Daerah Sepang antara daerah yang penting di Selangor kerana di sini menempatkan pelbagai fasilitis awam yang penting seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Tapi dalam masa kita ulang alik terbang ke sana ke mari melalui daerah Sepang ni, apa tempat percutian menarik yang boleh kita singgah untuk berehat, cuci mata, makan dan membeli belah? Okay ini antara lokasi yang dicadangkan kepada anda:

Movenpick Hotel

Hiasan ruang dalam Movenpick Hotel yang berunsurkan islamik, disertakan pokok kurma yang menambahkan lagi seri dalam penggunaan ruang hiasan dalamannya.

Anda cari hotel yang terbaik di daerah Sepang? Movenpick Hotel KLIA mungkin menjadi pilihan yang terbaik untuk anda. Hotel bercirikan rekaan Islamik ini hanya terletak 10 minit dari KLIA dan klia2, membuatkan sesiapa yang ingin datang ke Selangor atau Putrajaya tidak perlu berpenat lelah untuk mencari hotel yang lain. Malah, sekiranya kehadiran anda untuk menghadiri acara perlumbaan automotif di Sepang International Circuit (SIC), lokasi hotel ini juga berada kurang 7 minit dari SIC.

Kolam mandi hotel ini mengasingkan antara lelaki dan wanita, memberikan ruang privasi yang lebih kepada anda untuk santai dan beristirehat di sini.

Pelbagai fasilitis disediakan untuk kemudahan anda seperti kolam mandi yang berasingan lelaki dan wanita, gimnasium, spa dan enam restoran yang menyediakan pelbagai juadah masakan citarasa Malaysia kepada anda. Selain daripada itu, dewan konvensyen di sini juga mampu menampung sehingga 2,500 pengunjung pada satu-satu masa untuk bersidang.

Sepang International Circuit

Terkenal dengan jolokan nama ‘home of Malaysian motorsport’, Sepang International Circuit (SIC) adalah lambang kebanggaan rakyat Malaysia untuk sukan permotorannya. SIC terletak kira-kira 45 km di selatan Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

SIC bukan sahaja menjadi lokasi penganjuran sukan permotoran bertaraf antarabangsa semata-mata, ia turut menganjurkan pelbagai acara lain di peringkat domestik seperti konsert dan sebagainya. Malah, anda juga dibenarkan untuk menyewa trek bagi tujuan perlumbaan dengan harga individu yang ditetapkan oleh SIC.

Mula dibuka pada tahun 1998, SIC telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara permotoran berprestij seperti Formula 1, MotoGP dan Malaysian Championship Series.

Muzium Automobil Malaysia

Antara kereta klasik Ford yang dipamerkan.

Muzium Automobil Malaysia ini terletak di Welcome Centre SIC dan mempunyai ruang pameran dua tingkat, mempamerkan pelbagai jenis kenderaan klasik yang pernah digunakan di negara ini satu masa dahulu. Antara jenis kenderaan yang dipamerkan adalah The Brushmobile 1904, Ford Speedster 1923 dan Alvis Tourer 1935.

Selain daripada pameran kenderaan klasik, muzium ini juga menjadi pusat informasi mengenai sejarah automobil negara seiring dengan perkembangan industri automotif negara yang menjadi salah satu pengeluar kenderaan dan hub di rantau ini.

Pengunjung yang datang ke sini pasti akan lebih tahu mengenai perkembangan industri automotif negara yang melibatkan DRB-Hicom, Proton, Bufori, Modenas, dan juga Perodua. Kemasukkan ke muzium ini adalah percuma dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Go-Kart SIC

Ingin merasai memandu di litar Sepang tapi takut nak memandu kenderaan-kenderaan berkuasa tinggi? Okay, anda boleh cuba bawa Go-Kart dulu sebelum berjinak-jinak membawa kenderaan yang lebih besar ya. Bagaimana? Anda boleh ke SIC dan di sana, ada satu trek Go-Kart untuk anda yang ingin memandu kereta cilik tersebut.

SIC yang sebenar telah dibina pada tahun 1998 oleh jurureka trek F1, Hermann Tilke. Beliau bertanggungjawab untuk mereka bentuk keseluruhan trek SIC dan sebelum trek sebenarnya dibina, beliau telah membina trek kecil sebagai model terlebih dahulu.

Dan kini, trek model itulah yang digunakan sebagai trek untuk anda dan rakan-rakan berlumba menggunakan Go-Kart ala-ala Michael Schumacher dan Lewis Hamilton.

Ladang Buah Naga HL, Bagan Lalang

Queenie, Pengurus HL Dragon Fruit Sepang menunjukkan buah naga diladangnya yang sudah boleh dituai.

Penggemar buah naga pasti suka dengan lokasi kebun yang menjual buah naga segar dari ladang ni. Terletak di tepi jalan dari arah Sepang menuju ke Bagan Lalang, ada beberapa kebun buah naga yang boleh anda singgah seperti kebun buah naga HL.

Di kebun buah naga ini, anda boleh menikmati beberapa produk buah naga yang disediakan oleh pekebun seperti jus buah naga dan kentang lenyek bersoskan jem buah naga.

Jus buah naga adalah minuman yang anda perlu cuba sekiranya berkunjung di sini.
Kentang lenyek bersoskan jem buah naga menghasilkan kombinasi rasa yang sedap yang sukar untuk berhenti makan.

Untuk pengetahuan anda, ada beberapa lokasi lain penanaman buah naga di Malaysia tapi diperkatakan bahawa buah naga yang terletak di Sepang ini antara yang paling terbaik kerana tanah di sini yang kaya dengan nutrisi untuk pertumbuhan buah naga.

Anda juga boleh membeli buah naga anda untuk dibawa pulang dengan harga yang cukup kompetetif. Tip untuk anda, pilih buah naga yang telah seminggu dipetik, kerana isninya lebih manis berbanding yang baharu dipetik dari pokok.

Mitsui Outlet Park

Mitsui Outlet Park antara lokasi shopping barangan berjenama dengan harga rendah di Sepang. Selain daripada kedai membeli belah berjenama seperi Nike dan Salomon, di sini juga menyediakan anda dengan pelbagai deretan restoran beraneka juadah daripada masakan tradisi Malaysia hingga ke luar negara seperti makanan Jepun, barat, Perancis, Thailand dan masalah China.

Medan Ikan Bakar & Makanan Laut

Jika anda berkunjung pantai Bagan Lalang jangan lepaskan peluang menjamu selera di beberapa restoran Medan Ikan Bakar Dan Makanan Laut yang menghidangkan menu-menu yang yang enak dengan harga yang berpatutan. Antara restoran terkenal yang boleh anda pilih antaranya Restoran Bayu Malam Wak Lan Ikan bakar Dan Seafood, Restoran Senandung Malam Seafood, Restoran Terapung H.M. Sri Bagan Sdn Bhd dan Bagan Lalang Seaview Restaurant.

Tinggalkan Komen