Mungkin sekarang bukan waktu sesuai melakukan aktviti sosial dan fizikal kerana kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru, apabila tiba masa untuk kembali melakukan aktiviti luar setelah tamatnya tempoh PKP ini, para ibubapa, khususnya, mungkin berhasrat menghantar anak mereka ke sesi sukan.
Namun, berkemungkinan masih ramai yang ragu-ragu jika aktiviti sukan tersebut dilakukan di luar serta melibatkan kumpulan orang ramai. Usah risau, anda tidak akan terlepas peluang untuk merasai keseronokan dan keterujaan yang anda inginkan kerana Negeri Selangor mempunyai pelbagai tarikan sukan dalam-premis yang boleh anda kunjungi.
Tambahan pula, tarikan ini senang dan mudah diakses, dengan kebanyakan daripadanya terletak dalam premis pusat membeli-belah terkemuka. Jadi, berita baik buat semua, anda mungkin boleh lengkapi hari anda dengan sesi membeli-belah selepas bersukan bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Senarai di bawah menampilkan 10 tarikan sukan dalam-premis di Negeri Selangor yang bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah orang dewasa!
Camp5, 1Utama
Sesi mengeluarkan peluh! Beroperasi sejak tahun 2005, Camp5 mempunyai dinding untuk sukan wall-climbing dalam-premis yang paling tinggi di Malaysia! Fasiliti ini juga sepenuhnya dilengkapi dengan penyaman udara dan terletak dalam menara berasaskan besi dan kaca di tingkat 5, 1Utama Shopping Centre (New Wing).
Spesifikasi dinding adalah seperti berikut:
Keluasan dinding: 2300m2
Keluasan kawasan “boulder”: 450m2
Keluasan dinding bertali: 1850m2
Ketinggian maksimum: 20.3m
Jika anda seorang yang baharu berjinak dengan aktiviti sukan wall-climbing, usah gusar dengan spesifikasi yang tertera. Camp5 mempunyai dinding dengan pelbagai saiz dan tahap kesukaran dari sangat mudah hingga terlalu mencabar. Pihak Camp5 yakin anda akan mendapatkan tahap kesukaran yang bertepatan dan mampu menguji diri anda untuk melakukan lebih lagi!
District21 adalah sangat unik; dengan keluasan sebanyak 70,000 kaki persegi dan mengangkat tema pasca-apokaliptik, taman tema ini mempunyai 10 tarikan, 8 bilik riadah dan terletak dalam atrium yang dilengkapi dengan pendingin hawa di IOI City Mall, Putrajaya. Ia menawarkan lebih sedosen aktiviti yang kebanyakannya adalah baru diperkenalkan di Negara ini seperti aktiviti Go-Pedal, Pump Track, Power Station, Low Ropes, Launch Pad, The Maze, Free Fall, Sky Trail, Tubby Ride, dan Roller Glider. Setiap tarikan juga tertakhluk kepada berat dan ketinggian maksimum yang dibenarkan.
AirRider, 1 Utama adalah sukan skydiving yang ditawarkan secara dalam-premis dengan stimulasi aktiviti skydiving yang sebenar seolah-olah pada ketinggian 14,000 kaki. AirRider adalah tarikan stimulasi penerbangan yang terhangat di benua Asia. Sesiapa sahaja yang pernah menginginkan untuk terbang di udara boleh singgah ke 1 Utama Shopping Centre, iaitu pusat membeli-belah ke-7 terbesar di dunia.
Terowong angin berbentuk bulat dengan keseluruhannya dilitupi dengan panel kaca menghasilkan kusyen udara seluas 12-kaki diameter dengan tinggi 21 kaki. Setiap pelanggan yang memasuki ruang kusyen udara ini akan ditemani oleh seorang jurutugas bertauliah atas faktor keselamatan. Di dasar ruangan bertutup ini juga menempatkan sebuah lantai trampolin yang diperbuat daripada besi tahan kalat dengan kualiti seperti kapal terbang sebenar. Dengan kelajuan angin sehingga 250 km/sejam, mereka berpeluang untuk melakukan aksi-aksi akrobatik udara secara mudah dan selamat. Para pengunjung yang lain juga boleh menonton aksi sukan penuh mendebarkan ini menerusi ruangan tempat duduk yang disediakan.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/airrider-1-utama/
FlowRider, 1Utama
Pernah terfikir untuk melakukan aktiviti sukan luncur air di dalam sebuah pusat membeli-belah? Sekarang anda boleh melakukannya dengan aktiviti sukan flow-riding dan stimulasi luncur air di 1 Utama Shopping Centre. FlowRider, 1 Utama menggabungkan teknik dari beberapa jenis sukan seperti luncur air, luncur salji, sukan papan selaju, wakeboarding dan skimboarding.
Sama ada anda merupakan seorang amatur atau professional, anda mampu menangani arus air dengan bimbingan dari petugas yang bertauliah dan berpengalaman. Kesan ombak juga dapat dihasilkan dengan kelajuan sehingga 32 km/sejam di permukaan vinil komposit. FlowRider juga menawarkan program latihan dan kursus dari tahap amatur hingga berpengalaman dengan para jurulatih yang berdedikasi untuk memperkasa teknik flowriding anda dengan menitik-beratkan aspek keselamatan.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://flowrider1utama.com.my/
JumpStreet Trampoline Park
Jump Street Trampoline Park adalah sebuah taman tema urban yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dan memfokuskan kepada aktiviti lompatan, lantunan dan segala aktiviti melawan unsur graviti yang mampu anda fikirkan. Ia mempunyai beratus-ratus jumlah trampolin, dengan Main Court seluas 10,000 kaki persegi merangkumi pelbagai trampolin yang bersambung antara satu sama lain. Ianya termasuk ruangan khas yang dilengkapi dengan jaring bola keranjang, trampolin untuk aktiviti dodge-ball, satu lubang yang diperbuat dari bahan lembut untuk terjun ke dasar, dan pelbagai bag udara untuk memastikan pendaratan yang selamat.
JumpStreet menawarkan elemen keseronokan dan cabaran dengan pelbagai tahap kesukaran kepada pengunjung dari latar-belakang umur yang berbeza (dengan umur minima 3 tahun untuk melompat secara kendiri). Ruangan berprestasi tinggi di JumpStreet turut mampu menjadi medan para atlet untuk mengasah kemahiran mereka ketika melompat di udara. Di sini juga terdapat ruangan khusus untuk kanak-kanak bagi memastikan keselamatan dan keseronokan mereka
Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/jump-street-trampoline-park/
Ads
Malaysia National Ice Skating Stadium (MYNISS)
Terletak di kawasan pembangunan Empire City, National Ice skating Stadium (MYNISS) adalah gelanggang ais yang pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan spesifikasi Sukan Olimpik dan kemudahan serba lengkap bagi menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan sukan luncur ais dengan standard antarabangsa.
It’s a HIT Rooftop Baseball adalah satu-satunya dan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan benua Asia Tenggara. Tanpa cas masuk yang mengeringkan poket, di sini anda mampu untuk mendapatkan pengalaman menarik untuk sesi Batting Cages dan Carnival Games dengan harga yang berpatutan. Terletak di bahagian bumbung sebuah pusat membeli-belah terkemuka, 1 Utama Shopping Centre; singgahlah ke sini untuk sebuah pengalaman penuh keunikan dengan elemen keterujaan dan pemandangan yang mempesona!
Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/its-a-hit-rooftop-baseball/
Sunway Pyramid Ice
Ads
Sunway Pyramid Ice adalah hiburan sukan ais bertaraf dunia yang pertama diperkenalkan di Malaysia. Ianya terletak di lokasi strategik di dalam pusat membeli-belah yang menerima pengiktirafan antarabangsa, Sunway Pyramid, dengan dikelilingi Bandar Integrasi Sunway Resort, Sunway Lagoon Theme Park dan Convention Centres yang juga padat dengan universiti, kolej, sekolah antarabangsa, syarikat korporat dan komuniti setempat.
Sunway Pyramid Ice adalah sebuah destinasi rekreasi yang popular di Malaysia dengan mampu menerima lebih 15,000 orang pengunjung setiap bulan. Dengan keluasan berukuran 39m x 22.5m, pemandangan menarik gelanggang yang diperkemas dengan ciri moden ini boleh disaksikan oleh para pengunjung di setiap tingkat pusat membeli-belah ini hingga ke tingkat kelima – menawarkan sebuah pemandangan menarik serba mengasyikkan.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.sunwaypyramidice.com/
TraXion Karting at X Park Sunway Serene
TraXion Karting adalah pusat sukan kart yang beroperasi secara dalam-premis terbesar di benua Asia Tenggara. Terletak di tengah Bandar Kelana Jaya, ianya menawarkan pengalaman Kiddie Cart untuk kanak-kanak sehingga ketinggian 140cm, dan Fast Cast, untuk golongan dewasa. Setiap sesi karting akan mengambil masa selama 10 minit.
Operator ini juga menawarkan pengalaman Mini Race merangkumi 3 sesi karting temasuk pusingan akhir, namun, minimum 8 orang pemain pada satu-satu masa diperlukan untuk pakej ini.
Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.facebook.com/traxionkartingmy/
Galactic Laser, Sunway Pyramid
Galactic Laser adalah lapangan aktiviti laser tag yang terbesar dan terpanjang di Malaysia. Terletak di pusat membeli-belah premier, Sunway Pyramid dan dilengkapi dengan teknologi yang canggih dan terkini, inilah masa untuk anda gambarkan diri anda sebagai sebuah karakter dalam video sains fiksyen – dengan dibekalkan dengan sebuah unit laser di tangan, dengan diiringi muzik berentak energetik dan dikelilingi kabus di udara, sambil anda meloloskan diri dalam sebuah arena yang direka khusus menyerupai kesan tinggalan makhluk asing. Tentunya ianya menawarkan elemen keterujaan memburu dalam kegelapan sambil menghindari dari diri anda sendiri terkena tembakan laser oleh pemain yang lain.
Aktiviti dengan elemen keseronokan dan keterujaan mudah dan senang didapati di mana-mana sahaja di Negeri Selangor. Dengan pelbagai pilihan, orang dewasa dan kanak-kanak dapat meluangkan masa berkualiti bersama dalam suasana yang selamat dan dikawal-selia dengan rapi. Untuk pelbagai aktiviti yang mengujakan; dari terbang di udara, luncur ais, memandu dan mengawal kart, hingga tembakan laser; Negeri Selangor mempunyai semua yang anda inginkan.
Namun harus diingatkan, amalan berlandaskan SOP perlu diberikan penekanan pada setiap masa demi kesejahteraan bersama. Para pelancong harus mendaftar masuk ke setiap premis lokasi pelancongan di Negeri Selangor menggunakan aplikasi Selangkah:Langkah Masuk Dengan Selamat, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman, serta memakai pelitup muka pada setiap masa.
Kredit: Tourism Selangor
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Sebuah perkampungan terpencil di Nagoro, Pulau Shikoku Jepun kini didiami lebih beratus patung manusia.
Perkampungan itu kini lebih dikenali sebagai Nagoro Scarecrow Village. Kewujudan patung-patung tersebut adalah dianggap sebagai ‘manusia sebenar’ bagi menggantikan penduduk kampung yang sudah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain.
Idea membuat anak patung itu timbul apabila Tskukimi Ayana, kembali semula ke kampung halamannya di perkampungan Nagoro beberapa belas tahun lalu dan mendapati kampung itu hampir kosong dan mati.
Orang muda ramai yang sudah berhijrah kerana mengejar peluang pekerjaan, manakala yang berusia ramai yang sudah meninggal dunia. Populasi penduduk yang masih ada di kampung ini dikatakan berjumlah 40 orang sahaja dan mungkin semakin berkurang.
Apabila bapa Ayana meninggal dunia, dia membuat keputusan untuk menghasilkan patung mirip mendiang bapanya. Dia mengatakan apabila menghasilkan patung-patung orang yang sudah meninggal dunia, dia akan teringat kembali saat mereka masih hidup dan sihat. Patung-patung ini umpama keluarga sendiri pada anggapan Ayana.
Patung yang diperbuat daripada barangan terbuang seperti jerami, kain dan pakaian lama diletakkan di dalam kelas-kelas sebuah sekolah yang ditinggalkan, dewan orang ramai, perhentian bas, di tepi jalanraya di sebatang sungai dan sebagainya.
Kadangkala ada satu perasaan seperti menyeramkan, bayangkan dikelilingi patung-patung bersaiz besar yang memandang tepat ke arah anda. Namun patung-patung itu juga telah menjadi tarikan pelancong di dunia yang tertarik ke perkampungan terpencil tersebut. Perkampung ini sangat kecil dan hanya memerlukan sekitar 10 minit untuk habis pusing di keseluruhan pulau dengan menaiki kenderaan.
Bagi seorang wanita yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, hampir kesemua waktu mereka didedikasikan untuk kepentingan anak-anak, suami, dan kerja-kerja lain seperti urusan rumah tangga.
Sama ada bekerja atau tidak, seorang ibu biasanya tidak mempunyai privasi dan kesempatan untuk melakukan perkara normal dengan tenang. Dengan meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri, si ibu pasti mampu meleraikan kekusutan dalam fikiran, bertindak dengan lebih tenang, dan lebih menghargai suami serta anak-anak. Jomlah ‘me time’ dengan bercuti!
Cadangan lokasi untuk anda ‘me time’? Ini perkongsian daripada si ibu anak dua, Teha Amin yang berkesempatan ‘meninggalkan anak-anak’ dan holiday bersama teman-teman seangkatan baru-baru ini.
Tadaaaaa… Berpusu-pusu peyem masuk bertanya kami bertiga mak dara pingitan ni berglamping kat mana. Haaaa… Kami tak pi jauh mana pun dekat je lebih kurang sejam dari Bandaraya Kuala Lumpur sahaja.
Tempat cuti-cuti glamping kami adalah di Janda Baik iaitu Villa Canopy Glamping Park. Percutian kalini taklah seperti cuti-cuti sebelum ni. Untuk korang yang tak suka adventure nak kena duduk bilik sejuk tilam empuk segala2nya selesa, ini bukanlah tempat yang sesuai utk korang. But if u guys orang yang flexible di campak ke mana pun ON tempat ni adalah satu tempat baru yang seronok untuk diterokai. This is our first time glamping jadi memang excited. Rasa macam kembali ke alam persekolahan lak. Bila sampai je nampak banyak tent terus bersorak kegembiraan.
Senang je cara check in sesampai je bagi nama terus dorang tunjuk tent mana untuk kami. Takde kunci apa bagai macam korang check in hotel. Just sampai tent bukak la zip tent tu. Takde kunci apa, rasanya selamat kot. Kalau korang takut tak selamat korang bawak la mangga kunci besar tu untuk lock tent korang. But utk kami sepanjang berada di situ Alhamdulillah selamat semuanya.
Seronok betul suasana kat sini sebab asyik dengar bunyi durian gugur je. Time tengah tidur pun boleh termimpi kutip durian sebab asyik bunyi durian jatuh.So happy la utk kami yang kaki makan durian ni. Pantang dengar bunyi durian jatuh, memasing buat muka excited.
Setiap tent di sediakan katil, ada yang disediakan tilam, ada aircooler, tempat sangkut baju, and lampu. Untuk siang hari agak panas lelagi kami pergi musim panas. Air cooler ni membantu la juga tapi semua kena duk bebetul depan aircooler tu hahahah. Waktu malam pula, makkkk aiii sejukkk..! Tapi toksah risau katil selimut tebal semua sama macam hotel 5 bintang korang tu. Haaa tapi tapi tapi.. Toilet berada di luar ya. Jadi, memalam nak ke toilet memang kami buat rombongan terus pergi bersama sama. Takde makna la nak pegi sengsorang. Tapi suasana memang tak seram pun. Tak menakutkan. And ramai juga yang lepak tak tidur beborak di persekitaran jadi segala-galanya rasa selamat.
Alhamdulillah semua berjalan dengan baik memandangkan Mak Mak Trip first time glamping kan..selalu ke hotel jeww… Next plan kami nak bawak anak2 lak glamping. Yehuuuuu.
CANOPY VILLA GLAMPING PARK,JANDA BAIK
RM333/4pax Include Breakfast. Tapi kami bertiga je lebih selesa kalau berempat mungkin jadi rimas bilik tu. Breakfast dia nasi lemak sedap, kuih and ada bubur nasi pun sedap. Semua sedap la. Air korang bancuh sendiri. Ada water filter and 3in1 milo. 0133338122 – Ni no person incharge. Maaflah aku tak sempat nak tanya nama Abang tu. Tapi dia and family dia alhamdulillah setakat ni sangat baik melayan kerenah pengunjung hahaha. Kalau nak book boleh sebut nama Teha confirm dia tak kenal and korang takkan dapat apa2 diskaun pun (Aku book Agoda je)
Review:
Toilet : Besar & Bersih, cuma air slow sikit maybe weekend ramai orang but overall memang okay.. Kotor sikit lantai bila ramai dah masuk memasing pakai selipar kan but setakat ni okey je tak busuk. Cuma yang ada kecil mesti renyah sikit sebab toilet berada di luar and kena jalan jauh skit dalam 50 meter utk tent kami. Ada yang lebih jauh and ada yang lebih dekat. Ikut tent korang kat mana.
Plugpoint : Dalam Tent ada. and cukup untuk kami bertiga. Kalau ramai mayb boleh bawa extension.
Kitchen and sink : Dapur di lengkapi peralatan A to Z..so takyah nak angkut periuk² …boleh guna sama² dengan orang lain..asalkn jaga kebersihan lepas guna..Overall puas hati.. Lepas guna wajib basuh. Even lepas breakfast pun kena cuci pinggan sendiri. Kalau spesis kluster kayangan toksah mai.
Fire pit : Rm100 utk sewa pit bbq & Rm100 utk fire camp..Pihak canopy akan hidupkn api utk bbq & fire camp..so senang la kita enjoy je.
5 minit jalan kaki ke Sungai….dekat je sambil melihat keindahan kampung.
Parking distance to campsite : Parking teramat dekat dengan Canopy Villa..satu area je…so memang dekat la.. Cuma time kami pergi memang ramai. Kalau dah parking double2 tu pepandai la letak no phone kat kereta.
Phone Coverage? Line memang ikut mood dia. Kadang slow kadang takde langsung. Wifi ada tapi ok kat cafe je masuk tent tak dapat dah. Mungkin tent yang lebih dekat dengan cafe akan dapat line wifi tu. Line Umobile so far paling ok…Line lain hidup segan mati takmau.. Untuk korang yang takleh berpisah dengan media sosial toksah datang nanti buat stress je. Stress gak utk aku malam first tu sebab dok sibuk key in sales Cuckoo tapi line ciput. But hari seterusnya aku letak je phone tu dalam bag. Malas fikir dah.
Aktiviti yang ada dalam camp: Berbasikal, memanah, badminton, pingpong, volley ball, permainan karem, karaoke.
Kedai berdekatan yang korang patut cuba:
Kafe Olla Patin Tempoyak: Ada lauk2 and special dish Patin tempoyak and patin goreng. Yummy!! Ada sambal mangga fulamak meleleh. Teringat2. Air dia semua sedap. Kami try kedondong asam boi memang power pekat likat. Kopi ais dia pun power. Eh ntah la semua best.
Nero Bianco Deli: Hipster cafe. Western Food. Bukak dari pkul 11 pagi ke malam. Sedap gak.
Pinto Cafe: Haaa ni adventure sikit. Korang kena naik bukit skit. Tapi jangan risau memang ok je tak menakutkan. Sampai tempat parking, korang park and menapak lak naik atas. Haaa kalau bawak orang tua mungkin boleh hantar ke atas. Tak sure lak tang tu. Tapi jalan tu memang boleh utk kereta naik. Sini makan dia biasa2 je tapi kopi diorang buat sendiri mmg terbaik. Ada mini library utk aku yang minat buku mmg jatuh cinta la tempat ni. Baca buku + coffee fuhhh terbaik.
Okeyla sampai sini je review utk cuti2-cuti Mak Mak Me Time kami kali ni. Next cuti lagi, aku citer lain k. Tata titu tutu. Kalau korang rasa nak buat reunion atau family day aku rasa ni tempat yang best utk korang pergi. Boleh share posting ni dengan family & bestfriend korang utk pergi bersama nikmati suasana kampung. Enjoy!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Mendengar nama Sungai Amazon sahaja ramai yang mengetahui bahaya dan rahsia alam ngeri yang menanti di sepanjang sungai yang melintasi beberapa negara Amerika Selatan seperti Peru, Colombia, Brazil, Bolivia, Venezuela, Ecuador,dan Guyana.
Jika diabadikan di dalam filem-filem atau dokumentari, Sungai Amazon seringkali dimomokkan serta dikhabarkan sebagai sungai yang sangat bahaya di dunia dan perlu dielakkan untuk dikunjungi. Mana tidaknya, kawasan disekitar Sungai Amazon didiami oleh komuniti peribumi yang masih tidak mengecapi arus permodenan. Mereka masih mengamalkan cara hidup kuno seperti memakan daging manusia dan sama sekali tidak menerima dan mengalukan kedatangan orang luar.
Selain itu, hutan dan sungai Amazon juga terkenal dengan haiwan pembunuh seperti ikan pirana, annaconda, buaya, serangga beracun dan binatang-binatang buas yang lain. Ada sebab atau tidak untuk anda menghabiskan masa selama hampir tiga tahun semata-mata untuk bersiar-siar di sepanjang sungai hutan Amazon? Semestinya ia kerja gila jika anda mempunyai impian untuk bercuti di sini!
Namun, seorang warga Britain, Ed Stafford membuktikan itu bukan perkara mustahil. Pada tahun 2010, dia yang berumur 34 tahun ketika itu mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 860 hari.
Setelah meninggalkan dunia ketenteraan dan berpangkat seorang kapten, dia berasa sangat bosan dengan rutin pekerjaannya di pejabat. Ketika itu ada seorang rakan sekerja yang memberitahunya bahawa belum ada lagi manusia yang pernah dan ingin untuk berjalan disepanjang Sungai Amazon. Ed Stafford menganggap kenyataan rakannya itu sebagai satu cabaran pada dirinya.
Akhirnya dia tekad untuk melepaskan jawatan dan melakukan misi gila saranan rakannya. Ed Stafford bersama seorang rakan baiknya, Luke Collyer telah memulakan perjalanan pada 2 April 2008, meninggalkan Samudera Pasifik di bahagian selatan Peru. Pada awalnya, Ed Stafford merasakan bahawa perjalanan menjelajahi hutan sungai Amazon itu akan memakan waktu sekitar satu tahun, namun anggapannya itu ternyata silap.
Pada satu ketika di Peru, sekumpulan komuniti orang asli telah menangkap dan memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh haiwan sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan. Luke Collyer pulang ke rumahnya setelah hanya mampu bertahan tiga bulan menjelajah bersama Ed Stafford. Mungkin rakannya beranggapan misi ini mustahil dan tidak patut diteruskan demi keselamatan diri
Namun, Ed Stafford tetap ingin meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui seorang pekerja renjer hutan Peru, Sanchez Rivera. Setelah dipujuk Sanchez Rivera yang berumur 31 tahun sedia untuk membantunya sebagai penunjuk arah dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.
Sepanjang perjalanan, Ed Stafford dan Sanchez Rivera terpaksa berhadapan dengan pirana, ular anaconda, pusaran air, arus banjir, hujan tanpa henti, digigit ribuan nyamuk, dan penyakit berjangkit. Mereka juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada buaya Caiman yang panjangnya hingga 18 kaki.
Mereka berdua hidup dengan memakan pirana dan bahagian dalam pohon palm, serta berhenti seketika diperkampungan orang asli yang dikenali Sanchez Rivera di sepanjang sungai. Tetapi ancaman terbesar adalah masyarakat pribumi disitu yang telah dianiaya selama puluhan tahun oleh penguatkuasa wilayah, sehingga kaum ini sering curiga dan sering melakukan kekerasan kepada pengunjung asing.
Namun demikian, selama dua setengah tahun Ed Stafford tidak menyerah. Mungkin kerjaya sebagai seorang tentera pada masa lalu banyak membantunya untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun sukar. Dia bersusah payah berenang, naik semula ke batas disepanjang tepian sungai dan melangkah secara perlahan sambil menebas hutan dengan parang.
Kira-kira 85 kilometer lagi berjalanan sebelum tiba di lokasi penamat, Ed Stafford pengsan akibat kepenatan melampau. Walau bagaimanapun dia tetap menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.
Ketika hampir tiba di lokasi penamat, Ed Stafford dan Sanchez Rivera kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim Brazil, yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.
Segala pengalaman indah dan detik sukar untuk menjadi manusia pertama berjalan menyusuri Sungai Amazon ini telah dibukukan dalam sebuah jilid berjudul Ed Stafford Walking The Amzon.
Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan. Sepanjang misi bahaya ini dia mendapati bahawa banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca.
“Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya,” katanya.
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...