Perkongsian oleh Liyana Roslan.

Bagi yang gemar mencari restoran yang menarik untuk dikunjungi, Heli Lounge pasti menarik perhatian dan memberi kepuasan berganda kepada anda.

Heli Lounge terletak di Menara KH, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Bagi mereka yang tinggal di luar dan tidak biasa dengan jalanraya di Kuala Lumpur, anda hanya perlu menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps, cari Menara KH atau Helipad Heli Lounge dan anda akan diberi tunjuk arah terus ke destinasi.

Sampai sahaja di destinasi, anda boleh memilih untuk parkir kenderaan sama ada di aras bawah atau menggunakan valet parking. Jika anda tidak pasti, anda boleh bertanya pada pengawal yang berada di situ.

Keluar sahaja dari lif di tingkat 34, ada penyambut tetamu di pintu masuk menyambut kedatangan anda. Jujurnya, muka penyambut tetamu tu memang nampak garang, tapi bila dah bertegur dengan dia, ramah sebenarnya.

Pemandangan senja di Heli Lounge, Kuala Lumpur sungguh mengasyikkan jiwa.
Keadaan di Heli Lounge yang sering ramai dengan kehadiran pelancong. Tapi jangan risau, akan ada tempat untuk semua pengunjung yang datang.
Air yang disediakan di sini sedap dengan harga yang memuaskan. Tidak la terlalu mahal. Sesuai dengan harga dan tempatnya.

Kedatangan saya yang pertama kali ke situ tak berasa kekok kerana layanan mesra yang diberikan mereka. Jangan terkejut pula, sebelum anda dibenarkan masuk ke dalam restoran, beg anda akan diperiksa terlebih dahulu sebagai salah satu prosedur keselamatan mereka.

Melangkah masuk ke dalam, pelayan-pelayan restoran menyambut dengan mesra dan menunjuk arah ke mana untuk duduk dan membuat pesanan. sama seperti restoran lain, anda boleh duduk di mana-mana sahaja yang anda suka.

Jadi, apa yang uniknya Heli Lounge ni berbanding dengan tempat lain yang pernah saya lawati?

Haaa, yang menariknya, lepas pesanan dibuat dan kita bayar, kita boleh naik ke kawasan helipad. Kena naik tangga ke 3 tingkat dulu baru dapat sampai ke kawasan helipad. Jangan lupa bawa makanan atau minuman yang anda beli tadi tu ke atas ya.

Sampai je kat atas tu, subhanallah.. memang sangat cantik pemandangan yang ada di depan mata saya. Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas adalah antara bangunan yang menghiasi ruangan langit di situ.

Terbentang luas deretan bangunan atau hutan konkrit di kota raya Kuala Lumpur sampai ke hujungnya. Yang membuatkan pengalaman itu lebih menarik adalah pemandangan 360 darjah sekeliling Kuala Lumpur.

Sayup mata memandang, terlihat kawasan bukit-bukau di Kuala Lumpur yang masih terpelihara. Tambah pula dengan warna langit biru dan calitan warna oren daripada matahari senja, memang cantik dan memukau mata siapa yang melihatnya.

Satu lagi yang anda perlu tahu, pelanggan Heli Lounge yang ada di helipad itu memang ramai. Meriah dengan muka-muka pelancong asing dari pelbagai negara.

Pemandangan senja di Heli Lounge. Waktu ni hampir masuk waktu Maghrib bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya.
Pemandangan Kuala Lumpur waktu malam yang disimbahi cahaya lampu neon.
360 degree view of Kuala Lumpur. Memang worth it untuk sekali sekala berkunjung ke sini.

Kalau anda nak duduk di meja dan menikmati pemandangan senja sambil minum air atau makan dengan tenang, anda dinasihatkan untuk membuat tempahan awal terlebih dahulu.

Atau boleh juga anda menikmati pemandangan sambil berdiri dan berkenalan dengan pelancong-pelancong yang berkunjung di situ. Saya sempat menegur sorang dua pelancong yang datang dari German dan juga London. Vibe di situ memang sangat menenangkan.

Bagi yang beragama Islam, jangan risau nak solat dimana sebab ada kemudahan surau yang selesa disediakan di tingkat 5. Maklumkan sahaja pada pelayan yang berada di situ anda hendak ke surau dan ingin naik semula ke helipad.

Usai solat, tidak menjadi masalah untuk anda akan dapat naik semula ke atas. Anda boleh naik semula ke kawasan helipad dan menikmati pula pemandangan gemerlapan lampu-lampu neon Kuala Lumpur dan order lagi makanan atau minuman.

Rugi kalau anda tak cuba berkunjung ke Heli Lounge. Bagi saya, pemandangan di situ worth it. Kalau anda mendaki bukit atau gunung, anda dapat lihat hutan hijau yang cantik terbentang, kalau di Heli Lounge ini pula anda akan dapat lihat hutan konkrit terbentang cantik yang menjadi kebanggaan negara kita.

Waktu operasi:

Setiap hari dari pukul 6.00 petang hingga pukul 3.00 pagi.

P/S: Bagi yang memakai tudung, selepas pukul 9.00 malam kawasan lounge akan bertukar menjadi kelab malam.

Tinggalkan Komen