Daripada kisah menjadi sejarah. Daripada dongeng menjadi lagenda. Selama beberapa kurun, kota Melaka mencoret jutaan kisah masyarakat yang berjalan dibumi bersejarah itu.

Dan kisah kota Melaka tidak terhenti di situ. Sejarah yang tercatat sejak kurun ke-14 itu kini dihimpun dan dizahirkan melalui pementasan teater bertaraf dunia yang cukup hebat di Encore Melaka.

Penonton akan melalui perjalanan masa atau time-travel yang akan menceritakan pembukaan kota Melaka dan evolusi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga migrasi masyarakat Tiong Hua ke empayar Melaka.

Babak seterusnya diteruskan dengan kehadiran masyarakat Peranakan atau Baba Nyonya. Kebaya nyonya yang berwarna-warni memenuhi pentas.

Tidak lupa juga kehadiran ras-ras awal di Melaka yang lain, seperti masyarakat Chetti serta Portugis dan kesemua babak pementasan teater ini dilakonkan oleh 200 pelakon tempatan.

Pentas Teater 360 Darjah Pertama di Asia

Menjadi salah satu pentas teater yang terbesar di Asia, pentas teater Encore Melaka itu dilengkapi dengan peralatan dan teknologi canggih yang turut menambahkan lagi mutu pementasan teater yang dipersembahkan.

Tidak seperti teater biasa, penonton akan duduk di tengah dewan teater manakala pentas yang melengkung berada mengelilingi penonton. Sepanjang 70 minit pementasan, penonton akan berpusing 360 darjah sebanyak tujuh kali. Menjadikan pementasan teater di sini unik berbanding pentas teater yang lain.

Selain daripada itu, teknologi video projection, enam pentas hidraulik, pentas air, dan sistem talaan cahaya yang canggih. Dewan teater ini juga mampu memuatkan seramai 2,000 penonton dalam satu-satu masa.

Bangunan teater Encore Melaka ini terletak lebih kurang 3.5 km dari Jonker Street di No. 1 Jalan KSB, Impression 8, Impression City @ Kota Syahbandar, 75200, Melaka, Malaysia

Tidak rugi sekiranya sekali sekala anda ingin membelanjakan wang sekali seumur hidup untuk menonton persembahan teater di Encore Melaka ini. Semestinya, ia akan memberikan pengalaman yang unik di dalam hidup anda.

Rujuk harga tiket di sini atau boleh layari encore-melaka.com untuk maklumat lanjut.

Tinggalkan Komen