Tasik Kenyir yang terletak di Terengganu merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar. Ia juga merupakan empangan hidroelektrik yang dilitupi konkrit terbesar di Malaysia. Apabila kawasan itu dibanjirkan, kebanyakan bukit berada di atas paras air lalu membentuk kira-kira 340 pulau buatan manusia.
Hutan hujan yang mengelilingi kawasan tasik mewujudkan pemandangan flora dan fauna yang menakjubkan. Ia turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies bunga dan spesies tumbuhan serta ratusan spesies ikan air tawar seperti baung, toman, kelisa, lampam dan kelah.
Tasik Kenyir adalah tempat percutian hebat bagi pencinta alam semula jadi memandangkan ia dikelilingi hutan hujan tropika tebal. Dikelilingi hutan tropika yang luas, kawasan tasik buatan manusia ini terkenal dengan aktiviti memancing, menaiki bot, berkayak, meredah hutan, atau pemanduan pacuan empat roda.
Pelbagai jenis penginapan disediakan bermula dari bertaraf tiga bintang meliputi chalet di atas pulau, resort terapung atau rumah bot. Jika memilih untuk menginap di rumah bot yang menyusuri sungai hingga ke kawasan air terjun dan kawasan memancing memberi pengalaman menyeronokkan kepada pencinta alam semula jadi.
Air Terjun Tasik Kenyir
Salah satu produk pelancongan yang menarik di Tasik Kenyir ialah air terjun. Terdapat 14 lokasi air terjun termasuk yang popular iaitu Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Sungai Buweh dan Lata Terap.
Air Terjun Lasir
IKLAN
Dengan ketinggian 500 kaki, Air Terjun Lasir merupakan air terjun tercantik dan paling sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berendam dan berenang kerana ia mempunyai beberapa kolam yang luas. Air terjunnya cantik dan bertingkat-tingkat. Antara yang menjadi tarikan di Air Terjun Lasir ialah menara tinjau dan jambatan gantung yang menyeberang air terjun. Air Terjun Lasir terletak 16 km dari Pengkalan Gawi. Perjalanan dengan bot mengambil masa 30 hingga 45 minit.Aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung di Air Terjun Lasir ialah mandi-manda, berkhemah, merentas hutan dan mendaki.
Air Terjun Saok
Air terjun yang agak landai dan terletak lebih hampir dengan Pengkalan Gawi ialah Air Terjun Saok. Ia juga merupakan kawasan yang sering dikunjungi tetapi tidak mempunyai kolam-kolam yang besar sebagaimana Air Terjun Lasir. Taman Herba di Pulau Sah Kecil terletak tidak jauh dari laluan masuk ke kawasan Air Terjun Saok ini. Lokasi Air Terjun Saok ialah di Pulau Besar, Hanya 8 km dari Pengkalan Gawi. Perjalanan menaiki bot dari Pengkalan Gawi mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit. Ia merupakan satu lagi destinasi popular untuk berkelah dan menikmati keindahan alam semulajadi.
IKLAN
Santuari Kelah, Tasik Kenyir
Santuari Kelah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi, dibangunkan dan diselia oleh Ketengah selaras usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.
Pengunjung pasti terpengun melihat beribu-ribu kelah, malah ikan-ikan ini tidak berganjak walaupun menyedari kehadiran manusia. Ikan kelah di sini sentiasa menanti kehadiran pengunjung untuk menghulurkan makanan berupa palet ikan. Selain memberi ikan kelah makan, anda juga berpeluang untuk memegang ikan ini.
IKLAN
Berkuatkuasa awal Mac 2019, kadar harga tiket masuk ke Santuari Kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir adalah sebanyak RM25 untuk pengunjung dewasa. Bagi kanak-kanak pula bayaran yang dikenakan adalah RM15 manakala kalangan bukan warganegara, sebanyak RM45 (dewasa) dan kanak-kanak (RM25). Kadar berkenaan meliputi tiket masuk, pertukaran bot dari Kompleks Santuari ke Hentian 1 di Sungai Petang di samping barangan cenderahati dan snek.
Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir
Bagi yang ingin melihat dan berinteraksi dengan si gajah boleh berkunjung ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir atau Kenyir Elephant Conservation Village (KECV). Kebanyakan gajah di KECV rata-ratanya adalah anak gajah yatim piatu. Gajah berkenaan sangat manja, begitu terlatih, selain ‘mendengar’ kata atau arahan daripada gembala mereka. Pengunjung di beri peluang untuk memberi gajah makan serta mandi bersama anak gajah. Ianya sesuatu yang menyeronokkan!
Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir
Tasik Kenyir memiliki tarikan untuk kaum wanita apabila diisytiharkan sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan yang dikecualikan cukai bermula tahun 2017 lalu. Pusat jualan di sini terdiri daripada lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan, mangkuk dan peralatan memasak. Penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol.
Siapa kata waktu travel tak boleh jumpa jodoh? Artikel ni Syu Azis membuktikan cinta tak kenal backpackers tau. Sudahlah dapat husband oversea, rumah mertua dia best pulak. Argh! Geram.
okay takpa-takpa. Apa-apa pun, kita baca kisah Syu Azis ni first time ke rumah mertua beliau di Lahaul, India.
Ada info dan tips juga yang beliau kongsikan Selamat membaca
Salam semua.. Saya nak share trip bulan 10 tahun lepas ke rumah mentua saya di Lahaul, Himachal Pradesh, India. Ini first time post dekat group di media social, segan sikit rasanya
Terletak di daerah Gondhla & ini kali pertama saya kesana walaupun dah hampir setahun berkahwin. Bagi yang tahu Lahaul Spiti, mesti dapat agak tempat dia macam mana. Saya share sedikit gambar-gambar yang bagi saya in real tersangatlah indah. Sedikit cerita seperti berikut ya, maaflah kalau panjang sangat :
Bahasa Lahauli:
Ding antanchi, di jaga nishi tochi (i dekat hujung tu tak bunyi)
Jemput datang, tempat ini sangat cantik
Dari mata turun ke hati
Sedikit coretan macam mana saya kenal husband. Saya jumpa dia pada tahun 2015, trip kedua saya ke India, half solo half with geng, Iena & Raha.
Saya jumpa dia sebab charger saya hilang. Dan kedai dia dekat main road, dia ada kedai phone & accessories di Manali Mall Road.
Saya mulanya tak suka dia sebab dia cas saya mahal, yela saya kan tourist. Masa tu dia tak pandang saya, busy kemas kedai tertonggeng tonggeng, pagi sangat time tu.
Cousin dia yang handle saya. Lepas dia pandang, adoi saya pulak yang terkesima jadi tak tentu arah. Sampailah phone saya pulak buat hal, tinggal kedai dia.
And lepas handphone elok saya dapat Whatssap dari dia say hi.. Rupanya dia ambik nombor saya masa phone rosak. Saya tak layan tapi lepas tu jadi kawan baik.
Sampailah dia propose kahwin. Walaupun ramai girl termasuk foreigner taruh hati pada dia, tapi dia pilih saya dan walaupun saya gemuk masa tu sekarang kecik sikitlah, dia sayang terlampau sayang. Bangga kejap ?
Buka tingkap nampak gunung, tutup tingkap nampak cinta ?
Rumah mertua berhadapan dengan beberapa ketul gunung ganang yang cantik gila. Bukak pintu rumah or dari dalam bilik kami nampak gah sangat. Seriously terpegun & takjub dengan kuasa Allah SWT.
Rumah mentua juga sangat bersih dan terjaga, tersusun. Sejenis saya yang suka benda kemas ni memang happy lah. Hari hari depa sapu, mop lantai especially dapur.
Sudah masuk winter jadinya tanah, gunung botak tapi sangat cantik dengan autumn yang hampir ke penghujung nampak lawa semuanya. In summer memang hijau, tersangat cantik dan kurang sejuk.
Walaupun saya dan suami menetap di Manali, gunung jugak tapi tak sama dengan Lahaul.Tiada pencemaran langsung, bersih, jalan raya berturap cantik, penduduk tak ramai, sunyi, selamat sampaikan masa reach Lahaul ni terpesona sekejap, semacam datang je dunia lain aje, rare.
Seronoknya kehidupan tenang macam ni
Low crime rate disini atau boleh katakan tiada langsung.
Tiada line telefon, kalau ada pun Telco BSNL yang ada 2G je. Maybe next year akan ada 3G, 4G dan lain lain telco like Airtel, Jio dan Idea pulak. Takde line pun saya rasa okay sebab sini tenang, damai walaupun kekadang tu pishang ?.
Air percuma, klinik kerajaan pun percuma kos rawatan & ubat ubatan.
Air minum fresh, sumber dari glasier atas gunung sedap sangat-sangat dan minum terus aje, tak perlu masak.
Dari atas bukit rumah mentua boleh nampak sungai jernih warna biru hijau bak mata Missworld 1994 Aishwarya Rai ? yang mengalir dari sungai Chandra dari asalnya Chandratal Lake mengalir ke utara.
Tak banyak kenderaan atas jalan raya, bunyi horn juga hampir tiada. Privacy at its best.
Nak makan apa-apa, cabut sendiri dari tanah
Emak, ayah mertua & adik ipar perempuan petani, jadi keliling rumah penuhlah dengan pokok sayur macam salad hijau, salad kuning & purple, kobis hijau & purple, carrot, brokoli, kentang merah, tomato, cauliflower, bawang besar, epal, pokok bunga lily, gardenia, rose etc.
Agak agak nak makan, pergi cabut salad & carrot makan gitu je sedap sungguh sebab tak gunakan racun perosak. Bawang besar semua size gedabak. Katanya bawang jenis hybrid, patut ler besar pun. Masa nak balik Manali, berguni guni kami dapat bekalan stok sayur, bawang, kentang, butter, ghee, gandum.
Susu nak minum perah sendiri. Minum susu fresh setiap hari. Butter dan ghee pun mentua buat sendiri. Thanks to lembu comel 4 ekor kesemuanya ?
Mertua sekeluarga cakap bahasa dialek Lahauli, jadinya memang saya blur kejap bila depa sembang. Tapi depa tahu hindi so dekat situ bolehlah sembang jugak sebab saya boleh lah jugak cakap hindi. Blur kalau hari hari dengar zong seng toch noch macam bahasa Korea pun ada, cina pun ada, Russia pun ada ?.
Diorang amalkan gaya hidup sihat
Kehidupan mereka sederhana & sihat walafiat. Nenek mentua yang saya panggil Dadi masih sihat, tiada penyakit, tak bertongkat, tak pakai spek mata mcm saya walaupun umur nak cecah 90 tahun. Sekali Dadi cengkam tangan saya adoi kuat betul dia ni, agaknya sekali dia lesing berpusing kau ?.
Dadi sangat manja dan selalu usik saya. Dia perfectionist and tak boleh tengok pinggan mangkuk lama dok atas meja, sure dia ambik & basuh. Tu belum tengok dia siapkan tempat tido (winter depa tido dapur sebab ada tandoor heater tu).
Walaupun berbeza agama, adat tradisi, fahaman dan sebagainya saya sangat hormati & sayangkan mereka. Bab makan juga Alhamdulillah kena dengan selera saya walaupun makan sayur saja. Sedap, simple dan tak terlalu berempah macam tempat lain di India.
Sedapnya makanan lokal diorang ?
Mereka banyak makan sup, dhaal, momo (sejenis macam dimsum inti sayur atau ayam/mutton), sayuran hasil tanaman sendiri & roti yang dibuat sendiri. Makan kentang rebus pun dah sedap bagi tekak saya.
Air teh tempatan depa panggil ‘Namkeen Tea’ yang diperbuat dari kayu apa saya tak sure, rebus campur dengan susu, butter & garam. Walaupun dengarnya pelik kan tapi rasa dia sedap. Mentua kalau bagi minum sampai 4-5 gelas sampai kembung perut ni.
Sini memang kampung habis. Orang perempuannya memang duduk rumah saja dan tak kemana mana melainkan kawasan rumah, tanah sendiri or jalan utama saja. Saya ni excited, so jalan-jalanlah kerumah jiran nak explore siap sembang bagai nak rak. Dah adik ipar kejar suruh balik dan dia kata jangan suka suka pergi rumah orang. Nanti jadi gossip sebab sini kampung ?.
Kaum perempuannya dididik dengan sangat baik. Hormat orang tua, rajin yang amat rajin, sopan santun, pandai masak, pandai mengait, pandai bertani, kemas rumah dan sentiasa memuliakan tetamu. Mereka jugak tak boleh tergedik gedik depan orang yang tak dikenali apatah lagi orang lelaki asing. Ni baru contoh hantaran tinggi melangit kan ooppsss ?.
Siapa nak datang sini jangan datang time winter ☃️
Dekat sini angin tiup macam duduk tepi laut tapi tahulah kan sejuknya macam mana. Suhu winter boleh cecah ke -17. Access road ditutup dari November to April coz snow tebal boleh cecah 6 ft. Kalau bukan winter saya dah stay sebulan dua dekat sini, tapi
InsyaAllah next year in summer saya nak duduk sini. Boleh tolong mentua bercucuk tanam, masak & perah susu lembu ke. Summer adalah busy time bagi depa. Time tu lah upah pekerja untuk bercucuk tanam sayur, so pagi-pagi lagi dah kena masak capati beratus keping nak bagi makan pekerja.
Mentua sangat-sangat rajin, buat kerja dari pagi sampai malam, sebab tu fit dan kuat. Walaupun mereka tua, rasa malu sebab tenaga mereka hebat. Ayah mentua pemalu, emak pula tak tahu nak sembang apa tapi dia cukup suka kalau tengok saya berhias. Lepas mandi tengok saya sikat rambut nanti dia puji lawa, kemas. Tak kemas nanti dia tegurlah. Saudara mara datang pun kena tengok saya dah lawa ke belum, then baru lepaskan saya jumpa ?.
First time diorang jumpa orang gemuk ?
First time jumpa saya, emak & adik ipar terkejut sebab saya gemuk. Belum pernah dalam sejarah keturunan depa ada yang gemuk. Tersentap sekejap! ? Atas nasihat diorang yang cakap dengan penuh berhemah, kita pun ambil inisiatif untuk turunkan berat badan. Padahal time tu dah lost 12kg kot. Skang total weight lost dah 28kg. Berhasil kau??. Nasihat yang berguna saya ambil. Lagipun sekarang banyak faedahnya saya dapat bila makin mengecil.
Amalan bersila pulak amalan kaum diorang so aku duduk bersimpuh aje lah dah bersila tak boleh hahaha lantakkan ?. Yelah peha besar dulu mana boleh nak bersila bagai, bersimpuh pun sopan apa? ? Sekarang alhamdulillah boleh bersila dengan sempurna.
Jom melancong ke sini 2020
Tahun ini or 2020 tunnel akan dibuka dari Solang Valley terus ke Lahaul. Memudahkan kami lawat family mentua dan memandangkan tunnel hampir siap, ramai penduduk tempatan yang balik semula ke Lahaul kerana daerah ini akan membangun dan jadi golden area untuk tourist.
Mereka akan start buat guesthouse dan husband mungkin akan komersialkan tempat ni dengan buat homestay rumahnya sendiri InsyaAllah. Husband jugak dalam plan nak tambah beli tanah di daerah ini. Menariknya, orang luar yang bukan penduduk asal Lahaul tidak boleh beli tanah di sini.
Budaya di sini berbeza, disebabkan depa dari suku kaum yang lain. Pakaian pun berbeza. Dengar kata saya kena pakai baju tradisional depa kalau majlis resepsi belah husband jadi buat, buat saya senyum aje. Tapi atas dasar hormat, pakailah juga kot nanti. Sopan je pun. Orang perempuan ada pakai tudung jugak tau jenis ikat macam orang zaman dulu, boleh tengok gambar.
Dari sampai rumah mertua, saya dihidangkan dengan makanan tradisi diorang yang macam rasa kuih tiram kita, cuma tak ada gula. Sedap sangat sampai habis kena buat lagi. Bertuah punya menantu. Nama kuih tu marchu. Saya pun belajar buat, bawak balik Manali.
Chai, susu segar dan namkeen chai
Sebelum sarapan wajib minum 3 gelas chai (teh susu), lepas tu 3 gelas susu segar, petang pulak namkeen chai 4-5 cawan cina kecil. Memang ulang alik ke toilet selalu ?
Masakan, okay seingat saya lah kan, depa masak guna bawang putih, bawang merah, kunyit dan garam sahaja untuk dhaal, sayur. Tapi sedap, simple. Stor simpanan makanan berpeti peti, size gedabak pulak tu macam untuk setahun. Rupanya untuk 6 bulan winter saja, perghhh.
Masa waktu makan, emak mertua & adik ipar akan hidangkan kami makan macam tuan, puan besar. Berhidang setiap seorang, selagi kami makan tak kenyang selagi tu depa tak makan. Makan pulak dalam pinggan macam emas, harganya mahal! Sebiji pinggan cecah RM50.00. Tapi hanya akan hidang makan dalam pinggan tu sahaja. Berat pulak tu.
Husband tak pernah cerita lebih-lebih pasal tempat dia dibesarkan ni. In fact dia tanya suka tak? Dia takut bini dia tak suka. Apa hilang akal ke punya lah cantik tempat ni sampai aku berlari lari dengan bawak backpacknya, berat pun beratlah masa tu dah sampai rumah mentua. Sebab teruja. ?
Lupa saya nak tambah. Mentua saya dan adik ipar saya tidak pernah keluar dari Himachal Pradesh dan tidak pernah ke Delhi. In fact, diorang pun tak suka tempat yang sesak, kotor dan udara tidak sihat. Banyak jugalah diorang tanya saya Delhi tu macam mana? Hehe siapa yang asal India sebenarnya ni? ?
Akhir kata, dari nak stay 3 hari aje dekat sini, terlajak ke 16 hari. Sampaikan mama dekat Malaysia jatuh sakit menangis setiap hari dok kenang manalah anaknya ni? Risau dia. Yelah line takde nak call lagu mana habaq mai? Mama mertua pulak kalau dapat delay sehari ke sehari bukan main happy dia. Adoilah dedua mama aku ni
Terima kasih baca sampai habis.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Setiap kali memikirkan destinasi penginapan di dalam negeri, anda perlukan masa untuk mencari penginapan yang selesa dan berbaloi. Mulai dengan memeriksa harga di pelbagai agen pelancongan seperti Agoda, melihat review di blog-blog peribadi dan Trip Advisor, hingga memeriksa lokasi penginapan di Google Maps dan menyesuaikannya dengan jadual yang telah disusun.
Lokasi penginapan yang dekat dengan pengangkutan awam ini sering kali jadi keutamaan kerana mudah bergerak ke mana-mana sekitar Kuala Lumpur
Bagi yang ingin merasai pengalaman sebenar tinggal di Kuala Lumpur, Hotel The Kuala Lumpur Journal harus menjadi pilihan. Lokasinya cukup strategik di mana terletak di persekitaran Bukit Bintang. Hotel berkonsep butik ini direalisasikan bagi memenuhi keperluan pelancong independent, mahupun pelancong berkumpulan yang mencari alternatif selain menginap di hotel standard yang biasa boleh ditemui di pusat bandar itu.
Sesuai dengan konsep hotel, KL Journal menyerlahkan gaya seni bina Malaysian Mid-century Modernist melalui pengaruh seni deco, gril hiasan dari besi tempa yang biasanya dilihat di dalam seni bina Asia Tenggara, lampu rigged, permukaan logam dan kayu. Malah, budaya tempatan ditonjolkan melalui classic KL Iconography dan memorabilia yang dibentangkan di setiap bilik king dan twin deluxe serta lapan suite sudut.
Ruang bilik menampilkan inspirasi potret hitam putih kehidupan karya Che’ Ahmad Azhar, seorang jurugambar jalanan terkenal yang mempamerkan koleksi visual 20 gambar-gambar Kuala Lumpur digunakan untuk hotel. Hotel yang mempunyai 112 bilik ini diberi sentuhan palet warna natural. Tingkap besar terbina dari lantai hingga siling membolehkan tetamu menikmati kawasan persekitaran di sepanjang masa. Tambah selesa apabila tidur anda bertemankan tilam ergonomik dan high thread count sheets, lena diulit mimpi.
Tetamu masih boleh berhibur meski hanya memilih untuk santai di dalam bilik. Bertemankan skrin rata 40 inci dengan kabel HDMI dan port caj USB, sambungan bluetooth tanpa wayar ke sistem audio stereo berkualiti tinggi menawarkan pengalaman menonton yang memuaskan hati.
Melengkapi standard KL Journal sebagai sebuah hotel sempurna, kolam renang air masin direka di aras bumbung dengan pemandangan hebat ke arah bandar terutamanya pada waktu senja, selain itu turut menyediakan gimnasium untuk tetamu hotel yang gemar melakukan aktiviti fizikal dan seumpamanya.
KL Journal dikatakan hotel ideal untuk merasai kehidupan Kuala Lumpur dengan suasana retro moden dan diinspirasikan persekitaran asli tempatan. Rasai pengalaman menginap di sini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Walau pun Malaysia beriklim khatulistiwa, negara kita masih boleh memiliki pelbagai suasana yang menarik selepas atau sebelum musim tertentu.
Dikatakan disekitar negeri jelapang padi terutama di sekitar Alor Setar, Kedah ketika ini mengalami ‘musim bunga’ atau fenomena bunga tekoma. Kelihatan beberapa jenis pokok mengeluarkan bunga yang cantik umpama bunga sakura sudah tiba musimnya. Bunga tekoma ini mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih sejak awal minggu ini.
Biarpun negeri di utara tersebut dilanda cuaca panas, keadaan ‘musim sakura’ itu memberi sedikit kedamaian dan sejuk mata memandang sebaik melihat deretan bunga tersebut di sepanjang jalan.
Jika anda berada di sekitar lokasi itu jangan lepaskan peluang untuk merakamkan gambar yang indah ya. Untuk anda yang bercadang datang bersiar-siar melihat fenomena bunga ‘sakura’ ini, pastikan menjaga kebersihan lokasi tersebut ya. Sayang la, jika tempat dah cantik, tapi sampah pula menggunung.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!