Aktiviti menunggang gajah adalah salah satu tarikan paling popular di kalangan pelancong yang datang ke Angkor Wat, Kemboja.

Walau bagaimanapun, aktiviti menunggang gajah yang dilatih khas untuk tujuan menarik minat pelancong ke tempat itu akan dihentikan sepenuhnya menjelang tahun depan.

Sekumpulan 14 ekor gajah yang dipaksa berkerja setiap hari membawa pelancong itu akan dipindahkan ke pusat konservasi dan pembiakan awal tahun depan. Perkara itu sudah disahkan oleh Jawatankuasa Kawanan Gajah Angkor Wat (JKGAW).

⚠️ TRAVIA ⚠️
Seramai 2.5 juta pelancong antarabangsa melawat Angkor Wat setiap tahun

 

Pada tahun 2016, seekor gajah di sana dilaporkan mati ketika sedang membawa dua orang pelancong mengelilingi monumen bersejarah itu seterusnya mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat antarabangsa akibat kejadian yang berlaku.

Dua tahun selepas itu pada 2018, satu petisyen berkenaan resolusi untuk menghentikan penderaan terhadap gajah di sana telah mendapat 14 ribu tandatangan dalam masa 48 jam selepas sekali lagi haiwan gergasi itu mati akibat kepenatan selepas membawa pelancong.

Menurut Pengarah JKGAW, Oan Kiry, aktiviti menunggang gajah di Angkor Wat akan dihentikan namum pelancong masih boleh berjumpa dengan gajah dan bergambar bersama haiwan tersebut di pusat konservasi dan pembiakan di mana haiwan tersebut bakal ditempatkan kelak.

Dianggarkan terdapat 70 ekor gajah yang dikomersialkan dan pakar mentakrifkan bahawa masih ada lebih kurang 500 ekor gajah liar di Kemboja.

Jumlah gajah di Kemboja dan beberapa negara sekitar Asia Tenggara didapati menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat daripada pemburuan haram, pemusnahan habitat alam semula jadi dan konflik diantara manusia dan haiwan tersebut akibat pembangunan.

Sumber: Metro UK