Berpeluang melancong ke tempat atau negara orang, ramai pelancong yang suka untuk melawat ke kawasan kampung atau penduduk asal sesuatu negara itu. Ini kerana di kampung-kampung selalunya senang untuk mencari dan mencuba makanan tradisi yang sedap dan unik. Orang kampung dikatakan lebih menghargai cara memasak dan hebat menyediakan sajian makanan.

Begitu juga ketika hari perayaan, kenduri kendara, musim buah atau hari keramaian, makanan adalah faktor yang amat penting dihidangkan dengan ‘mewah’ kepada tetamu jika anda menetap bersama komuniti di luar bandar dan kampung-kampung. Walaupun ada setengahnya yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, tetapi rezeki dalam bentuk makanan selalunya sering dikongsi bersama.

Disebabkan itu, tidak mustahil kadar obesiti di seluruh dunia meningkat lebih cepat di kawasan luar bandar atau kampung berbanding bandar-bandar besar, lapor satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Nature. Sekali gus telah menukar persepsi umum bahawa epidemik berat badan berlebihan tertumpu di kawasan bandar kerana gaya pemakanan tidak seimbang.

Data yang dikumpulkan oleh lebih 1,000 penyelidik meliputi 200 negara dan wilayah menunjukkan purata berat badan setiap wanita dan lelaki yang menetap di kawasan pedalaman meningkat antara 5 hingga 6 kilogram dari tahun 1985 hingga 2017. Peningkatan berat badan wanita dan lelaki di bandar pula berkura­ngan masing-masing 38 peratus dan 24 peratus berbanding penduduk di kawasan kampung pada tempoh sama, demikian menurut kajian itu .

“Hasil kajian di seluruh dunia ini menukar persepsi umum bahawa lebih ramai orang yang tinggal di bandar-bandar menjadi punca utama peningkatan obesiti global. Ini bermakna kita perlu memikirkan semula bagaimana kita mena­ngani masalah kesihatan glo­bal ini,” kata penulis utama kajian itu, Majid Ezzati dari Kolej Imperial London.

Obesiti hari ini membimbangkan kesihatan global. Ini kerana ia menyumbang kepada peningkatan sakit jantung, diabetes dan pelbagai jenis penyakit kanser. Perbelanjaan tahunan bagi me­rawat impak kesihatan tersebut boleh mencecah AS$1 trilion dolar (RM4.15 trilion) menjelang tahun 2025, demikian menurut anggaran Persekutuan Obesiti Sedunia dalam tahun 2017.

Sehingga kini, kebanyakan dasar untuk menangani obesiti sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa tertumpu pada bandar-bandar besar termasuk kempen meningkatkan kesedaran warga kota, pengubahsuaian ruang bagi menggalakkan senaman jalan kaki dan pembinaan pusat sukan. Selepas ini, dasar untuk mengurangkan kadar obesiti diharap dapat tertumpu juga untuk mereka yang berada di kawasan luar bandar atau kampung-kampung.

Sumber: Dailymail|Kosmo

Tinggalkan Komen