Andai ditanya kepada penduduk Jepun tentang akses mudah untuk ‘lari’ daripada suasana metropolitan Tokyo, tentunya Chiba bakal menjadi sebutan dek kerana lokasinya yang terletak hanya bersebelahan dengan bandar Tokyo. Sungguh, bandar empat musim ini punyai banyak tarikan menarik yang tidak mampu dilepaskan!

Bercerita mengenai Chiba, kebanyakan aktiviti pelancongan tentu hanya tertumpu pada Tokyo Disneyland. Sebenarnya, lebih banyak perkara yang pembaca perlu tahu mengenai Chiba. Destinasi ini merupakan sebuah bandar yang kaya dengan alam semula jadi, makanan laut segar, taman-taman tema, destinasi bersejarah, budaya tradisional serta tempat membeli-belah.

Chiba sarat dengan keseronokan yang tidak diketahui di mana ia akan membuat lawatan anda ke Jepun lebih mengujakan. Berada di Gunung Nokogiriyama dengan menaiki kereta kabel misalnya bakal memperlihatkan anda gambaran penuh keindahan bandar Chiba yang berwarna-warni. Apa yang menarik, anda boleh mengintai dari jauh beberapa ikon negara Jepun iaitu Gunung Fuji, Tokyo Skytree dan keseluruhan Tokyo Bay dari atas puncak Chiba ini.

Chiba

Bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi di kawasan pergunungan, Yoro-keikoku Valley adalah destinasi yang harus anda pergi. Anda bukan sahaja boleh melakukan aktiviti outdoor seperti memancing atau mendaki, bahkan melihat lukisan alam yang mempunyai ungkapan yang berbeza pada setiap musim. Paling mencuri tumpuan, warna-warna dedaunan pada musim luruh adalah sangat menakjubkan.

Chiba turut terkenal dengan sistem transitnya. Salah satunya ialah Chiba Urban Monorail yang menerima pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai sistem monorail bersepadu terpanjang di dunia. Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pula memberi akses segera kepada tarikan pelancongan sekitar bandar Narita seperti Shisui Premium Outlets, Naratisan Omotesando Road dan Naratisan Shinshoji Temple.

Hadabijin No Yu

Tiada sebab buat anda untuk tidak menjengah ke kolam-kolam air panas sekitar Chiba. Buat mereka yang mahu menikmati suasana mendamaikan sambil melakukan terapi “Hadabijin no yu” (mandi untuk kecantikan kulit),” Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman ini di Katsuura Hot Springs, Tateyama Hot Springs, Kamogawa Hot Springs dan Shirahama Hot Springs. Apa yang menariknya, kesemua hot springs ini mengadap laut!

Tokyo Disney Resort

Tokyo Disney Resort terletak di Bay Area, rumah kepada bandar dalam taman yang terindah dihiasi sungai dan tasik. Dibuka seawal jam lapan pagi sehingga 10 malam, teman tema ini beroperasi tujuh hari seminggu. Bagaikan mimpi menjadi nyata, pengunjung boleh bersuka ria, menginap, makan, membeli-belah dan melakukan banyak perkara lagi di sini. Air merupakan elemen utama yang menjadi tarikan aktiviti dan keindahan di Bay Area.

Chiba Zoological Park

Dengan tema ‘Persaudaraan Bersama Haiwan Dan Tumbuh- Tumbuhan’, zoo ini menjadi tempat perlindungan kepada ratusan spesies haiwan tidak kira kecil dan besar. Lesser panda yang juga dikenali dengan nama red panda merupakan haiwan paling popular di zoo ini. Zoo ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Isnin . Akses mudah untuk ke sini adalah dengan menaiki Urban Chiba Monorail dan turun di Stesen DobutsuKoen.

Funabashi Andersen Park

Taman indah ini pasti menjadi tumpuan ibu bapa dan anak-anak dengan Kincir Angin Denmark sebagai ikon utama yang ada di sini. Menampilkan permainan outdoor yang menguji keberanian dan kelincahan kanak-kanak, mereka boleh mencuba beberapa permainan menarik seperti zip lines dan tarzan ropes. Kanak-kanak yang lebih kecil juga boleh mengalami keseronokan bermain di kodomo bijutsukan (muzium kanak-kanak) yang menawarkan banyak permainan berunsur kinestetik. Ditutup pada hari Isnin.

Ohara Hadaka Matsuri

Matsuri dalam bahasa Jepun bermaksud ‘festival’. Justeru itu, Ohara Hadaka Matsuri merupakan festival terbesar yang diadakan selama dua hari menjelang berakhirnya bulan September, yakni pada musim luruh. Pada hari pertama, 18 ‘mikoshi’ (tempat suci mudah alih) yang mewakili tiga kawasan iaitu Ohara, Tokai dan Namihana akan dibawa berarak hingga ke pantai untuk dibersihkan. Pada hari kedua, acara ini diteruskan dengan ritual ‘O-Wakare Shiki’ di mana mereka akan berkumpul. beramai-ramai sebelum berakhirnya festival ini.

Inubosaki Lighthouse

Rumah Api Inubosaki terletak sebuah bandar perikanan terbesar di Jepun iaitu Choshi City. Seni reka rumah api ini diilhamkan dan dibina oleh seorang arkitek British pada tahun 1874. Dek kerana usianya, rumah api ini telah dipilih sebagai salah satu daripada 100 rumah api bersejarah yang terbaik di dunia dan 50 rumah api terbaik di Jepun. Harga tiket untuk memasuki rumah api ini adalah sebanyak 200 Yen. Untuk ke sini, hanya tujuh minit perjalanan diperlukan dengan hanya berjalan kaki dari Inubo Station of Choshi Line.

MESTI TAHU

Selain Ohara Hadaka Matsuri yang dijalankan pada musim luruh, Chiba mempunyai lebih daripada 12 festival besar yang diraikan pada sepanjang tahun di bandar empat musim ini. Bermula dari musim bunga, pengunjung boleh menyaksikan Sakura Tulip Fiesta pada bulan April. Musim panas – Narita Gion Festival, Grand Festival of Sawara, Makuhari Beach Fireworks Fiesta, musim luruh – Grand Festival of Sawara dan musim sejuk – Katsuura Big Hinamatsuri (Girl’s Day Festival).

INFO MENARIK

Jika ditanya mengenai cenderamata apakah yang wajar dibawa pulang dari Chiba, tentunya Boshu-Uchiwa (kipas tangan) menjadi item wajib. Boshu-Uchiwa Chiba dikatakan sabagai salah satu kipas buatan tangan yang paling terkenal selepas Kyo-Uchiwa Kyoto dan Marugame-Uchiwa Kagawa. Teknik kraf pembuatan kipas menggunakan buluh ini perlu menjalani 21 proses halus yang hanya menggunakan tangan sebelum siap sepenuhnya. Anda pasti dapat melihat karya seni tersendiri pada setiap kipas yang dihasilkan.

TIP

Jika anda melancong ke Chiba pada musim bunga, jangan lepaskan peluang untuk memetik bunga di Shiramazu Flower Fields. Dalam iklim musim bunga yang hangat di sini, bunga-bunga seperti field mustards, cherry blossoms dan ros mula mekar dari Mac sehingga bulan Mei sedia untuk dipetik.

Comments

POST BERKAITAN

NASHVILLE: Bandar Inspirasi Muzik Country

2017-06-22 18:27:35
mohd-zulfadli

18

10 Bandar Warna-Warni Di Dunia

2017-05-23 03:07:12
putri-adila

18

KEPULAUAN FLORES YANG DIRINDUKAN!

2017-07-24 14:59:24
mohd-zulfadli

8

75 TAHUN HILANG, MAYAT PASANGAN SWISS DITEMUI @ ALPS

2017-07-19 15:38:19
mohd-zulfadli

8

JAMBATAN VICTORIA: 120 TAHUN MERENTASI SUNGAI PERAK

2017-07-19 12:16:25
mohd-zulfadli

8

ITENERI

Muat turun iteneri kami dan rangka percutian anda sendiri agar menjadi lebih menarik!
Muat turun iteneri kami dan rangka percutian anda sendiri agar menjadi lebih menarik!

Facebook

Facebook By Weblizar Powered By Weblizar

Instagram

Load More
Something is wrong. Response takes too long or there is JS error. Press Ctrl+Shift+J or Cmd+Shift+J on a Mac.
error: