•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pertama kali melihat  Hotel Dash Box Cyberjaya hati begitu tertarik dengan reka bentuk dan konsep yang diketengahkan . Rona-rona terang dan segar yang digarap pada hotel ini berjaya menyerlahkan sisi industri pada hiasannya . Hotel yang muncul dengan gaya ‘Industrial Chic’ dan ‘Street Art’ ini terletak di bandar Cyberjaya. Dash by Ri-Yaz ini merupakan jenama baharu yang dimiliki dan diuruskan oleh Ri-Yaz Hotels & Resorts Sdn Bhd. Hotel ini ternyata menjadi tarikan baharu buat pelancong tempatan dan luar negara. Ia mula beroperasi pada tahun lalu dengan beberapa unit penginapan yang dibina menggunakan kontena terpakai.

Tarikan baharu di Cyberjaya

Hotel seluas 16,187 meter persegi terletak dalam kawasan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) . Ia baru sahaja selesai proses pengubahsuaian dengan konsep lebih segar dan unik. Hotel Dash Box Cyberjaya menyediakan tempat yang paling sesuai untuk anda merehatkan minda dari kesibukan hari anda. Tidak jauh dari pusat bandar,  hanya 37km dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai di lapangan terbang. Penginapan ini memberikan akses mudah ke tempat yang anda perlu lawati di bandar.

Selain bilik yang diperbuat daripada kontena, ditawarkan bilik yang diinspirasikan daripada reka bentuk rumah tradisional masyarakat Lombok untuk memberikan kelainan kepada tetamu. Terdapat 87 bilik yang terdiri daripada  ‘dash Twin’, ‘dash Studio’ dan ‘dash Deluxe’. Setiap satu tampil dengan hiasan dalaman yang berkarakter .

Bilik jenis Studio sesuai buat mereka yang mengembara solo, jenis Twin pula sesuai buat mereka yang bercuti bersama pasangan, manakala jenis Deluxe sesuai untuk keluarga yang mahukan bilik yang besar dan cukup selesa saat bercuti. Bilik  deluxe lengkap dengan balkoni , katil super king dan pemandangan sempurna menghadap kolam renang. Penulis teruja dengan hiasan dalaman bilik deluxe, televisyen mudah alih serta sofa yang selesa. Lebih menarik kepala katil bilik ini diperbuat daripada paip yang digunakan di kilang-kilang dan sinonim dengan hiasan gaya  industri.

Setiap jenis bilik memiliki konsep dekorasi sama iaitu cadar putih polosnya diserikan dengan hiasan patung arnab berwarna hijau terang yang juga merupakan maskot hotel tersebut. Rekabentuk hotel diilhamkan dengan penuh teliti memberikan refleksi hotel yang inovatif dan bergaya moden. Biarpun ruang lobi hotel agak kecil jika dibandingkan dengan hotel-hotel butik lain, hiasan dalamannya cukup menarik dan kelihatan senada dengan konsep industri pada hotel. Semua bilik mempunyai bilik mandi peribadi dengan bidet dan pancuran mandian serta selipar. Hiasan arca robot dilihat menghiasi dinding ruangan itu memberikan karakter pada ruang lobi.  Kelihatan juga beberapa arca menjadi sebahagian elemen dekorasi di sekitar hotel ini.

Fasiliti

Hotei ini menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan kemudahan yang unggul menjadikan penginapan anda tidak dapat dilupakan. Tetamu boleh menikmati kemudahan seperti Wi-Fi percuma semua bilik, pengawal keselamatan 24 jam, stesen caj kuasa kereta, pengemasan harian, kedai cenderahati. Hotel ini menawarkan banyak peluang rekreasi seperti  Flex lengkap dengan peralatan kecergasan , taman, kolam renang infiniti,Dashikidz, the hotel’s kids club dan  The Chamber Boardroom, di mana anda boleh menganjurkan mesyuarat dan grup diskusi yang boleh memuatkan 200 orang tetamu di dalamnya, menghadap taman dan kolam renang.  Dengan ruang siling yang tinggi sempurna sebagai lokasi mengadakan majlis perkahwinan atau persidangan.

Mya Cafe merupakan satu-satunya kafe yang ada di hotel ini. Dekorasi di dalamnya menarik dengan gabungan pelbagai jenis konsep. Mya Cafe sarat dengan warna dan dekorasi seperti bingkai gambar penyanyi popular Hollywood serta hiasan dinding yang menarik perhatian. Lantai dan siling kafe adalah dari corak yang sama iaitu corak segi empat sama dari rona hitam dan putih ( check), menyerlahkan lagi elemen chic dan funky . Hidangan di Mya Kitchen’s berilhamkan masakan Thai, Vietnam, Cina, India and Bali. Ia boleh memuatkan hingga 90 orang tetamu di dalam bilik berhawa dingin dan 40 tetamu di ruang terbuka. Waktu operasi bermula dari jam 6.30 pagi hingga 11malam.

Kemudahan sewaan basikal disediakan di hotel kapsul ini. Kawasan ini terkenal dengan aktiviti berbasikal. Dengan jarak 1.8 km dari DPULZE Shopping Centre ia mudah buat tetamu untuk bersantai atau membeli belah barangan keperluan. Hotel Dash Box Cyberjaya sememangnya  penginapan yang ideal bagi mereka yang mencari keindahan semula jadi dan  keselesaan. Merasai pengalaman menginap di sini pastinya  membuat penulis ingin kembali lagi ke hotel ini di masa terluang.

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: