• 30
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    30
    Shares

Empangan Bakun ialah empangan hidroelektrik merentasi Sungai Balui di Sarawak, Malaysia. Empangan ini dapat menjana 2,400 MW tenaga elektrik. Dahulu mendapat tentangan hebat dari masyarakat tempatan di kawasan ditenggelami air.

Foto: bakunparadise.wordpress.com


Fakta menarik Empangan Bakun

  1. Bakun empangan terbesar di Malaysia, dan antara terbesar di Asia, selain beberapa empangan yang lebih besar di negara China.
  2. Empangan Bakun empangan jenis CFRD yang ke-4 tertinggi di dunia dengan ketinggian 205 m.
  3. Tasik Bakun menjadi tasik terbesar di Malaysia (mengikut isipadu dan juga luas permukaan).
  4. Kedalaman tasik sekitar 100-200 meter
  5. Stesen jana kuasa Bakun menjadi penjana elektrik terbesar di Malaysia, mengatasi Empangan Pergau.
  6. Talian penghantar bawah laut Bakun menjadi yang terpanjang di dunia, mengatasi talian penghantar dari Norway ke Belanda.
  7. Empangan Bakun yang ke 44 tertinggi didunia 205 m (673 kaki).
  8. Saiz Empangan Bakun lebih besar daripada Singapura.
  9. Empangan Bakun terhasil dari beberapa sistem sungai antaranya Sungai Majoh, Sungai Belepeh, dan Sungai Balui lalu menjadi Sungai Rajang.
  10. Sebelum aliran sampai Empangan Bakun, aliran lalui satu lagi empangan, iaitu Empangan Hidroelektrik Murum yang mengempang Sungai Luar serta Sungai Plieran. Jarak antara kedua-dua empangan sekitar 60-123km mengikut jalan dilalui.
  11. Empangan Bakun adalah hak milik mutlak Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Video pelepasan air di Empangan Bakun

 

Sejarah projek
Cubaan pertama
Kerja ukur tanah dimulakan pada tahun 1960-an dan kajian diteruskan pada tahun 1980-an. Kajian merangkumi pelan induk dan upaya bina, kajian batuan dan tanah, kajian janaan hidro, reka bentuk empangan, kajian alam sekitar dan sosioekonomi dan kajian talian penghantar.

Projek ini telah dimulakan pada 1986, tetapi dihentikan pada 1990 berdasarkan unjuran merosot kegunaan elektrik disebabkan kemelut ekonomi 1985 dan keputusan membangunkan dahulu industri gas asli.

Cubaan kedua
Projek ini diteruskan semula oleh YAB Mahathir Mohamad pada 1993. Pada Januari 1994, projek ini diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usahasama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad. Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Beberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.
Projek terhenti akibat kemelut ekonomi 1997.

Cubaan ketiga
Pada Mei 2000, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih projek dengan membeli kepentingan Bakun Hydroelectric Corporation, dan meneruskan projek melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Hidro Sdn Bhd. Hanya pembinaan Empangan Bakun diteruskan dan kerja pembinaan ditawarkan melalui kontrak “turnkey”. Pembinaan talian penghantar bawah laut tidak akan dilaksanakan.

Kontraktor baru ialah Malaysia-China Hydro JV Consortium, iaitu syarikat usahasama Sime Engineering Berhad, iaitu anak syarikat Sime Darby Berhad dan Sino-Hydro Corporation dari China. Rakan kongsi kecil yang lain ialah WCT Berhad, MTD Capital Berhad, Ahmad Zaki Resources Berhad, Syarikat Ismail Berhad dan Edwards & Sons Berhad. Tarikh siap ditetapkan pada September 2007. Harga kontrak sivil ialah RM 1.8 bilion. Kerja elekromekanikal diberi pada satu kontrak kepada IMPSA dari Argentina dan satu kontrak lagi kepada Alstom dari Perancis.

Pada 2004, pakar runding JW Knowles telah diupah untuk mengkaji sebab kelewatan projek. Jururunding lain yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation dan OPUS International Malaysia.

bakun

Empangan Bakun dari satelit

 

Perkembangan terkini semasa cubaan ketiga
Pada tahun 2003, Gulf International Investment Group (GIIG) telah meletak wang pertaruhan sebanyak RM500 juta, sebagai permulaan ingin membeli 60% projek Empangan Bakun. GIIG ialah syarikat usaha sama antara Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang kaya dari Malaysia dan Mohamad Ali Al-Abbar, orang kaya dari Dubai. Tujuan pembelian ialah sebagai sumber tenaga elektrik untuk sebuah lagi pelaburan mereka iaitu kilang pelebur aluminium yang akan dibina di Similajau, Sarawak. Rancangan ini tidak diteruskan akibat kelewatan pembinaan Empangan Bakun.

Di tahun 2006, berikutan kenaikan bahan api seperti gas asli dan minyak, talian penghantar bawah laut yang yang dahulunya tidak berdaya maju, kini telah dikaji semula untuk dilaksanakan. Tenaga Nasional Berhad telah menyatakan hasrat ingin menggunakan sumber hidroelektrik dari Sarawak menjelang 2012. Berikutan itu, beberapa syarikat telah menunjuk minat dan Sime Darby ialah yang terkehadapan dalam usaha mendapatkan kontrak melaksanakan talian penghantar bawah laut ini.

Pada November 2006, berita tersebar mengenai penggabungan Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad menjadi sebuah syarikat baru dengan modal berbayar RM 31 bilion. Serentak dengan penggabungan tersebut, anak syarikat Sime Darby iaitu Sime Engineering Sdn Bhd akan mengambil alih sebahagian kepentingan kerajaan dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd.

Foto: NST

 

Pemeliharaan alam sekitar
Pembinaan Empangan Bakun ini mengakibatkan 9,000 penduduk sekitar dipindahkan dari kawasan yang akan ditenggelamkan, Mereka telah ditempatkan semula di kampung rumah panjang Sungai Asap berhampiran Bakun.

Laporan Penilai Kesan Alam Sekitar atau secara ringkasnya EIA bagi projek Empangan Bakun menyatakan bahawa paras air tasik Bakun ialah 195 meter dan 228 meter yang telah membentuk 18 buah pulau. Namun begitu, sehingga Februari 2010 paras air Empangan Bakun telah mencecah 228 meter dan menyebabkan ladang-ladang baru, kawasan perkuburan baru dan rumah panjang baru tenggelam.

Foto: hydropower.blogspot.com

 

Spesifikasi Empangan Bakun
Bahagian kekal empangan adalah seperti berikut:

Empangan utama
Tinggi 205 m dari tapak ke puncak. Panjang 750 m dari hujung ke hujung. Isipadu 16.71 juta meter padu.
Aras puncak ialah 235 m atas aras laut. Aras air maksimum ialah 232 m. Aras operasi ialah 228 m maksimum dan 195 m minimum.
Takungan – luas permukaan ialah 695 km persegi, dan kawasan tadahan ialah 14,750 km persegi. Isipadu takungan ialah 43,800 juta meter padu.
Tandop – 8 petak dengan 2 pintu tandop setiap petak.
Alur limpah – luahan 15,000 meter padu sesaat.
Terowong jana – 8 terowong dengan 8.5 m bukaan rentang, dan panjang 760 m setiap satu.
Rumah janakuasa- Di atas tanah, 4 tingkat berukuran 250 m panjang x 48 m lebar x 48 m tinggi.
8 set jana kuasa merangkumi 8 turbin jenis Francis dengan bersaiz 300 MW sebuah, 8 jana kuasa bersaiz 360 MVA sebuah dan 8 pemboleh ubah bersaiz 360 MVA sebuah.

Talian penghantar
Terdapat tiga bahagian utama talian penghantar:

Pertama, talian AC voltan tinggi dari Bakun ke Bintulu sepanjang 160 km. Talian 275 kV ini akan mengalirkan tenaga dari Empangan Bakun ke sebuah stesen pencawang di Bintulu, dan seterusnya ke grid elektrik Sarawak yang dikendalikan oleh Syarikat SESCO Berhad.
Kedua, talian DC voltan tinggi dari Bakun ke Tanjung Parih, Sarawak sepanjang 660 km. Talian ini pada voltan 500 kV jenis dwikutub (dua kutub; positif dan negatif).
Ketiga, talian DC voltan tinggi dari Tanjung Parih, Sarawak ke Tanjung Tenggara, Johor sepanjang 670 km. Talian ini berada di bawah lautan pada voltan 500 kV dengan 3 atau 4 kabel dengan keupayaan 700 MW seutas.

Sebagai sebahagian sistem talian penghantar ini, 2 stesen pengubah akan dibina di Bakun dan Tanjung Tenggara. Talian DC voltan tinggi ini akan disambung ke Grid Nasional yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad.

 

Artikel Berkaitan

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: