PENGALAMAN berkunjung ke Wilayah Nusa Tenggara Timur (WNTT), Indonesia baru-baru ini amat berharga sekali kerana dapat menyaksikan pelbagai keindahan dan keajaiban ciptaan Allah di dunia ini.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Lawatan ke Danau Kelimutu, Perkampungan Wae Rebo, pelayaran dari Labuan Bajo ke Taman Negara Komodo (Komodo National Park), Pulau Padar, Gili Lawa, Pink Beach, Pulau Kelor, Pulau Rinca, Pulau Kanawa dalam wilayah berkenaan bersama 16 pelancong lain dari Malaysia amat menyeronokkan walaupun ia terlalu mencabar fizikal serta mental peserta.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Pengalaman luar biasa

Penulis  yang hanya mengenali 16 orang lagi rakan pelancong dari Malaysia hanya mula berjumpa dan berkenalan menerusi trip berkonsepkan “open trip” yang dikendalikan warga Indonesia yang mengiklankannya dalam laman sosial Instagram. Tujuan utama menyertai rombongan ini ialah untuk melihat dan meneroka sendiri wilayah Indonesia yang kurang dilawati pelancong luar dan tempatan.

Ia amat berbeza dengan destinasi-destinasi lain yang agak popular di Indonesia seperti Jakarta, Bandung dan Bali. Memilih Flores sebagai destinasi pelancongan sempena cuti panjang semester Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun ini  kerana kebanyakan tempat menarik yang ada di wilayah berkenaan yang masih belum dilawati pelancong.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Oleh itu kebanyakan tempat yang dilawati masih berada dalam keadaan terpelihara. Kejernihan air lautnya mampu mempersonakan sesiapa sahaja yang melihatnya. Manakala keindahan pulau-pulau yang berada dalam wilayah Flores juga mampu memukau  pengunjung yang datang ke sini.  Antara tempat paling menarik ialah Danau Kelimutu kerana di situ terdapat kawah yang terbentuk daripada letusan gunung berapi pada suatu ketika dahulu. Terdapat tiga kawah di situ  mengandungi air yang warnanya mampu berubah-ubah.

IKLAN

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Perkampungan Adat Wae Rebo pula ialah sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah pergunungan dan pengunjung perlu mendaki lebih kurang empat jam untuk sampai ke destinasi berkenaan. Kampung ini kaya dengan adat dan masih menjalani kehidupan mengikut tradisi nenek moyang mereka di samping ia bebas daripada segala bentuk pencemaran serta mampu memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung.

Pulau Rinca pula ialah salah satu pulau yang berada dalam Taman Negara Komodo. Pengunjung dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertemu dengan Biawak Komodo yang semakin pupus populasinya di dunia ini. Pulau Padar merupakan  sebuah pulau yang menjanjikan pemandangan yang sangat mengujakan.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Pendakian hampir 40 minit langsung tidak terasa kepenatannya kerana keterujaan penulis terhadap keindahan landskap pulaunya sepanjang pendakian itu.  Pantai Pink menjadi salah satu lokasi snorkelling terbaik di wilayah Flores dengan pasir di pesisiran pantai yang berwarna merah jambu. Pengunjung dapat melihat pemandangan di sekeliling Pulau Kelor dengan mendaki lebih kurang 30 minit ke tempat yang lebih tinggi di situ.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

IKLAN

Perjalanan rombongan ini dibahagi kepada dua  iaitu melalui darat serta belayar merentas lautan luas. Ia mengambil masa tiga jam perjalanan dari lapangan terbang Ende untuk ke Danau Kelimutu, manakala 15 jam perjalanan dari Danau Kelimutu ke Perkampungan Adat Wae Rebo. Ketika menyertai perjalanan ke pulau-pulau terbabit rombongan kami memilih untuk belayar dari pelabuhan Labuan Bajo dan tinggal di atas kapal selama tiga hari dua malam. Dua buah van digunakan untuk perjalanan darat  yang mampu memuatkan semua ahli rombongan dalam keadaan yang selesa.

Perjalanan secara pelayaran pula ialah dengan menaiki dua buah kapal yang serba lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik tidur, tandas dan dapur.Oleh kerana ini kali pertama menjejakkan kaki di (WNTT)  kami mengikuti segala yang dirancang pemandu pelancong kami, Marco Pearly Andalusia daripada syarikat pelancongan tempatan Indonesia, Margojoyo Travel and Tour. Dia merupakan seorang warga Indonesia yang sangat membantu apabila berjaya memberikan informasi lengkap setiap destinasi persinggahan dan menyusun segala perancangan perjalanan mengikut kehendak kami.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Setiap pelancong membelanjakan RM2,500 termasuk tiket kapal terbang dan makan minum bagi menyertai program menarik itu. Berikutan tempat-tempat yang dilawati merupakan destinasi pelancongan yang sudah sekian lama diimpikan, setiap ahli rombongan berasa sangat teruja dan  gembira.

Sesetengahnya masih tidak percaya yang mereka sudahpun sampai ke tempat idaman masing-masing selama ini. Penulis dapat melihat sendiri keindahan sesebuah tempat yang sangat sukar untuk dilihat di tempat lain. Setiap objek yang dilihat sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

IKLAN

Pengalaman dapat meluangkan masa selama hampir satu minggu bersama orang-orang yang baru dikenali sepanjang perjalanan juga sangat sukar dilupakan kerana mereka dianggap seperti ahli keluarga sendiri.Perjalanan yang agak lama dari satu tempat ke satu tempat merupakan cabaran yang harus kami hadapi dan keadaan jalan yang bersimpang siur menyebabkan ada dalam kalangan ahli rombongan yang mengalami sakit kepala sehingga menyebabkan muntah-muntah. Selain itu, tahap kecergasan seseorang juga diuji di sepanjang perjalanan yang memerlukan ahli rombongan mendaki untuk sampai ke setiap destinasi.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Sepanjang pelayaran kami berada di atas kapal, kami disajikan dengan aneka makanan laut yang sangat segar dan dimasak dengan begitu enak sekali. Kami juga dibawa untuk makan di restoran-restoran tempatan yang mengikut cita rasa kami sendiri. Oleh kerana trip kali ini khusus untuk melihat keindahan alam, penulis tidak berkesempatan meluangkan masa  ke lokasi membeli belah. Namun begitu, cukuplah segala kenangan yang dilalui dan rakaman beberapa gambar menarik sahaja dibawa pulang ke tanahair.

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

 

Teks & Foto : AZZIM ZAHID AZMI

Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI