Kebanyakan orang lebih selesa mengembara dengan satu beg. Bukan hanya kerana boleh menjimatkan bayaran ‘check-in’ bagasi tetapi risiko kehilangan beg dan rasa membebankan tidak akan berlaku. Akan tetapi, bolehkah mengembara dengan satu beg? Muatkah?
Kelengkapan dandanan diri
Tinggalkan peralatan tajam seperti gunting kecil, pemotong kuku dan sebagainya kerana anda boleh membelinya setiba di sana.Tukar barangan dandanan atau kosmetik dari bentuk cecair kepada bentuk pejal. Anda boleh membawa sabun, syampu atau deodoran yang dijual dalam bentuk pejal kerana lebih ringan dan muat. Ikuti syarat dan peraturan membawa barangan cecair di mana anda tidak dibenarkan membawa lebih dari 100ml setiap botol.
Ubat-ubatan
Minta pendapat doktor berkenaan jenis ubat-ubatan yang perlu dibawa. Anda juga boleh menghubungi pihak penerbangan tujuan anda membawa ubat-ubatan.
Pakaian
Cukup sekadar membawa tiga helai pakaian untuk kegunaan anda. Semasa mengembara di negara orang, mesin basuh merupakan peralatan yang mesti dicari oleh pelancong. Pemilihan seluar atau skirt yang berwarna gelap adalah langkah selamat dan menjimatkan kerana anda boleh pakai berulang kali selain sangat padan dengan semua warna pakaian. Bersiap sedia dengan memakai pakaian tebal seperti seluar jeans, but atau jaket musim sejuk di dalam penerbangan untuk mengurangkan berat beg anda.
Kaedah menyimpan
Jika anda tidak yakin dengan tuala yang disediakan di tempat penginapan, anda masih boleh membawa tuala jenis mikrofiber di mana ia lebih ringan dan cepat kering. Tip terbaik untuk mempunyai ruang ialah dengan menggulung pakaian berbanding melipat pakaian. Ia bukan saja menjimatkan ruang tetapi memudahkan anda melihat susunan dan mudah mengambil tanpa berselerak.
Pengembaraan akan lebih selesa tanpa perlu membawa beg yang banyak. Mengapa perlu keluar wang lebih semata-mata untuk berat beg berlebihan sedangkan anda boleh menjimatkan ruang dengan cara lebih bijak? Diharap tip ini boleh membantu anda yang mahu bercuti dengan satu beg sahaja!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Video Berserta Panduan Solat Dalam Kapal Terbang Yang Perlu Kita Ambil Tahu
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor di Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
MUKADIMAH
Kapal terbang merupakan alat pengangkutan udara moden yang tidak dibincangkan berkenaan hukum-hakam berkaitannya oleh para fuqaha terdahulu. Akan tetapi, ia tetap tidak terkeluar dari sifatnya yang merupakan sebuah alat pengangkutan yang mana telah terdapatnya perbincangan mengenai hukum-hakam berkaitannya yang telah disebut oleh para fuqaha seperti hukum solat di atas unta, sampan atau kapal, dan sebagainya. Dalam edisi kali ini, kami di Bayan Linnas akan cuba memberikan penjelasan berkenaan suatu isu iaitu solat di atas kapal terbang serta hukum-hakam yang berkaitan.
Dalam menghuraikan isu ini dengan lebih lanjut, kami akan membahagikannya kepada beberapa isi penting.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Di antara perkara yang diambil kira dalam isu ini ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1- Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2- Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
- Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
- Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
- Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
- Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Tip Untuk Elak Makanan Tidak Halal Ketika Bercuti Ke Negara Bukan Majoriti Muslim
Apabila melancong di negara luar, ada masanya sukar untuk mencari makanan yang halal. Apatah lagi jika bercuti di negara yang majoriti masyarakatnya tidak beragama Islam. Sesetengah premis makanan tersalah anggap akan konsep hidangan halal.
Bagi mereka, ‘As long as no pork’, makanan tersebut sudah halal dan boleh dihidangkan kepada pelancong Muslim. Mereka juga beranggapan hidangan vegetarian sudah bebas unsur tidak halal.
Justeru itu, pastinya terdapat sedikit perbezaan di situ. Vegetarian membolehkan penggunaan bahan-bahan yang memisahkan mereka untuk menjadi halal. Contohnya penggunaan alkohol dalam kuah, sos dan perisa vanila. Sesetengah resepi vegetarian juga menggunakan wain sebagai ramuan. Walaupun kuantiti yang digunakan adalah sedikit, tetapi ia tetap dilarang.
Coklat dan manisan yang terdapat di pasaran luar juga kadangkala mengandungi alkohol. Selain alkohol, penggunaan gelatin yang berasaskan sumber haiwan yang diragui juga mudah dijumpai dalam kandungan pemakanan yang ditulis di luar pek. Pendek kata, sebahagian besar produk coklat yang dijual di luar negara mengandungi gelatin babi dan tidak sesuai untuk digunakan oleh pengguna Islam.
Entri kali ini memberi tip bagaimana mahu makan halal sepanjang pengembaraan anda.
- Cari restoran yang mempamerkan logo pensijilan Halal di premis mereka. Anda boleh mendapatkan info mudah mengenai restoran halal di internet. Pilihan kedua andai tiada restoran halal ialah mencari restoran yang menyediakan makanan berunsurkan seafood dan makanan vegetarian. Pun begitu, berhati-hati agar tiada penggunaan alkohol, wain dan minyak haiwan yang digunakan.
- Bawa sendiri bekas makanan untuk anda nikmati di dalam hotel. Tidak salah untuk menyediakan makanan sendiri dengan hanya membeli belah di kedai-kedai tempatan untuk produk semula jadi (buah-buahan, sayur-sayuran, roti, madu dan lain-lain).
- Pek makanan ringan yang halal dan sihat seperti oat untuk mengelakkan anda dari kelaparan. Kekacang, buah-buahan kering dan sesetengah makanan ringan mampu membantu anda untuk kekal kenyang sepanjang malam. Jika tidak, mi segera adalah pilihan yang mudah dan mengenyangkan.
- Pelajari dan kenali istilah dan nama-nama lain bagi babi yang digunakan dalam menu makanan Italy, Mexico, French dan sesetengah restoran barat bagi membantu anda membuat pemilihan makanan dengan mudah.
- Jika terpaksa makan di luar, pilih makanan vegetarian atau seafood yang dirasakan tidak mengandungi kandungan babi atau alkohol. Anda boleh bertanya kepada pelayan dengan lebih lanjut mengenai penyediaan makanan setelah mengimbas menu dan memberi sedikit ‘guide’ kepada pelayan mengenai diet halal.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Polisi Travel Insurans Atau Takaful Yang Perlu Anda Tahu
Setiap kali anda ingin pergi bercuti, lebih-lebih lagi ke luar negara, Libur sangat galakkan anda untuk mengambil insurans perlindungan atau takaful perlindungan kepada diri dan harta benda anda. Sebabnya adalah, kita tak tahu apa yang akan terjadi sepanjang masa kita bercuti, lebih-lebih ke luar negara kerana berada jauh daripada kenalan.
Sekiranya ada apa-apa yang berlaku, insurans yang diambil boleh memberikan bantuan segera kepada anda. Pandang sebelah mata tentang jumlah yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan insurans tetapi pandang dengan lebih serius apakah kita mempunyai cukup simpanan dan bantuan lain sekiranya ada apa-apa kecelakaan berlaku terhadap diri kita? Sekiranya tidak, maka ambillah perlindungan insurans. Sediakan payung sebelum hujan.
Jadi, dalam perlindungan insurans perjalanan atau takaful perjalanan, apakah perkara-perkara utama yang berada di bawah perlindungan mereka? Sekiranya anda semak ke semua laman web yang menyediakan insurans atau takaful perjalanan, anda akan dapati terlalu banyak kelebihan atau benefit yang bakal anda nikmati sekiranya sesuatu terjadi terhadap diri anda.
Tetapi dalam kesemua perkara tersebut, kita nak rumuskan bahawa ada beberapa perkara penting yang perlu anda ambil kira sebelum mendapatkan perlindungan insurans atau takaful perjalanan. Ada lima benda yang perlu anda semak terlebih dahulu sama ada insurans atau takaful tersebut memberikan perlindungan terhadap lima perkara ini.
Polisi pembatalan perjalanan
Ini perkara yang paling utama lebih-lebih lagi kepada anda yang sedang dalam perjalanan yang jauh. Dapatkan insurans atau takaful perjalanan yang melindungi anda daripada status perjalanan yang dibatalkan seperti pembatalan penerbangan dan sebagainya. Ada pelbagai sebab sesuatu perjalanan boleh dibatalkan sama ada di pihak anda atau di pihak pemberi perkhidmatan sebagai contoh masalah kesihatan, kecederaan atau kematian diri sendiri, keluarga atau teman seperjalanan. Selain daripad itu, kejadian bencana alam juga boleh menyebabkan sesuatu perjalanan atau penerbangan dibatalkan dan anda boleh membuat tuntutan insurans atau takaful sekiranya perkara itu terjadi.
Semak dengan teliti polisi insurans atau takaful yang anda ambil, tapi pastikan polisi pembatalan perjalanan ini termasuk dalam perjanjian insurans atau takaful.
Polisi bantuan kecemasan perubatan luar negara
Ini benda penting yang selalu dilepas pandang dan tak diteliti dengan baik. Ramai orang beranggapan bahawa semua polisi insurans atau takaful peribadi memberikan bantuan kecemasan perubatan semasa anda berada di luar negara. Dalam negara, ya, insurans atau takaful peribadi memberikan bantuan perubatan kecemasan kepada anda, tetapi tidak semasa anda berada di luar negara. Sebab itu, anda perlu mendapatkan insurans atau takaful perjalanan untuk hal tersebut. Jadi pastikan anda dapatkan insurans atau takaful perjalanan yang memberikan polisi bantuan kecemasan perubatan semasa anda berada di luar negara.
Selain daripada itu, sekiranya anda bercuti di tengah laut menaiki kapal juga mempengaruhi sesuatu polisi insurans atau takaful yang anda ambil. Jadi pastikan anda membuat semakkan yang teliti.
Polisi perpindahan kecemasan / emergency evacuation
Polisi ini membolehkan anda dipindahkan dari hospital di luar negara ke hospital dalam negara tanpa perlu menanggung kos perpindahan yang amat tinggi. Ini kerana, prosedur perpindahan membabitkan pesakit yang cedera dan dalam keadaan cemas ini melibatkan perpindahan melalui udara dan ubat-ubatan, lebih-lebih lagi dari luar negara ke dalam negara. Kos ambulance, penerbangan, pengangkutan ke hospital, staf perubatan dan ubat-ubatan boleh mencecah lebih ratusan ribu ringgit.
Polisi kehilangan, kelewatan bagasi atau penerbangan
Polisi ini nampak macam remeh tetapi amat membantu sekiranya ianya terjadi. Ada polisi yang akan memberikan anda pampasan sekiranya bagasi anda hilang daripada pesawat. Selain daripada hilang, ada sesetengah polisi yang memberikan perlindungan sekiranya bagasi anda dicuri atau dirosakkan. Ada juga polisi yang akan memberikan pampasan sekiranya bagasi anda terlewat tiba dari masa yang ditetapkan atau penerbangan anda terlewat dan sebagainya. Pampasan yang diberikan tidak bernilai penuh dengan apa yang ada dalam bagasi anda, tetapi pampasan yang diberikan membolehkan anda mencari pakaian ganti sementara menunggu bagasi anda tiba dengan selamat.
Bagi polisi untuk kelewatan penerbangan pula, pampasan yang layak anda terima adalah membabitkan tempat penginapan untuk menunggu penerbangan seterusnya dan juga makan anda selama anda berada di lokasi yang terkandas.
Polisi bantuan perhubungan 24 jam seluruh dunia
Polisi ini sangat membantu kerana mereka menyediakan staf yang akan memberikan bantuan kepada anda 24-jam di mana-mana sahaja lokasi anda di dunia sekiranya anda memerlukan apa-apa bantuan daripada mereka. Sama ada anda terlibat dalam kecemasan, kemalangan, kehilangan, kelewatan dan sebagainya, anda boleh hubungi mereka untuk tahu apa tindakan seterusnya dan apa yang perlu anda lakukan di situ dan di ketika itu.
Bantuan panggilan 24 jam ini tidak kurang pentingnya juga kerana anda boleh dapatkan lokasi hospital yang berdekatan dengan lokasi anda, membuat tuntutan pampasan, memohon bantuan kewangan dan sebagainya. Selain daripada perkara yang membabitkan nyawa, perkara-perkara lain seperti kelewatan bagasi, kehilangan visa atau pasport juga boleh menggunakan talian bantuan 24 jam ini.
Selain daripada lima polisi yang wajib ada dalam perlindungan insurans atau takaful anda, ada beberapa polisi tambahan lain yang boleh anda tambah untuk memberikan perlindungan maksimum seperti insurans nyawa, insurans lokasi merbahaya atau aktiviti merbahaya, insurans kemalangan kenderaan sewa, dan insurang kecurian dan kehilangan harta benda.
Pastikan anda semak dengan teliti apakan polisi yang ada dalam insurans atau takaful anda dan, pastikan anda dilindungi sebelum pergi bercuti terutamanya keluar negara.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI