Siapa yang tidak kenal dengan keindahan Gunung Baling. Dahulunya gunung ini tidak dikenali, namun kini menjadi antara yang terkenal sehingga viral di facebook.

Lokasi Gunung Baling terletak di Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah. Laluan mendaki boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama laluan hutan sederhana yang bertanah. Di sini trek pendakian bukit yang agak mencabar. Kedua laluan hutan sederhana dan berbatu, dan ketiga laluan berbatu yang ditumbuhi pokok renek.

Kali ini seramai lima anak muda dari Parit Buntar, Perak telah menawan Gunung Baling. Memulakan perjalanan seawal jam 4.30 pagi lagi, perancangan awal untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbit.

Permulaan perjalanan, kami terpaksa melalui kawasan tanah laterit yang basah dan berlopak dengan takungan air dek kerana hujan pada sebelah malamnya. Laluan tanah laterit ini adalah kira-kira 600 meter. Sungguh cabaran mendaki di kawasan yang becak amat mencabar sekali.

IKLAN

Setelah melalui kawasan tanah laterit, kami melalui kawasan bertangga. Di kawasan bertangga ini kami sedikit sebanyak dapat merehatkan kaki buat sementara waktu. Hal ini kerana kami tidak perlu lagi memasang kekuda kaki sepertimana mendaki di kawasan tanah laterit. Pembinaan tangga dan selusur untuk ke puncak Gunung Baling amat membantu perjalanan kami. Hampir sejam perjalanan, kami berehat sebentar di pertengahan jalan yang dinamakan Gua Kambing.

Dengan keadaan suhu yang dingin dan kicauan burung memberi 1001 makna ketika berada di hutan ini. Tidak kami menduga, di kawasan Gunung Baling ini juga turut mempunyai kelip-kelip.

Sedia kemudahan

IKLAN

Setelah berehat kami meneruskan perjalanan peringkat yang kedua iaitu melalui kawasan hutan yang sederhana dan berbatu. Laluan ini amat sukar untuk menentukan laluan mana perlu dilalui kerana sesetengah laluan ada dua simpang. Namun situasi ini dapat diatasi kerana di laluan ini juga turut disediakan lampu sebagai petunjuk.

Lampu ini menggunakan kaedah sistem solar yang mana pada waktu siang menyerap tenaga melalui cahaya matahari dan malamnya bercahaya membantu para pendaki. Laluan ini juga turut ditumbuhi dengan pokok-pokok buluh dan pokok-pokok palma. Apa yang menarik perhatian kami adalah di laluan ini juga turut disediakan kawasan solat serta arah kiblat.

IKLAN

Di fasa yang ketiga ini, kami perlu melalui kawasan yang berbatu dan pokok-pokok renek. Laluan berbatu ini amat mencabar. Batu-batu kapur ini berlumut dan permukaannya amat tajam. Setiap langkah kami amat berhati-hati. Kami juga perlu melalui kawasan celah batu. Laluan ini paling mencabar kerana kami perlu mencangkung dan memanjat batu untuk meneruskan perjalanan. Hampir setengah jam daripada kawasan yang mencabar tadi, kami sampai ke kawasan puncak antara jam 6.30 pagi. Tiada kata-kata yang mampu dikeluarkan, melainkan pujian kepada Sang Pencipta.

Sungguh cantik pemandangan dari puncak Gunung Baling. Tanpa berlengah, kami menyelesaikan dahulu perkara wajib, iaitu solat subuh. Dengan udara yang segar dan kabus di atas puncak amat menenangkan hati setiap pendaki. Kesimpulannya perjalanan untuk sampai ke puncak gunung mengambil masa hampir dua jam.

-Perkongsian pengalaman oleh Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam-

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI