Dalam mood percutian, mesti kita mengharapkan percutian kita itu adalah percutian yang terbaik dan indah dengan kenangan-kenangan manis dan setiap kenangan tu bukan sahaja manis sewaktu tiba di destinasi percutian sahaja. Kenangan manis tu mesti bermula dari muka pintu rumah dari pergi sehingga balik.

Jadi, sewaktu perjalanan ke destinasi pun mesti kita mengharapkan kenangan yang baik-baik sahaja untuk kita dan orang lain. Justeru, etika ketika dalam perjalanan lebih-lebih lagi dalam pesawat sangat penting, supaya pengalaman kita tidak terjejas dengan perkara-perkara yang tak sepatutnya.

Jadi, apa etika yang sepatutnya kita buat ketika di dalam pesawat. Artikel ini Libur kongsikan kepada anda 21 tips berguna untuk anda dan rakan-rakan.

1. Elakkan barisan yang ada keluarga dan kanak-kanak

Sewaktu berbaris untuk pemeriksaan keselamatan, cuba elakkan barisan yang dibarisi keluarga bersama anak-anak kecil. Kecepatan mereka tidak sama dengan anda yang bergerak solo atau berdua.

2. Buka jaket, jam, tali pinggang dan keluarkan barang elektronik

Untuk mempercepatkan proses pemeriksaan dan memendekkan barisan, seharusnya anda bersiap sedia dengan mengeluarkan siap-siap segala peralatan elektronik dan cecair dari bagasi tangan anda.

Buka jaket atau sweater, tali pinggang, kasut, dan duit syiling dari poket seluar anda. Masukkan botol-botol cecair dalam satu plastik berzip lutsinar. Bergerak cepat apabila dipanggil dan ambil barang-barang anda segera dan pakai semula di kawasan yang jauh dari kawasan pemeriksaan.

3. Bawa botol kosong

Jangan beli air botol di kedai. Bawalah botol kosong anda sendiri. Hampir semua lapangan terbang di dunia ada mesin air percuma. Tinggal isi sahaja. Anda tidak perlu beli air botol sebelum atau selepas pemeriksaan. Lebih menjimatkan wang. Botol kosong tidak akan dirampas ketika pemeriksaan.

4. Patuhi had saiz bagasi tangan

Jangan degil dengan membawa beg yang jauh lebih besar dari had ditetapkan. Ini sikap yang pentingkan diri sendiri. Bila anda patuhi saiz, beg anda boleh disimpan menegak kerana beg yang disimpan melintang di atas membazir ruang didalam pesawat.

5. Elakkan daripada memakai terlalu banyak barang kemas

Kalau nak juga pakai, masukkan ke dalam plastik atau beg kecil sebelum berbaris untuk pemeriksaan. Lepas pemeriksaan, baru pakai semula barang kemas anda.

6. Elakkan memakai pakaian ketat terutama untuk penerbangan jarak jauh

Dalam penerbangan panjang, hampir setiap masa anda duduk di kerusi tanpa banyak bergerak. Maka, pakaian ketat anda ini boleh menyebabkan DVT (deep vein thrombosis) iaitu penggumpalan darah dalam salur darah. Kaki boleh bengkak kerana darah tidak mengalir dengan lancar. Selamatkan diri anda daripada perkara ini.

7. Jangan pakai kasut tumit tinggi (heels) tidak kira anda di kelas pertama, bisnes atau ekonomi

Ini penting kerana tumit kasut tinggi mempunyai tapak yang tajam dan boleh bocorkan gelongsor kecemasan pesawat apabila anda memijaknya. Perkara ini boleh melambatkan pergerakan anda sewaktu kecemasan. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada anda dan penumpang lain sekiranya perkara itu berlaku. Pakailah kasut sarung atau kasut sukan yang mudah dibuka dan yang mampu melindungi kaki anda sewaktu kecemasan. Nak bergaya, boleh bila sampai destinasi. Who knows that your heels can cost other people’s lives?

8. Jika anda travel ke destinasi bermusim sejuk, pack baju sejuk dan jaket tebal anda dalam bagasi kargo

Pakailah beberapa lapis baju dan jaket nipis ketika didalam kabin pesawat. Kalau nak bawa jaket tebal dalam kabin, pack guna beg vakum dan masukkan dalam bagasi tangan anda. Ini lebih menjimatkan ruang dan memudahkan pergerakan dalam kabin bukan saja untuk anda tapi untuk penumpang lain. Dalam pesawat anda juga boleh minta selimut. Ia jauh lebih baik dari pakai jaket tebal yang merimaskan. But please return the blanket.

9. Elakkan daripada memakai skirt pendek dan pakaian yang terlalu berjurai

Apabila berlaku kecemasan, skirt pendek anda tidak akan melindungi diri anda daripada elemen cuaca dan bahaya persekitaran. Pakaian terlalu berjurai pula boleh menyebabkan anda tersangkut di kerusi ketika anda bergerak menuju pintu kecemasan.

10. Jangan tidur sewaktu pesawat berlepas dan mendarat

3 minit pertama dan terakhir di setiap penerbangan adalah minit penting atau masa hidup dan mati kerana menurut statistik, sebahagian besar kemalangan udara berlaku ketika berlepas dan mendarat. Maka jangan tidur di 3 minit pertama dan terakhir ini!

11. Tumpukan perhatian kepada demo keselamatan

Walau anda kerap terbang beberapa kali, sentiasa tumpukan perhatian terhadap demo keselamatan kerana peraturan setiap pesawat mungkin berbeza daripada pesawat yang lain. Perhatikan dan ingat di mana pintu kecemasan terdekat dengan anda. Sentiasa peka dengan arahan anak kapal!

12. Sentiasa pakai tali pinggang bila di tempat duduk anda walaupun tiada turbulence

Benda semacam ini datang tanpa amaran. Anda sudah tentu tidak mahu tercampak hingga kepala terhentak di overhead compartment dan lain-lain yang boleh menyebabkan kecederaan kepada anda.

13. Jangan buka kasut

Tolong jangan buka kasut jika anda bukan jenis pembersih atau kaki berbau busuk! Udara dalam kabin dikitar semula, bau busuk dan sebagainya boleh kekal dalam kabin dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang lain. Kalau mahu buka kasut, pastikan stokin anda bersih dan jangan buka stokin.

14. Sentiasa bertimbang rasa

Jika anda perlu baringkan kerusi, baringkan dengan berhati-hati kerana kita tidak tahu kalau orang di belakang sedang menggunakan meja untuk makan atau minum air panas dan sebagainya.

15. Ajari anak anda adab dan tatasusila sewaktu di dalam penerbangan

Ajar anak-anak anda untuk tidak menendang kerusi di hadapan. Ini merupakan satu tindakan biadap dan perkara yang paling tidak disukai oleh kita semua ketika berada di dalam pesawat. Usahakan apa sahaja, buat anak anda dengar nasihat anda dan bukan anda pula yang dengar kata mereka.

16. Jangan tamak

Arm rest ialah hak utama buat yang duduk ditengah-tengah. Jika anda duduk ditingkap atau di aisle, anda hanya ada satu arm rest. Kalau anda ambil dua-dua, yang duduk tengah tidak dapat apa-apa. Be considerate!

17. Hormati privasi penumpang lain

Kalau yang duduk di sebelah anda bukan yang anda kenal dan mereka tidak mahu berbual dengan sesiapa pun, jangan paksa! Berikan privasi kepada mereka.

18. Cuba tunggu waktu sesuai untuk ke tandas

Bila nak ke tandas, tunggulah masa sesuai. Bukan sewaktu anda nampak anak kapal sedang sorong troli makanan dan minuman. Selepas anda makan, tunggu sehingga anak kapal kumpul dulang makan barulah anda bangun.

19. Jaga kebersihan tandas

Gunakan tandas dalam pesawat seperti mana anda gunakan tandas di rumah. Jangan buat sepah. Jangan juga guna tandas terlalu lama. Ingatlah, bahawa dalam pesawat ada penumpang lain juga. Again, bertolak ansur.

20. Isi borang ketibaan dan pastikan siap sebelum pesawat mendarat

Ketika dalam penerbangan atau sebelum keluar dari pesawat, isikan borang atau kad ketibaan. Jangan tunggu sampai imigresen baru nak isi. Jadi, penting untuk anda bawa satu atau dua pen dalam beg.

21. Tunggu bila pesawat sudah betul-betul berhenti baru anda bangun ambil beg

Tunggu giliran anda untuk bergerak ke depan pesawat. Tidak perlu berebut-rebut. Ambil beg dan bergerak dengan cekap.

Akhir sekali, Hormati anak kapal atau pramugari dan pramugara di dalam pesawat. Elakkan daripada berlawan cakap atau bergaduh tidak kira di lapangan terbang, sewaktu pemeriksaan atau terutama sekali ketika di atas pesawat.

Kalau anda tidak puas hati dengan servis yang anda terima, bincang di tepi atau di belakang orang awam. Tidak perlu marah-marah atau menjerit-jerit. Mereka ini cuba membantu memudahkan urusan anda dan mereka juga manusia dan ada perasaan.

Tinggalkan Komen