Bagi peminat filem seram pasti tidak dapat melupakan adegan-adegan menakutkan dalam filem The Conjuring yang memaparkan kisah sepasang suami isteri diganggu entiti mistik di sebuah rumah.

Filem ini diadaptasi daripada kisah benar dan telah mendapat pelbagai reaksi kerana ada yang mendakwa kisah ini hanya rekaan dan sengaja diada-adakan. Sejauh mana dakwaan kisah ini hanya rekaan penghuninya masih diperdebatkan sehingga kini.

The Conjuring ditayangkan pada tahun 2013 yang dibintangi Vera Farmiga dan Patrick Wilson, yang membawa watak ED dan Lorraine Warren. Filem berkenaan mengisahkan tentang penyiasatan paranormal untuk membantu keluarga Perron (lakonan Ron Livingston dan Lili Taylor) yang mengalami peristiwa mistik di rumah mereka di Harrisville, Rhode Island pada tahun 1971.

Jika sekali lihat, tiada sebarang yang pelik terhadap rumah jenis dua tingkat yang menjadi lokasi pengambaran filem ini. Namun begitu, misteri yang menyelubungi rumah itu telah menarik minat pelbagai pihak untuk memilikinya. Sepasang suami isteri dari Mexico, Maine membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut.

Setelah menginap di rumah tersebut, mereka mengakui mengalami gangguan misteri dan kejadian aneh selepas membeli rumah ladang yang menjadi lokasi penggambaran filem seram The Conjuring di Rhode Island, Amerika Syarikat.

Pasangan Cory dan Jennifer Heinzen yang merupakan penyelidik paranormal sejak 10 tahun lalu bagaimanapun masih enggan meninggalkan rumah itu yang dibeli mereka pada Jun lalu.

“Kami membeli rumah ladang ini meskipun tahu ia memiliki sejarah yang gila. Persekitarannya nyata mempesonakan dan amat tenang, malah siap dengan sungai di bahagian belakang rumah serta sebuah kolam. Kami jatuh cinta kepada rumah itu. Selain itu, sejarah keluarga Warrens menguatkan lagi minat kami untuk memiliki kediaman ini,” katanya.

Hampir dua bulan menetap di rumah itu, Cory mengakui berdepan gangguan misteri dan keadaan mulai seram. Tambahnya, mereka pernah terdengar bunyi suara-suara pelik, hentakan kaki dan ketukan di sekitar rumah selain daun pintu terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Agak sukar untuk tinggal di rumah itu. Ia kedengaran sangat ‘sibuk’. Kali pertama bermalam seorang diri di situ agak menyeramkan. Bohong kalau saya katakan saya tidak gementar, tetapi itulah tujuan utama saya,” tambah Cory.

Sementara itu, Jennifer tetap optimis tentang projek mereka untuk membuka rumah mereka kepada penggemar paranormal atau pelancongan mistik.

“Amat menakutkan sebenarnya tinggal di rumah ini kerana banyak perkara yang berlaku, namun ia tetap selesa bagi kami. Kami merancang untuk melestarikan sejarah rumah ini sebelum membukanya kepada pengunjung dan penyelidik paranormal hujung tahun ini,” katanya.

Sumber: TodayAstro Awani