Di hari dan bulan yang mulia ni, Libur nak terbitkan artikel yang berunsur kerohanian sikitlah untuk tatapan para pembaca sekalian.

Cerita ni bukanlah cerita original daripada Libur, cerita ni Libur baca daripada hantaran Facebook Qalam Dakwah. Kredit kepada si pemilik cerita sebenar, tapi isi kandungan yang ada pada cerita tersebut, membuatkan Libur terpanggil untuk kongsikan kepada anda semua.

Di bulan Ramadan, solat Jumaat atau solat raya selalunya kita ditontonkan dengan visual television lautan manusia solat di Mekah kan? Di samping lautan manusia yang solat itu, ada kedengaran satu suara merdu dan lunak sang imam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Tapi pernahkah anda tahu dan lihat ruang solat sang imam di Masjidil Haram dan macam mana suara beliau mengalunkan dengan merdu dan lunak bacaan Al-Quran boleh didengari di seluruh Masjidil Haram?

 

Jawapannya ada pada gambar di atas. Macam ni la keadaan atau rupa tempat solat sang imam besar Masjidil Haram yang terletak betul-betul di hadapan pintu Kaabah. Dihamparan sejadah sang imam itu kita boleh lihat ada botol air dan tisu yang diletakkan bersama untuk kegunaan sang imam, disamping beberapa set alat pembesar suara yang seakan-akan diperbuat daripada emas.

Menggunakan pembesar suara bermutu tinggi di dunia

Difahamkan bahawa kesemua pembesar suara itu berjenama Bermerk Sennheiser yang paling berkualiti tinggi dan mempunyai keseluruhan 10 buah pembesar suara – 3 berada sejajar imam berdiri, 3 sejajar imam rukuk dan 3 sejajar imam sujud manakala satu lagi pembesar suara berupa pembesar suara jenis klip tanpa wayar yang dikepilkan pada jubah sang imam.

Ini lah rahsia bacaan sang imam itu tadi begitu merdu dan lunak. Di samping suara mereka yang sedap untuk didengari halwa telinga, pemilihan pembesar suara bermutu tinggi juga memainkan peranan dalam memberikan keasyikkan kepada jemaah menghayati solat mereka.

Kebiasaannya, apabila cuaca berubah menjadi panas, posisi sang imam Masjidil Haram ini akan dipasangkan payung dan diletakkan penghawa dingin mudah alih bagi memberikan sedikit keselesaan kepada sang imam.

Anda pernah pergi menunaikan umrah atau haji? Sekiranya pernah, anda mesti pernah terserempak dengan petugas-petugas yang berkerja di Masjidil Haram. Merekalah yang bertanggungjawab membuat persiapan di ruang posisi sang imam solat sebelum dan sesudah waktu solat.

Petugas-petugas di Masjidil Haram berkerja dengan hebat. Mereka melaksanakan kerja dengan begitu tekun, cekap dan cepat. Sekiranya anda berpeluang untuk melihat cara mereka berkerja depan mata, anda pasti kagum dengan koordinasi diantara mereka kerana mereka akan berkerja dalam kumpulan besar.

Sekiranya anda perhatikan kembali ruang solat sang imam Masjidil Haram itu tadi, anda akan lihat kabel pembesar suara yang ada di situ bersambung dengan dengan sistem pembesar suara melalui ruang bawah tanah yang dicipta khas untuk itu.

Dikhabarkan, kabel sistem pembesar suara itu diperbuat daripada kabel optik terbaik hinggakan suara sang imam tidak terganggu atau lambat dan boleh didengari secara langsung oleh semua jemaah di setiap pelusuk dan penjuru Masjidil Haram yang berkeluasan 400,800 kaki persegi itu.

Pembesar suara diharamkan ulama masa dahulu

Dahulunya, penggunaan pembesar suara ini diharamkan ulama Saudi dan berpendapat cukup Muballigh sahaja yang menyampaikan suara imam ke belakang untuk didengari oleh jemaah. Walau bagaimanapun, keputusan itu mendapat protes daripada ulama di seluruh dunia yang lain antaranya Sheikh Muhammad Mutawalli As Sya’rawy dari Mesir.

Hujah yang digunakan oleh Sheikh Sya’rawy kepada ulama Saudi pada ketika itu adalah soalan, bolehkah penggunaan kacamata dalam membaca Al-Quran? Ulama Saudi ketika itu sepakat menjawab boleh dengan alasan kacamata adalah alat pembesar dan penjelas tulisan Al-Quran sehingga benar untuk dibaca.

Kemudian, Sheikh Sya’rawy meneruskan hujah, “jika demikian, apa bezanya dengan pembesar suara? Bukankah ia memperbesar dan memperjelas bacaan Al-Quran sehingga boleh didengari oleh sesiapa pun di belakang?”

Sejak dari itu, pembesar suara kemudian dipasang di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi untuk kegunaan imam memperbesarkan dan memperjelaskan bacaan Al-Quran sewaktu solat. Namun, Muballigh tetap ada dan jumlahnya dikurangkan menjadi satu orang sahaja dan digantikan dengan Muadzin.

Kepada anda yang tidak tahu mengenai Muballigh, Muballigh adalah seseorang yang ditugaskan untuk memperjelaskan suara takbir dan salam sang imam kepada jemaah yang berada di belakang.

Kini, Muballigh juga menggunakan pembesar suara dalam mengiringi takbir sehingga salam sang imam dengan menggunakan pembesar suara yang sama, cuma yang berbeza adalah posisi pembesar suara tersebut. Jika sang imam berada betul-betul di hadapan Kaabah, Muadzin dan Muballigh akan berada di ruangan khusus di salah satu sudut di Masjidil Haram.

Kredit: Qalam Dakwah