Dapat menghabiskan masa di sebuah pulau tanpa ada sebarang gangguan yang melanda menjadi idaman ramai manusia di dunia. Disebabkan itu ramai yang berebut dan mencuba nasib jika ada tawaran untuk menjaga atau duduk di sebuah pulau selain ditawarkan dengan gaji yang cukup lumayan.

Kerja tidak stres, dan duit pula banyak siapa tidak mahu kan? Namun perlu diingatkan tugas menjaga sebuah pulau sebenarnya juga dianggap mencabar kerana terpisah dengan dunia luar, termasuk bersabung nyawa memastikan keadaan pulau berada dalam keadaan baik.

Namun itu tidak menjadi masalah kepada sesetengah orang, seperti pasangan Lesley Kehoe, 27 dan Gordon Bond, 29. Mereka terlihat iklan mencari penjaga pulau di Great Blasket Island, juga dikenali sebagai An Blascaod Mor.

Pulau ini terletak di luar pesisir daerah Kerry, Ireland. Pasangan itu terus menghantar permohonan untuk jawatan tersebut dan berjaya dipilih sebagai penjaga pulau. Mereka sanggup berhenti kerja hakiki yang menjadi rebutan ramai di bandar semata-mata untuk menjadi penjaga pulau.

Mereka kini tinggal di pulau itu tanpa bekalan air panas mahupun elektrik malah mungkin terputus hubungan selama beberapa hari jika cuaca buruk melanda. Ada turbin udara yang memberi bekalan elektrik kecil kepada satu soket di pulau ini, namun ianya tidak cukup kuat untuk menggunakan alat elektrik.

Walau bagaimanapun bekalan tersebut masih mampu mengecas telefon bimbit mereka. Kemudahan telefon bimbit tersebut akan digunakan hanya untuk menghubungi pihak berkuasa, ketika kecemasan atau mendapatkan bekalan makanan.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup di pulau terpencil itu Kehoe dan Heaney akan membeli barang keperluan dari seberang laut menggunakan telefon. Bekalan mereka dihantar menggunakan bot dari pekan Dingle, pekan Bantry dan perkampungan Dunquin.

Tugas pasangan ini di pulau itu dijangka tamat pada Oktober ini tetapi mereka sukar membayangkan kembali kepada kehidupan rutin lama. Walaupun hidup dalam serba kekurangan dan tidak moden di pulau ini, kemungkinan mereka akan terus memohon untuk mejadi penjaga pulau tersebut untuk tempoh beberapa tahun lagi.

Pulau Great Blasket sebelum ini mempunyai sebilangan penduduk sehingga tahun 1953 apabila kerajaan Ireland membuat keputusan mereka tidak dapat lagi menjamin keselamatan komuniti di pulau itu memandangkan pasukan kecemasan sukar ke sana sekiranya cuaca buruk.

Sumber: Dailymail| Kosmo