Di kalangan pendaki tegar di Malaysia, mesti kenal dengan nama Aznal Bakesh Ahmad Nazari atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nal. Pak Nal ni salah seorang gogo yang ternama juga di Malaysia tetapi pada zahir siapa yang berjumpa dengan beliau, humble sahaja orangnya.

Sebagai seorang gogo, memang menjadi periuk nasi mereka untuk membawa pendaki tidak kira dari dalam mahupun luar negara untuk mendaki gunung. Tak kisah di Malaysia ataupun gunung-gunung di negara luar.

Bagi siapa yang tak tahu, gogo ni merupakan satu istilah atau jargon dikalangan pendaki yang membawa maksud seseorang yang organize sesuatu trip terutamanya mendaki.

Gogo ni akan bertanggungjawab terhadap semua perkara bermula dari tarikh trip, route pendakian, kelengkapan, penginapan, makanan, keanggotaan trip, kesihatan dan keselamatan peserta dan sebagainya. Makna kata, gogo ni yang akan in-charge segalanya berkenaan trip tersebut. Peserta ni macam client, hanya sediakan wang secukupnya dan upah pada gogo untuk selesaikan segalanya.

Sejak beberapa ketika kebelakangan ini, terjadi satu trend di mana ada gogo dari luar negara mula mengganggu market dalam Malaysia. Mereka mula masuk ke pasaran Malaysia secara terbuka dan menawarkan harga yang cukup murah dan kadang-kadang harga tersebut tidak masuk akal.

Perkara ini yang menimbulkan kemarahan Pak Nal serta rakan-rakan yang lain. Dalam posting Facebook Pak Nal, beliau mempersoalkan, pernah ke gogo Malaysia menawarkan trip di dalam page atau group pendaki negara luar?

Malah, Pak Nal turut mempersoalkan bahawa gogo dan pendaki kita yang selalu terhegeh-hegeh untuk pergi mendaki di negara luar dan tiada siapa pendaki luar negara yang sudi untuk bertandang ke gunung Malaysia.

Libur sempat untuk berhubung dengan Pak Nal untuk bertanya tentang perkara ini. Perbualan melalui whatsapp bersama Pak Nal menjelaskan bahawa promosi gogo dari luar negara ini menjejaskan sumber pendapatan mereka sebagai gogo tempatan.

Tambah Pak Nal, antara penyebab lain yang menyumbang kepada kebejatan pasaran mendaki di Malaysia adalah gogo tempatan masih belum bersedia untuk bersaing dengan gogo dari luar negara, tidak kira daripada segi promosi mahupun servis yang cemerlang.

Servis yang dihasilkan oleh kebanyakkan gogo dari Malaysia masih berada di tahap yang ‘biasa-biasa’. Yang betul mampu menyediakan servis terbaik kepada pendaki boleh dibilang dengan jari. Ini berbeza dengan keadaan yang berlaku di kalangan gogo dari negara luar.

Libur masih teringat perbualan bersama sahabat-sahabat mendaki yang lain apabila pergi mendaki di Indonesia, waktu sarapan pagi di atas gunung, gogo Indonesia siap tatang pinggan sarapan ke depan muka pintu khemah kita! Kalau nak keluar khemah tu siap nak pasangkan kasut ke kaki kita, layan kita macam raja!

Ada ke gogo Malaysia yang sanggup buat hingga ke tahap itu?

Jadi melalui keresahan yang ditonjolkan Pak Nal, ada dua pengajaran yang kita boleh dapat daripada otai ini. Pertama, kalau kita tak jaga pasaran negara kita sendiri, orang luar dengan mudah potong periuk nasi kita. Yang kedua, kalau kita tak tingkatkan promosi dan mutu kualiti servis kita kepada pelanggan, nescaya industri pendakian dalam negara kita sendiri akan berada di takuk yang sama, tiada perubahan. Macam mana pelancong nak datang, kan?

Tinggalkan Komen