
Isi Kandungan
ToggleFlea Market atau lebih dikenali sebagai pasar karat adalah lokasi seperti yang kebiasaannya menjadi tempat menjual barang-barang lama (antik) dan juga terpakai.
Kewujudan pasar karat ini sangat menarik pelancong asing selain penduduk tempatan sendiri dan mampu menjana ekonomi masyarakat setempat.Nama lain yang sering digunkan untuk pasar karat adalah Pasar Lambak, Boot Sale, Rope Walk, Roadwalk, Pasar Loken, Memory Lane dan Pasar Warisan. Antara pasar karat yang terkenal terdapat di Malaysia yang menjadi ‘trademark’ untuk dikunjungi seperti:
Pasar Karat Lorong Kulit Pulau Pinang
Ia dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 2 petang. Lokasinya bersebelahan dengan Stadium Bandaraya Pulau Pinang. Barang yang boleh didapati di sini adalah matawang lama dan barang antik.
Pasar Loken Ipoh (Memory Lane)
Pasar Loken telah wujud sejak tahun 1970an beroperasi setiap hari Ahad jam 7 pagi hingga 1 petang.Terdapat lebih 400 gerai menjual pelbagai barang antik dan terpakai dari eksesori diri hingga perabot rumah dan juga kenderaan.
Pasar Karat Jalan Hang Lekir, Melaka
Lokasinya berdekatan dengan Jonker Street dan dibuka pada setiap Ahad dari jam 9 pagi hingga 3 petang. Terdapat lebih 25 gerai yang menjual barangan yang selalunya terdapat di pasar karat lain.
Pasar Warisan, Seremban
Terletak di Jalan Utam Singh berdekatan dengan Pasar Besar Seremban. Dibuka setiap hari Ahad dari jam 7pagi hingga 5 petang.
Tip Membeli-Belah Di Pasar Karat
1. Fikir terlebih dahulu apa barangan yang ingin dibeli, dan tahap keperluannya.
2. Pastikan barangan dalam keadaan baik supaya tidak menyesal dikemudian hari.
3. Semak label harga jika ada pilihan buat perbandingkan harga terlebih dahulu.
4. Elak untuk singgah setiap kedai atau lokasi jualan. Dengan cara itu dapat membantu anda mengurangkan duit yang keluar dari poket.
5. Berbelanja di pasar malam kadangkala lebih menjimatkan, jika bernasib baik anda akan memperoleh barang yang berkualiti sama seperti di dalam pasaraya.
6. Jika terbaca iklan jualan murah, pastikan anda telefon terlebih dahulu untuk yakinkan barang yang anda inginkan ada dalam stok.
7. Pertimbangkan tawaran yang diberikan. Misalnya “buy one get one free” atau “free gift with purchase”. Apabila anda tidak memerlukan barangan yang dikatakan diberi secara percuma apatah lagi barang percuma itu membuatkan harga barang anda menjadi lebih mahal, sebaiknya batalkan sahaja hasrat anda untuk membeli barang tersebut. Lebih elok anda membeli barang yang lebih anda perlukan.
8. Elakkan membeli barang curi walaupun dijual dengan harga yang begitu rendah. Awas, anda mungkin akan didakwa kerana bersubahat.
Kalau anda tahu port Pasar Karat best yang lain, jangan lupa kongsikan dengan LIBUR ya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lembah Bujang, Kedah Tawar Seribu Satu Pengalaman Menarik Kepada Pelancong Yang Datang Ke Sana!

Isi Kandungan
ToggleSi pencinta sejarah dan tempat-tempat yang mempunyai sejarah serta warisan tersendiri pasti akan menyukai satu lokasi yang menarik di Kedah ini iaitu Lembah Bujang. Sekiranya anda rasakan bahawa tempat-tempat pelancongan bersejarah di luar negara seperti Bali, Indonesia, Angkor Wat, Kemboja, Wat Arun, Thailand sahaja yang mempunyai sejarah dan ceritanya yang tersendiri, anda perlu berkunjung ke Lembah Bujang kerana di sini juga tidak kurangnya dengan tempat-tempat di luar negara tersebut.
Untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman pergi ke Lembah Bujang berserta dengan melawat tempat-tempat pelancongan yang berada di sekitarnya dan juga di sekitar Kedah, Libur bawakan kepada anda travelog yang ditulis sendiri daripada Contributor Journalist kami iaitu Norazlina Miswan yang baru-baru ini mengikuti trip bersama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melihat sendiri keindahan dan menyelusuri sejarah yang terdapat di Lembah Bujang.
Program Ekspresi Media Lembah Bujang kali ini yang dilakukan di Sungai Petani & Yan, Kedah dan merupakan salah satu program pengisian ke arah Tahun Melawat Malaysia 2020. Program yang berlangsung 4 hari 3 malam ini bermula pada 8 Julai 2019 hingga 11 Julai 2019.
Pada hari pertama, tepat pukul 7.30 pagi kami memulakan perjalanan dari MATIC, Kuala Lumpur dan bertolak terus ke Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah.
DSA Café Semeling Jetty
Perjalanan mengambil masa selama 5 jam ini menjadikan destinasi kami yang pertama disana ialah DSA Café Semeling Jetty untuk makan tengah hari. Lokasinya yang terletak di Sungai Merbok sangat menarik dan indah dengan pemandangan sungai serta suasana yang damai serta makanan yang disajikan juga sangat sedap dengan harga yang dikenakan.
DSA Café ini terletak di Jeti Semeling, 08000 Sungai Petani. Disitu juga terdapat monumen tempat pembakaran kayu arang iaitu ‘gok arang’. Gok digunakan untuk membakar kayu bakau menjadi arang ketika zaman dulu. Di kawasan yang sama juga terdapat Pusat Interpretasi Perlancongan Sungai Merbok dan ianya dibuka kepada orang ramai yang ingin berkunjung ketika bercuti di sana.
Seterusnya kami dibawa untuk menaiki bot di Kompleks Jeti Perlancongan Sungai Merbok ke Pulau Tiga, Lubuk Pusing, paya bakau dan pusat ternakan tiram. Sesiapa sahaja yang melihat pasti terpegun akan keunikan tumbuhan pokok bakau yang tumbuh meliar di kawasan persekitarannya.
Sungai Merbok simpan sejarah tersendiri
Tourist guide yang membawa kami menerangkan sedikit sebanyak perihal sejarah Sungai Merbok, pokok bakau dan jenis-jenis bakau yang terdapat disana. Ada pelbagai jenis pokok bakau diseluruh dunia yang hidup disana menjadikan ekosistem kawasan tersebut sangat unik dan membuatkan kami teruja untuk mendengar penjelasan beliau sepanjang lawatan di Sungai Merbok itu berlangsung.
Kami dapat merasai sendiri pengalaman menyusuri Sungai Merbok dan mengunjungi Pulau Tiga dan Lubuk Pusing untuk melihat tinggalan kota lama serta mempelajari ekosistem pokok bakau dengan lebih terperinci. Lawatan ke ladang tiram (Oyster Farm) yang diusahakan oleh pemilik Bakau Hijau, Encik Fikri amat mengagumkan kerana berjaya menternak tiram dan menghasilkan tiram dalam pelbagai saiz bagi pasaran makanan tempatan.
Sepanjang masa saya berada di sana, kelihatan juga beberapa pelajar dari luar negara sedang mengikuti latihan praktikal berkaitan tiram dan hidupan akuatik bagi memenuhi keperluan akademi universiti mereka.
Selera Dataran Tsunami hidang mi udang terbaik!
Kemudian selepas lawatan di Sungai Merbok dan juga ladang tiram itu, kami dibawa untuk menikmati makan petang berupa mi udang yang sangat sedap di Selera Dataran Tsunami di Kompleks Memorial Tsunami, Kota Kuala Muda. Kompleks tersebut menempatkan lukisan dan barang bukti kejadian tsunami dan pelbagai informasi berkaitan bencana alam yang pernah menggegarkan negara kita satu masa dulu.
Di situ terdapat monumen dibina sebagai memperingati mangsa tsunami yang menimpa penduduk sekitar Kuala Muda pada tahun 2004. Kami juga berpeluang berbual bersama penduduk yang mengalami sendiri pengalaman pahit ketika tsunami tersebut berlaku. Pelbagai kisah yang jarang kita dengar dan baca mengenai kejadian tersebut dapat diperoleh sepanjang masa berada di sana.
Hotel Park Avenue
Usai sahaja jadual kami pada hari pertama itu, kami langsung di bawa ke tempat penginapan di Hotel Park Avenue di Jalan Indah Dua, Taman Sejati Indah, 08000 Sungai Petani. Chef hotel tersebut telah menghidangkan kami menu istimewa hotel tersebut mee tulang gearbox dengan kuah yang menyelerakan kepada sesiapa yang menyantapnya ke mulut. Sambil menikmati hidangan yang disediakan, beberapa slot aktiviti turut diadakan sebagai selingan jamuan malam pertama iaitu ucapan daripada En Ahmad Husni Ahmad Basri, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, sembang santai Perlancongan Daerah Kuala Muda bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani dan sembang santai bersama Dato Wan Shamsudin, Presiden Persatuan Sejarah Negeri Kedah.
Tapak Arkeoleogi Sungai Batu tapak sejarah dunia
Di hari ke-2, kami dijadualkan untuk melawat satu lagi kawasan tumpuan pelancongan yang terletak di sana iaitu Tapak Arkeoleogi Sungai Batu yang berada di Kg Pangkalan Langgar dan Pengurus Tapak tersebut adalah Puan Naizatul Akma. Di dalam tapak arkeoleogi tersebut, terdapat beberapa tapak lawatan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu tapak lawatan A, B, C dan D.
Sepanjang masa penerangan yang diberikan kepada kami oleh Puan Naizatul Akma, kami mengetahui bahawa tapak bersejarah di Tapak Arkeoleogi Sungai Batu merupakan salah satu daripada sejarah tamadun tertua di Asia Tenggara. Kompleks Arkeologi Sungai Batu telah diisytihar secara rasmi sebagai tamadun terawal oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Dengan pengiktirafan tersebut, Tapak Arkeoleogi Sungai Batu telah mendahului kuil Borobudur di Indonesia, abad ke-9 and Angkor Wat di Kemboja abad ke-12 dan di situ juga kami dapat melihat keaslian beberapa khazanah lama yang ditemui oleh ahli arkeologi di sini.
Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Kami meneruskan lawatan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak tidak jauh dari Tapak Arkeologi Sungai Batu di Pekan Merbok. Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa yang jauh lebih lama usianya daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Dengan landskap persekitaran muzium yang dihiasi dengan tinggalan seni bina candi masyarakat terdahulu memberikan kami satu pengalaman dan gambaran baru mengenai masyarakat dahulu-kala yang pernah bertamadun disana.
Program diteruskan dengan rombongan Ekspresi Perlancongan Komuniti dengan tiba di Homestay Kampung Raga di Kampung Raga, Yan pada pukul 1 petang. Ketibaan disambut dengan suasana yang mesra dan selesa oleh pihak homestay berserta iringan dan alunan muzik tradisonal oleh penduduk kampung yang turut serta dalam acara tersebut.
Anak angkat di Homestay Kampung Raga
Usai makan tengah hari, satu lagi sesi acara kami sertai di mana majlis penyerahan anak angkat dilakukan dan setiap peserta melakukan aktiviti komuniti bersama penduduk tempatan. Antara aktiviti yang direncanakan adalah membuat dan menghasil kuih karas iaitu sejenis kuih tradisional. Kepada anda yang ingin belajar bagaimana untuk membuat kuih karas, boleh datang ke kampung ini untuk mempelajari sendiri teknik dan resipi asli turun temurun menu tradisional tersebut.
Lawatan diteruskan ke ladang lebah kelulut dan ladang kuda yang dimiliki oleh penduduk kampung yang diusahakan secara komersil sebelum waktu makan malam yang diadakan berserta persembahan kebudayaan. Kami teruja apabila pihak jawatankuasa kampung menghidangkan kami dengan buah-buah tempatan seperti durian dan manggis. Maklum sahajalah, tinggal di kawasan bandar, jarang dapat peluang untuk menikmati hidangan buah-buahan kampung yang segar seperti yang dihidangkan di sini.
Batas Ubi Deer Farm
Pada hari ketiga kami di Kedah, kami meneruskan aktiviti ke Batas Ubi Deer Farm di Kampung Batas Ubi, Yan. Disini kami dapat merasai pengalaman baharu dengan berinteraksi dengan rusa seperti memberi makan dan berswafoto bersama. Semua rusa di situ masih mempunyai tanduk pelbagai bentuk dan variasi.
Mengikut pemilik Batas Ubi Deer Farm, Tuan Haji Mazlan Jaafar tidak memotong tanduk rusa dan menjual tanduk tersebut bagi tujuan hiasan mahupun perubatan tradisional seperti kebanyakkan pemilik ladang rusa yang lain.
Bagi beliau, keputusan sedemikian diambil setelah mendapatkan pandangan beberapa pihak mengenai kebaikan dan keburukan pemotongan tanduk rusa yang merupakan sebahagian anggota tubuh badan rusa.
Batas Ubi Deer Farm juga mengusahakan restoran DIY Grill yang berada di ladang tersebut. Suasana kafe moden di tengah-tengah ladang. Makanannya yang lazat serta promosi harga yang berpatutan membuatkan kami rasa ianya sangat berbaloi untuk anda menikmati makanan di sini.
Ladang Nira Nipah Napiah
Kami di bawa untuk mencuba produk perusahaan nira nipah di Ladang Nira Nipah Napiah di Jalan Kampung Sungai Pial, Merbok. Pemilik ladang bernama Encik Napiah yang mengusahakan air nira selama beberapa tahun mampu menghasilkan sehingga 200 bungkus air nira ketika bulan Ramadhan.
Di sana, kami mempelajari cara-cara menghasilkan nira nipah, secara tidak langsung ianya satu pengalaman baharu bagi kami yang tidak ternilai. Rasa air nira nipah manis namun sedikit payau. Air nira nipah mampu menurunkan suhu badan jika demam panas kerana mempunyai vitamin A, serat dan mineral.
AT Satay Semeling
Kami bertolak semula pada pukul 3..30 petang ke AT Satay Semeling yang terletak di Pekan Semeling, Kedah. Disana kami dapat meninjau perusahaan produk satay serta merasai produk tersebut disana. Harga secucuk sate ayam hanya berharga RM0.50 sahaja. Harga tersebut sangat murah berbanding sate yang dijual di Lembah Klang. Walaupun murah, saiz hirisan ayam tersebut berpatutan, dan tiada lemak ayam berlebihan.
The Jerai Hill Resort
Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke The Jerai Hill Resort untuk daftar masuk dan meneruskan aktiviti malam disana. The Jerai Hill Resort yang terletak di Jalan Kaki Bukit Lebuhraya Gurun tidak jauh dari Pekan Semeling memudahkan perjalanan kami untuk kesana. Majlis makan malam diteruskan pada pukul 8.00 malam di hotel tersebut dan slot malam diteruskan dengan ucapan daripada En Abdul Rauf Abu Hassan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia.
Pada malam tersebut kami juga dapat beramah mesra dalam program sembang santai bersama Canon Malaysia dan YB Mohd. Asmirul Anuar Bin Aris, Exco Perlancongan, Seni & Budaya Negeri Kedah. Dua orang wakil Canon Malaysia yang mengikuti trip kali ini telah membentangkan dan memberi penerangan foto-foto yang mereka berjaya rakam dan signifikasi foto tersebut kepada pelancongan di Kedah.
Jerai Botanical Park
Pada hari ke empat, kami meneruskan aktiviti lawatan kami ke Jerai Botanical Park yang terletak berhampiran dengan hotel tersebut. Harga tiket masuk ke taman botani berharga RM10 untuk dewasa. Di sana kami dapat melihat keindahan tanaman pokok bunga seperti bunga orkid yang menjadikan Jerai Botanical Park sangat menarik. Jerai Botanical Park juga adalah satu pengalaman baharu kami yang berada di puncak gunung Jerai yang dekelilingi tanaman bunga serta tempat yang damai.
Ianya sangat sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan juga rakan untuk merasai ketenangan dan jauh dari kesibukkan kota.
Hotel Seri Malaysia Sungai Petani
Pada pukul 12.00 tengah hari kami meneruskan perjalanan ke Hotel Seri Malaysia di Sungai Petani untuk mempersiapkan diri serta makan tengah hari di sana. Kami menikmati hidangan istimewa di ‘Rasa-rasa’Seri Malaysia. Kafe tersebut telah diubahsuai dengan menggunakan konsep moden kontemporari berteraskan elemen tradisional. Variasi pilihan hidangan makanan citarasa tempatan bersama sajian popular makanan barat.
Seterusnya kami pulang semula ke MaTIC, Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa 4 hari 3 malam ini sangat menarik bagi kami kerana pelbagai pengalaman baharu serta dapat melihat sendiri keindahan negeri Kedah Darul Aman.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lofoten Island Norway, Syurga Dunia Patut Korang Terjah Bila Pintu Sempadan Dah Buka Nanti

Tidak dinafikan rasamya ramai yang tidak sabar untuk travel setelah hampir dua tahun tidak boleh ke mana-mana disebabkan pandémik Covid-19.
Namun itu tidak melunturkan semangat untuk memasang impian dan menabung terlebih dahulu sebelum pintu sempadan dibuka kepada pelancong.
Salah satunya adalag perkongsian dari Cikgu Loh dari grup Backpacker Buddies Malaysia yang menceritaan keindahan Lofoten Island, Norway yang dikatakan paling cantik di dunia.
Keindahan Lofoten Island, Norway
Dalam banyak-banyak tempat yang saya cerita berkenaan Travel di Norway, Pulau Lofoten antara tempat paling cantik di dunia. Saya katakan ianya umpama syurga dunia. Sungguh tau!
Anda kalau sampai sini, memang mulut anda ternganga sepanjang masa. Haha. Tak taulah nk gambarkan kecantikannya macam mana. SubhanALLAH, tak sangka ada tempat secantik ini yang ALLAH ciptakan di muka bumi ini
Tapi nak sampai sini aduhh, pecah habis semua tabung ayam, tabung gajah yang ada. Selain kos yang super mahal, nak sampai kat sini juga berliku dan banyak cara serta jarak yang sangat jauh daripada bandar utama Norway yakni Oslo.
Macam mana nak sampai ke Lofoten Island ni dari Oslo, Norway?
Apapun dari Oslo, anda perlu stop di Bodo dahulu sebelum ke Lofoten:
Dari oslo ke bodo, anda boleh menggunakan train/flight/drive kereta (sumpah view mmg sgt cantik kalau drive tpi jauh) nak cepat naik flight kos murah sedikit
Setibanya di Bodo, boleh naik:
– Feri- Naik car ferry dari Bodo ke Moskenes, Lofoten Island (3-4 Jam) atau passenger ferry dari Bodo-Svolvaer (4 Jam)
– Flight- dari Bodo airport boleh pilih sama ada terus ke Svolvaer Airport atau Leknes Airport atau Harstad/Narvik Airport, Lofoten Island.
Cara saya, saya lebih prefer naik car ferry dari Bodo ke Moskenes, Lofoten Island sebab susah skit nak sewa kereta besar di airport-airport di atas ni sebab saya bawa peserta kan.
Bestnya, saya selalu guna MPV 9 seater untuk bawa peserta, senang nak berhenti mana-mana. Dia punya view pula dari laut tak payah cakap, memang nature betul. Huhu. Cantiknyaaaa.
Lagi best sebenarnya Moskenes ni dekat sangat dengan Reine. Reine nilah lokasi top hot gambar di lofoten island seperti di gambar-gambar yang korang tengok ni
Jadi dalam banyak cara untuk sampai ke lofoten island, saya lebih prefer cara ni kerana ianya lebih mudah, nature dan view dia memang mabeles.
Simpan duit dan jangan lupa datang ke Lofoten Island bila ALLAH rezekikan kita semua nanti. Sorrylah asyik meracun je, huhu dah demam travel kan?
Siapa nak join saya ke sini Lofoten Island, Norway Kelak?
Follow Facebook Cikgu Loh untuk info travel sebelum border bukak
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Hotpsot Menarik Untuk Bersantai ‘Staycation’ Pada Hujung Minggu Di Selangor

Isi Kandungan
ToggleKini negeri Selangor sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Jadi tentu ramai dio antara anda cukup berasa gembira dengan perkembangan ini.
Bagi individu lengkap dua dos vaksinasi pelbagai kemudahan akan dinikmati termasuklah lokasi rehat dan percutian.
Sejak kebelakangan ini, aktiviti staycation semakin menjadi trend bagi para pelancong domestic, khususnya pada cuti hujung minggu.
Di samping bersantai bersama orang tersayang, sekiranya anda seorang yang suka menghasilkan video “content” di media sosial, anda boleh jadikan tempat penginapan yang tersenarai di bawah sebagai latar yang pasti menarik perhatian pengikut anda!
1) Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan yang membawakan konsep gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”.
Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan sekiranya anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan. Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.
2) Sri Damai Resort, Kalumpang

Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi dengan kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak, serta kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung.
Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing, serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.
3) Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ianya pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar.
Apa yang lebih menarik di sini adalah, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi sambil merakam detik-detik kegembiraan bersama orang bersayang. Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.
4) Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, iaitu Rumah Hutan Bonda.
Ianya menampilka konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya. Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semulajadi. Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
5) PulaiThree, Kuala Kubu Bharu

PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian.
Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar. Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.
Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan. Tidak dapat dinafikan lagi, Negeri Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik. Tempah masuk sahaja ke tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti!
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada waktu kelak atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #ImagineNowExperienceSoon.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI