang biasa boleh ditemui di pusat bandar itu.
Sesuai dengan konsep hotel, KL Journal menyerlahkan gaya seni bina Malaysian Mid-century Modernist melalui pengaruh seni deco, gril hiasan dari besi tempa yang biasanya dilihat di dalam seni bina Asia Tenggara, lampu rigged, permukaan logam dan kayu. Malah, budaya tempatan ditonjolkan melalui classic KL Iconography dan memorabilia yang dibentangkan di setiap bilik king dan twin deluxe serta lapan suite sudut.
Ruang bilik menampilkan inspirasi potret hitam putih kehidupan karya Che’ Ahmad Azhar, seorang jurugambar jalanan terkenal yang mempamerkan koleksi visual 20 gambar-gambar Kuala Lumpur digunakan untuk hotel. Hotel yang mempunyai 112 bilik ini diberi sentuhan palet warna natural. Tingkap besar terbina dari lantai hingga siling membolehkan tetamu menikmati kawasan persekitaran di sepanjang masa. Tambah selesa apabila tidur anda bertemankan tilam ergonomik dan high thread count sheets, lena diulit mimpi.
Tetamu masih boleh berhibur meski hanya memilih untuk santai di dalam bilik. Bertemankan skrin rata 40 inci dengan kabel HDMI dan port caj USB, sambungan bluetooth tanpa wayar ke sistem audio stereo berkualiti tinggi menawarkan pengalaman menonton yang memuaskan hati.
Melengkapi standard KL Journal sebagai sebuah hotel sempurna, kolam renang air masin direka di aras bumbung dengan pemandangan hebat ke arah bandar terutamanya pada waktu senja, selain itu turut menyediakan gimnasium untuk tetamu hotel yang gemar melakukan aktiviti fizikal dan seumpamanya.
KL Journal dikatakan hotel ideal untuk merasai kehidupan Kuala Lumpur dengan suasana retro moden dan diinspirasikan persekitaran asli tempatan. Rasai pengalaman menginap di sini.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Port Nature Anda Boleh Lepak Di Selangor. Aktiviti Kat Situ Pun Best!
Selangor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan eko yang menarik bagi penggemar aktiviti sukan lasak dan penggemar alam semula jadi.
Apa kata, luangkan masa senggang anda dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar dilokasi seperti berikut:
- FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM), KEPONG
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
- TAMAN EKO RIMBA KANCHING
Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar. Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
- SKYTREX SUNGAI CHONGKAK, HULU LANGAT
Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih. Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
- BUKIT BROGA, HULU LANGAT
Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
- WHITE WATER RAFTING, HULU SELANGOR
Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang. Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
- WATER TUBING, HULU SELANGOR
Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai. Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju.
Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30. Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
- TAMAN ALAM KUALA SELANGOR
Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam. Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia.
Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun. Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
- 4X4 ADVENTURE TERATAK RIVERVIEW, HULU SELANGOR
Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta. Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
- PARAGLIDING (BUKIT JUGRA, KUALA LANGAT & BUKIT BATU PAHAT, HULU SELANGOR)
Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor. Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara.
Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Jom cuti-cuti di Selangor~
Foto & Sumber: Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bercuti Ke Tokyo Tak Pernah Boring. Ni 25 Lokasi Orang Kita Suka Singgah
Negara matahari terbit atau Jepun dikenali seluruh dunia mempunyai sebuah bandar raya yang begitu dinamik. Tokyo merupakan ibu negara Jepun menjadi salah satu kuasa ekonomi teratas dunia hasil arus pemodenan yang begitu maju.
Walaupun nilai matawang di Jepun agak tinggi, namun Jepun tetap menjadi pilihan lokasi impian untuk pelancong dari Malaysia. Di Tokyo, bangunan pencakar langit melitupi muka buminya dan papan-papan iklan digital berserta sinaran lampu neon menerangi setiap pelosok bandar raya itu. Tokyo juga dikatakan antara bandar raya yang tidak pernah ‘tidur’. Pelbagai aktiviti dan bermacam lokasi menarik boleh anda lawati tanpa jemu.
Antaranya:
Tokyo Tower
Di Jepun memang banyak lokasi menarik. Sampai tidak tahu ke mana yang perlu pergi dulu untuk melawat. Apa kata buka langkah pertama untuk ke Tokyo Tower.
Dari menara ‘Eiffel Jepun’ ini dengan ketinggian 333 meter ini anda dapat melihat dengan sepuas hati pemandangan di sekitar bandar Tokyo. Kalau cuaca baik, anda dapat melihat Gunung Fuji dan juga Tokyo Skytree di kejauhan.
Tokyo Disneyland & DisneySEA
Tokyo Disneyland dan DisneySEA tidak perlu diperkenalkan lagi jika berada di Tokyo. Kedua-dua taman tema ini di bawah label yang sama iaitu Disney, tetapi keseronokan yang ditawarkan agak berbeza. Dua-dua taman ini terletak di dalam Tokyo’s Disney Resort. Di Disneyland, tarikan utamanya adalah Big Thunder Mountain.
Manakala di DisneySEA pula adalah Toy Story Mania.
National Museum of Nature & Science
National Museum of Nature & Science adalah muzium sains yang terbesar di Jepun. Terdapat lebih daripada 10,000 bahan pameran dipamirkan untuk tontonan pengunjung. Koleksi pameran yang ada merangkumi pelbagai aspek seperti dunia angkasa lepas, dinasour, ekosistem unik di Jepun dan teknologi-teknologi terbaru di dunia.
Selain pameran, pengunjung juga boleh mencuba segala bahan interaktif yang disediakan iaitu melakukan eksperimen sendiri menggunakan magnet, cahaya dan elektrik. Terdapat juga sebuah teater 360 darjah yang cukup mengujakan!
Ueno Park & Zoo
Ueno Park & Zoo adalah zoo yang tertua di Jepun, dibuka pada tahun 1882, zoo yang dikelilingi taman indah ini berkeluasan 35.2 ekar. Terdapat lebih kurang 3,000 ekor haiwan yang terdiri daripada 400 spesies berbeza. Zoo ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Tiger Forest, Gorilla Woods, Petting Zoo, Small Mammal House, Reptile & Amphibian House dan Shinbazu Pond.
Shibuya Crossing
Shibuya Crossing adalah kawasan yang cukup simbolik untuk pelancong terjah jika berada di Tokyo. Lokasi ini juga pernah menjadi tempat pergambaran bagi filem aksi Hollywood terkenal iaitu The Fast and The Furious: Tokyo Drift dan Lost in Translation. Shibuya Crossing sangat sesuai untuk pelancong mengambil gambar berlatar belakangkan bangunan ikonik dan sebagai tanda yang anda pernah berada di Tokyo.
Lokasi ini sangat padat dengan orang ramai kerana terletaknya sebuah stesen yang paling sibuk di bandar ni, Shibuya Station.
Senso Ji
Senso Ji adalah sebuah tokong Buddha tertua dibina pada tahun 645 terletak di Asakusa. Tokong ini merupakan antara tempat penyembahan yang paling berwarna-warni dan terkenal di Tokyo.
Yayoi Kusama Museum
Yayoi Kusama Museum adalah sebuah muzium yang didedikasikan untuk seorang seniman Jepun yang cukup terkenal dengan rekaan designnya yang bermotifkan polka dot. Yayoi Kusama merupakan seorang wanita yang dilahirkan pada tahun 1929 di Nagano.
Beliau telah mula melukis sejak kecil lagi dan apa yang dihasilkannya merupakan corak-corak yang terbayang di fikirannya sendiri. Bukan calang-calang, ketika berusia 27 tahun, beliau telah berpindah ke US dan berjaya mencipta nama di sana.
Salah satu karyanya yang pernah terjual adalah bernilai 7.1 juta pada tahun 2014, ini juga merupakan bayaran tertinggi pernah diterima untuk seorang karyawan wanita yang masih hidup.
Shinjuku Gyoen National Garden
Shinjuku Gyoen National Garden adalah salah satu taman yang paling besar dan terkenal di Tokyo. Shinjuku Gyoen National Garden wujud sejak zaman Edo (1603-1867) merupakan penempatan para bangsawan. Kawasan ini kemudiannya dijadikan taman botani sebelum diberikan kepada keluarga Diraja pada tahun 1903. Ketika Perang Dunia ke-2, taman ini hampir musnah lalu telah dibaik pulih sebelum dibuka kepada orang awam pada tahun 1949.
Shinjuku Gyoen National Garden dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu Taman Lanskap Jepun, Taman Perancis dan Taman Lanskap Inggeris.
Hachiko Statue
Hachiko Statue merupakan tugu seekor anjing begitu setia bernama Hachiko. Hachiko dahulunya merupakan haiwan peliharaan seorang profesor. Setiap hari, Hachiko akan menyambut tuannya pulang dari kerja di Shibuya Station. Namun selepas kematian tuannya pada tahun 1925, Hachiko tetap meneruskan rutin harian datang ke stesen itu selama 10 tahun lamanya dengan harapan dapat bertemu kembali tuannya.
Selepas kematiannya, penduduk di situ membina sebuah tugu memperingati Hachiko si setia. Kisahnya menjadi lagenda bagi masyarakat di Jepun sehingga menjadi buah mulut masyarakat dunia yang cintakan haiwan.
Sanrio Puroland
Bagi peminat tegar Hello Kitty, ini adalah taman tema indoor khas buat anda. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah Mymeroad Drive, Sanrio Character Boat Ride, Hello Kitty Bell of Happiness dan banyak lagi!
Jika perut berasa lapar, terdapat sebuah kafe yang menyediakan menu mengikut tema taman tema ini. Jangan lupa juga untuk membeli buah tangan di kedai cenderamata untuk di bawa pulang.
Don Quijote
Don Quijote merupakan premis menjual pelbagai barangan yang menarik denga harga yang murah. Jika di Malaysia, Don Quijote boleh dianggap seperti Daiso atau Mr. DIY.
Paling ‘best’ banyak cawangan kedai Don Quijote ini disekitar Jepun dan dibuka 24 jam setiap hari.
Nakameguro
Nakameguro cukup terkenal di Tokyo kerana kehadiran Meguro River yang dikelilingi oleh pokok Sakura yang cukup indah. Di sepanjang sungai ini terdapat banyak kedai cederamata juga kafe untuk pengunjung bersantai.
Jika anda bertuah, anda juga berpeluang melihat selebriti bersiar-siar di kawasan ini kerana ramai daripada mereka memilih untuk tinggal di kawasan berhampiran jalan ini.
The Meiji Shrine
The Meiji Shrine adalah sebuah tokong yang didekasikan untuk Maharaja Meiji dan Maharani Shoken. Lokasinya adalah bersebelahan sahaja dengan Stesen Harajuku.
The Meiji Shrine yang siap dibina pada tahun 1920 ini sebenarnya pernah musnah ketika Perang Dunia Kedua, namun telah dibina semula.
Tokyo National Museum
Tokyo National Museum telah dibina di Yushima Seido Shrine pada tahun 1972, namun dipindahkan ke lokasi sekarang beberapa tahun kemudian. Muzium ini menempatkan antara koleksi arkeologi dan seni yang terbaik di Jepun.
Bangunan utamanya, Honkan, mempamerkan pelbagai hasil seni Jepun sejak zaman kuno hinggalah ke abad ke-19.
Yoyogi Park
Yoyogi Park pernah dijadikan sebagai lokasi Olympic Village ketika Olimpik Tokyo pada tahun 1964. Yoyogi Park merupakan taman besar yang membenarkan orang awam untuk berkelah bersama teman dan keluarga tersayang.
Setiap musim dan cuaca di Jepun akan memberikan pemandangan Yoyogi Park yang berlainan. Paling menjadi kegemaran ramai untuk berkumpul di sini adalah ketika musim bunga sakura.
Tokyo Skytree
Tokyo Skytree adalah bangunan menara penyiaran dan juga mercu tanda di Tokyo dengan ketinggian 634 meter. Pengunjung berpeluang naik ke bahagia dek pemerhati pada ketinggian 350 hingga 450 meter untuk melihat pemandangan sekitar bandar Tokyo yang indah.
Edo Museum
Edo Museum berkaitan masa lalu Tokyo, dari zaman Edo hinggalah sekarang. Ia mempamirkan seni bina Zaman Edo, warisan budaya, gaya hidup masyarakat, perubahan politik dan banyak lagi berdasarkan daripada model-model bersaiz mini dan juga bersaiz sebenar yang terdapat di sini.
Nakamise Shopping Street
Nakamise Shopping Street adalah sebuah laluan membeli-belah yang berkepanjangan 800 kaki di sepanjang perjalanan menuju ke tokong tertua di Tokyo, Sensoji Temple. Terdapat sekitar 90 buah kedai yang menjual bermacam barangan dan cenderamata.
Harajuku
Harajuku adalah sebuah kawasan di sekitar Harajuku Station di Tokyo yang terletak di antara Shinjuku dan Sibuya di Yamanote Line. Harajuku terkenal dalam kalangan remaja sebagai pusat fesyen atau trend terkini.
Kawasan yang menjadi tumpuan utama di sini adalah Takeshita Dori (Takeshita Street) yang mana di sepanjang jalannya terdapat banyak kedai-kedai trendy, dari fesyen hinggalah makanan.
Imperial Palace & East Garden
Imperial Palace & East Garden adalah sebahagian daripada ruang dalam istana yang dibuka kepada orang awam. Pada awalnya, lokasi Imperial Palace & East Garden ini adalah tapak asal untuk bulatan pertahanan utama istana Edo iaitu ‘honmaru’ dan ‘ninomaru’.
Ginza
Pada awalnya, Ginza merupakan sebuah tapak pelombongan, ianya mula dibangunkan selepas kejadian gempa bumi pada tahun 1923. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah mall terbesar di Ginza iaitu Ginza Six, mall Ginza Wako, Mitsukoshi, Itoya dan banyak lagi! Nak membeli-belah barangan berjenama di sini adalah tempat yang anda boleh tuju.
Akihabara
Akihabara atau nama lainnya Akiba adalah sebuah daerah di tengah-tengah kota Tokyo yang terkenal dengan kedai menjual barangan elektronik. Di sini juga terdapat banyak kedai-kedai khas untuk peminat-peminat anime dan manga.
Kabukiza Theater
Teater Kubukiza adalah sebuah simbol yang ikonik di Ginza sejak daripada awal pembukaannya pada tahun 1889. Setiap hari di sini menawarkan pelbagai persembahan teater untuk ditonton dengan bayaran tertentu.
Di sini juga menempatkan galeri yang mempamerkan kostum dan banyak lagi pameran yang berkaitan dengan budaya. Alang-alang datang negara orang, sayang kalau tidak mengambil peluang untuk datang ke sini.
Yanesen
Kalau tercari-cari lokasi untuk rasa dekat dengan penduduk tempatan Jepun yang sebenar boleh ke Yanesen. Yanesen merupakan kawasan kejiranan yang meliputi Yanaka, Nezu dan Sendagi, nama ‘Yanesan’ ni adalah berdasarkan daripada sebutan awalan nama bagi ketiga-tiga kawasan ni.
Terdapat banyak bangunan-bangunan lama dari zaman Edo yang masih kukuh berdiri di sini.
Pokemon Center Mega Tokyo
Pokemon Center Mega Tokyo adalah premis menjual barangan Pokemon yang terbesar di Jepun! Terdapat banyak barangan pokemon edisi terhad di sini dan tidak dapat di tempat lian.
Selain barangan jualan, di dalam Pokemon Center Mega Tokyo ini turut terdapat permainan arcade untuk pelanggan cuba.
Macam mana? Ada rasa macam nak ke Tokyo, Jepun tak?
Sumber: Maisinggah
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tenang & Indah, Masjid Iktikaf Ibadul Rahman, Tumpat. Inspirasi Senibina Istana Balai Besar Kelantan
Selain berpuasa di siang hari sepanjang Ramadan, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadat dan juga memeriahkan masjid-masjid sepanjang bulan ini. Hadirkan diri ke masjid untuk berterawih, iktikaf dan juga solat-solat wajib yang lain bagi menghidupkan suasana Ramadan yang datang setahun sekali ini.
Bagi yang berada di Kelantan, atau pengembara yang melawat ke Kelantan, kalau berkesempatan jangan lupa singgah di Masjid Iktikaf Ibadul Rahman di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat. Masjid ini dibina dengan keaslian senibina negeri Cik Siti Wan Kembang termasuk ciri-ciri senibina Istana Balai Besar Kelantan.
Masjid yang memakan masa selama dua tahun untuk siap dibina ini menggunakan 80 peratus kayu jenis seraya kitam dan seraya merah manakala 20 peratus lagi kayu Chengal dan Merbau yang diperoleh dari Kelantan dan Terengganu.
Menurut pemilik masjid ini, Mohd Arpi Arifin, 45, Idea untuk membina masjid ini tercetus apabila melihat ukhwah kejiranan di sekitar kampung ini semakin suram. Memandangkan peranan masjid penting dalam pembangunan masyarakat disamping mengekalkan tradisi dan semangat kejiranan penduduk kampong, beliau berharap masjid ini dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat.
Berkeluasan lebih 304 meter persegi, masjid ini boleh memuatkan kira-kira 80 jemaah pada satu-satu masa dan dibahagikan kepada ruang solat termasuk untuk jemaah lelaki serta wanita, manakala bahagian beranda dijadikan tempat untuk mengadakan majlis atau jamuan.
Antara nilai estetika kesenian melayu Kelantan yang dikekalkan menerusi pembinaan masjid berkenaan termasuklah pemeleh, tebar layar, ekor itik, tunjuk langit, dinding janda berhias dan sebagainya.
“Nilai-nilai estetika ini menjadi karakter kuat dalam senibina rumah-rumah traditional Kelantan selain ia juga dapat dilihat di rumah-rumah lama seperti sisip angin bagi memudahkan pengudaraan dan juga eksesori yang terdapat pada bumbung terutamanya ekor itik,” jelas Mohd Arpi.
Memang cantik dan penuh nilai kesenian, selesa dan tenang untuk beribadah!
Sumber: BERNAMA
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI