Sumber imej: Malay Mail Online

Kerajaan Negeri Perak menjangkakan peningkatan pelancong domestik ke negeri itu sebanyak 6% bagi tahun 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak Tan Kar Hing berkata pada 2017, seramai 7.6 juta pelancong domestik yang datang melancong ke Perak.

“Walau bagaimanapun, statistik jumlah pelancong bagi tahun ini masih belum boleh ditunjukkan lagi kerana laporan akan siap pada pertengahan Jun tahun hadapan,” ujar beliau dalam satu jawapan kepada Mohd Akmal Kamarudin (Umno-Selama) sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri.

Mohd Akmal terdahulu bertanyakan mengenai sasaran kerajaan negeri seramai lapan juta pelancong akan datang ke Perak tahun ini dan adakah sasaran itu telah tercapai.

Tan berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk melonjakkan jumlah kedatangan pelancong dalam dan luar negara melalui beberapa pelan yang dirancang.

“Kita memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada media dan agensi pelancongan melalui beberapa trip pelancongan suai kenal oleh kerajaan negeri ke Indonesia, Filipina, Thailand, Jepun dan juga beberapa negara lain.

“Penglibatan pemain industri dalam mempromosikan negeri Perak di Bangkok, Medan dan Guang Zhou di China giat dilaksanakan sejak tiga bulan yang lepas,” tambah beliau.

Selain daripada itu, aktiviti tempatan dan antarabangsa seperti Minggu Fesyen Antarabangsa, acara “Sama-Sama” yang dilangsungkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Larian Antarabangsa Ipoh dan Festival Seni Perak turut dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Tan berkata, kerajaan negeri melalui Pelancongan Perak dan Pelancongan Malaysia akan sentiasa mengemaskini dan memastikan produk pelancongan semasa mempunyai potensi untuk diketengahkan tidak kira di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau menambah Perak mempunyai produk pelancongan yang unik terdiri daripada alam sekitar, aktiviti lasak mahupun ekopelancongan serta mempunyai potensi untuk menjana ekonomi masyarakat setempat.

“Oleh itu, strategi dan agenda untuk produk ekopelancongan di negeri Perak telah dibahagaikan kepada empat bahagian.

“Bahagian ekopelancongan tersebut adalah Taiping-Batu Kurau-Bukit Merah-Kuala Sepetang, Ulu Geroh-Gua Tempurung-Gopeng-Batu Gajah, Royal Belum-Lenggong-Kuala Kangsar, dan Pulau Sembilan-Teluk Senangin-Segari-Melintang,” tambah beliau.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Aznel Ibrahim (Umno-Pengkalan Hulu) mengenai rancangan untuk mempromosikan Pengkalan Hulu kepada pelancong, Tan berkata sekiranya lapangan terbang Betong di Thailand yang dijangka siap pada hujung tahun hadapan selesai, Pengkalan Hulu akan menjadi tumpuan kepada pelancong.

“Kita akan cari jalan untuk membawa lebih ramai pelancong yang datang ke Betong untuk datang ke Perak melalui Pengkalan Hulu,” ujar beliau.

Sumber: The Star Online

Tinggalkan Komen