Orang yang suka travel ini adalah mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di tempat orang. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman, tinggi pengetahuan.

Pengalaman yang dicari itu bukan sahaja dari segi masyarakat, budaya, dan suasana semata-mata. Antara perkara penting yang perlu dialami sendiri adalah juadah makanan tempatan yang ada di satu-satu tempat itu.

Jadi sewaktu kunjungan saya ke Langkawi baru-baru ini, saya cuba cari di manakah tempat yang best untuk saya menikmati makanan yang popular di negeri jelapang padi tersebut iaitu laksa ikan sekor. Dah alang-alang sampai, kita mesti kena try laksa!

Setibanya di sana, saya dicadangkan oleh beberapa orang rakan untuk makan laksa ikan sekor di Jalan Kuala Muda, bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Review di internet dan cerita mulut ke mulut mengatakan laksa yang dijual di sana memang sedap.

Tanpa melengahkan masa, saya berangkat terus ke lokasi yang dicadangkan pada hari kejadian. Memandangkan saya masuk ke Pulau Langkawi menggunakan feri, maka perjalanan saya untuk ke lokasi yang dimaksudkan agak jauh dan perlu menggunakan kenderaan. Jarak dari Pekan Kuah, Langkawi ke kedai-kedai laksa bersebelahan LTAL lebih kurang 18.4 kilometer dan memakan masa pemanduan lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi.

Tapi sekiranya anda datang ke Langkawi menggunakan kapal terbang, dekat sahaja untuk makan laksa ikan sekor di sebelah LTAL tu. Mendarat sahaja terus boleh pergi makan laksa.

Setibanya di sana, anda akan dapat lihat deretan gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan yang best di tepi pantai yang dipanggil Pantai Hujung. Ada banyak gerai-gerai yang menggunakan lori dan diletakkan bangku serta meja di sepanjang pantai tersebut.

Saya boleh katakan kepada anda, pemandangan di sini sumpah best. Anda makan betul-betul bersebelahan dengan pantai. Kebetulan pula sewaktu kunjungan saya baru-baru ini, air laut tengah pasang, jadi gigi air betul-betul hampir dengan kawasan pantai berdekatan dengan tempat makan. Suasana tenang dan damai sambil terdengar hempasan ombak laut di pantai, membuatkan saya rasa selesa untuk lepak makan di sini.

Saya singgah di satu kedai yang terletak di hujung depan deretan gerai-gerai yang saya katakan tadi, Zam Rojak Madu Cendol Special. Betul-betul berhadapan dengan LTAL, berbumbung khemah berwarna merah. Di sini rakan saya kata ada satu lagi menu special selain daripada laksa ikan sekor yang disediakan iaitu laksa sambal sotong.

Wah, sambal sotong. Sambal sotong memang kegemaran saya, jadi tanpa membuang masa, terus saya pesan laksa sambal sotong dengan sambal sotong extra berserta ABC kelapa. Ada rakan saya yang pesan makanan dan minuman lain seperti mee rojak madu dan ABC milo.

Sebaik juadah tiba dan kami makan dengan seleranya, terlupa segala masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dengan suasana tempat makannya yang best, dan dengan makanannya yang sedap, i can say that this is the best spot if you want to try laksa in Langkawi!

Highly recommended untuk anda semua adalah laksa sambal sotong, mee rojak madu sambal sotong, ABC kelapa dan juga ABC milo. Memang sedap dan saya bagi jaminan, anda akan pesan lagi lepas makan semangkuk! Hahaha. Harganya juga saya katakan berbaloi dengan makanan yang anda pesan. Tak mahal, anda mesti puas makan dengan member-member ataupun bawa family.

Kalau anda nak bawa family makan di sini, anda perlu berhati-hati sedikit dengan anak-anak kecil, lebih-lebih lagi yang aktif, kerana tempat makan ini terletak bersebelahan dengan LTAL, banyak kapal terbang yang turun naik di sini. Tambahan pula, jarak antara LTAL dengan gerai makan hanyalah sebatang jalan yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Jadi pastikan keselamatan anak-anak anda terjaga di sini.

Yang kedua, bawak baju lebih. Sebab takut nanti lepas makan laksa sambal sotong dengan ABC milo, ada budak-budak yang terjun terus kelaut! Hahaha.