Masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai peraturan terhadap cecair, gel dan aerosol yang dilarang daripada dibawa masuk ke dalam pesawat sewaktu penerbangan. Kalau kita tanya sesiapa yang berkerja sebagai aviation security (AVSEC) di lapangan terbang seperti KLIA atau KLIA2, mereka boleh katakan setiap hari ada berpuluh bahan larangan yang dirampas daripada penumpang. Jadi jom kita ambil tahu serba sedikit mengenai larangan ini sebelum anda menanggung kos kerugian akibat barang dirampas AVSEC.

Daripada mana datang peraturan ni?

Sebelum kita terus membaca lebih lanjut, jom kita ambil tahu apa rasionalnya peraturan ni. Secutiry Regulation On Hand Luggage For International Bound Passengers ni sebenarnya dah berkuatkuasa pada 21 Mei 2007, yang mana ia menurut saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) – semua penumpang yang menaiki penerbangan antarabangsa ke dan dari KLIA akan diperiksa untuk mengesan cecair, gel atau aerosol yang boleh digunakan di dalam alat letupan reka ganti.

Nampak macam simple je kan cecair, gel atau aerosol ni kan? Tapi MacGyver boleh tukar benda tu jadi bom. So sebab itu la peraturan ini dikuatkuasakan.

Siapa yang tertakluk kepada peraturan ni?

Okay, panduan daripada laman sesawang KLIA jelas menyatakan semua penumpang antarabangsa yang berlepas atau transit (menukar penerbangan) menaiki penerbangan komersial (termasuk penerbangan carter) di semua lapangan terbang antarabangsa di Malaysia tertakluk kepada peraturan ini.

Selain daripada itu, peraturan ini juga tertakluk kepada semua penumpang yang akan menaiki pesawat antarabangsa yang berlepas di lapangan terbang domestik di Malaysia.

Faham? Ke tak faham? Maksud dia, apa sahaja penerbangan ke luar negara, tak kisah menaiki apa-apa jenis pesawat yang akan terbang dari mana-mana lapangan terbang dalam Malaysia akan tertakluk kepada peraturan ini.

Tapi, tak akan tak ada kelonggaran?

Ada. Ada kelonggaran yang diberikan kepada penumpang. Hanya bekas cecair, gel atau aerosol tidak melebihi 100ml setiap satu dibenarkan dan dikehendaki dibawa dalam beg plastik boleh tutup semula dengan kapasiti maksimum tidak melebihi 1 liter.

Ini contoh container yang dibenarkan dibawa ke dalam kabin pesawat.

Beg plastik ini mesti diberikan kepada AVSEC secara berasingan daripada bagasi tangan dan barangan lain untuk diperiksa menggunakan X-ray. Untuk cecair, gel atau aerosol yang dibeli daripada kedai lapangan terbang atau kawasan bebas cukai, barangan itu mesti diletakkan dalam beg plastik Security Temper-Evident Bags (STEBs) dan resit mesti dilampirkan sebagai bukti pembelian.

Jadi apa persediaan yang perlu kita buat sebelum ke lapangan terbang?

Okay, anda boleh bawa barangan cecair, gel atau aerosol tetapi dalam kuantiti kecil sahaja. Kalau lebih daripada 100ml setiap satu, barangan tersebut akan dirampas dan dibuang. So be prepared ya. Cecair, gel dan aerosol yang dibenarkan dalam kabin pesawat hanya menggunakan plastik kecil, lutsinar dan boleh ditutup semula berukuran 20.5 cm x 20.5 cm, 25 cm x 15 cm atau 21 cm x 17.5 cm.

Cecair, gel atau aerosol yang lain anda boleh simpan dalam bagasi di ruang kargo sahaja. Tak perlu bawa naik ke ruang kabin. Beg pun ringan, nak buat apa bawa berat-berat kan? Untuk kes ubat-ubatan, makanan bayi atau susu dan keperluan makanan khas yang diperlukan adalah dibenarkan, tidak perlu beg lutsinar tetapi mesti disahkan oleh AVSEC terlebih dahulu.

Apa item yang dianggap cecair, gel dan aerosol?

Item yang dianggap cecair adalah air, minuman, sup, sirap, jus dan minuman lain, gel rambut, gel mandian, ubat gigi, maskara, pengilat bibir, krim, losen, minyak, minyak wangi, semburan, campuran cecair atau pepejal, kandungan bekas bertekanan termasuk busa cukur atau deodoran, aerosol dan barangan lain dengan konsistensi yang seakan-akan sama.

Apa bentuk ubat-ubatan atau barangan makanan khas yang boleh dibawa dalam bagasi tangan?

Okay, barangan makanan khas seperti makanan bayi berbentuk cecair atau makanan untuk penghidap diabetes atau ubat-ubatan yang penting semasa penerbangan seperti sembutan gidung, ubat titis mata atau insulin dibolehkan untuk dibawa ke ruang kabin pesawat.

Sekiranya terdapat keraguan daripada AVSEC, penumpang perlu mengemukakan dokumen berkaitan bahawa mereka perlu membawa item tersebut bersama-sama di dalam bagasi tangan untuk perjalanan berkenaan.

Macam mana dengan barangan bebas cukai? Adakah dibenarkan dibawa di dalam bagasi tangan?

Bagi barangan bebas cukai, ia dibenarkan untuk di bawa di dalam bagasi tangan tetapi dengan syarat ia dibeli di kedai bebas cukai yang terletak di lapangan terbang atau di dalam pesawat. Penumpang juga mempunyai resit sebagai bukti pembelian dan ia dibawa dalam beg plastik kedap STEBs.

Bolehkah penumpang yang memulakan perjalanan mereka di luar Malaysia dan menaiki penerbangan sambung membawa cecair di dalam bagasi tangan mereka?

Boleh. Masih boleh jika penumpang transit yang tiba itu mematuhi peraturan dan prosedur baharu daripada ICAO untuk sekatan cecair, gel atau aerosol.

So itu antara peraturan yang anda semua perlu tahu kalau membawa sebarang bahan cecair, gel dan aerosol untuk menaiki sebarang penerbangan. Jadi tak adalah lepas ni beli barang bagai nak rak, sekali nak naik kapal terbang tak lepas. Dah barang itu dirampas dan dibuang.

Tips mudah yang libur boleh bagi, ingat satu je. Letak semua bahan-bahan cecair, gel atau aerosol dalam bagasi di ruang kargo. Senang, tak payah pening kepala. Kalau bawa bayi, keluarkan dan bawa makanan untuk bayi sahaja. Kalau sakit, bawa ubat sahaja ke ruang kabin pesawat. Tak perlu la bawa minyak wangi dan sebagainya ke ruang kabin, bukan nak ke mana-mana pun dalam tu. Hehehe.

Sumber: www.klia.com.my

Tinggalkan Komen