
Apabila cuaca di Malaysia ini begitu panas terik, kadangkala nak bersiar-siar ke luar teras penat pun rasa tidak bermaya. Jadi, salah satu cara terbaik untuk menyejukkan tubuh badan adalah dengan bermandi-manda di taman tema air.
Yang mudahnya, anda tidak perlu keluar dari dari Lembah Klang, terdapat pelbagai pilihan taman tema air bertaraf antarabangsa yang menjanjikan keterujaan maksimum buat seisi keluarga mahupun rakan-rakan.
Dari gelongsor ekstrem yang membakar adrenalin sehinggalah ke zon santai yang mesra kanak-kanak, ini lah lima waterpark pilihan Libur yang wajib dimasukkan ke dalam senarai bucket list hujung minggu ini.
1. Sunway Lagoon
Sebut sahaja taman tema air di Malaysia, nama Sunway Lagoon pasti berada di tangga teratas. Lokasi ikonik yang sudah lama bertapak ini kekal menjadi kegemaran ramai kerana tarikannya yang pelbagai serta fasiliti yang sentiasa dinaiktaraf.
Salah satu tarikan wajib di sini adalah Vuvuzela iaitu gelongsor berputar (vortex ride) terbesar di dunia. Sudah pasti anda akan menjerit apabila menaiki gelongsor ini.
Buat mereka yang ingin bersantai, anda boleh layan ombak di Surf Beach iaitu pantai buatan manusia gergasi yang lengkap dengan pasir halus.
2. SplashMania Waterpark
Taman tema air ini merupakan salah satu tarikan terbaharu yang paling tular di media sosial. SplashMania menawarkan pengalaman taman tema air alaf baharu. Dikawal dengan rekaan berkonsepkan Where Nature Meets Hydro Tech, tempat ini mempunyai lebih 39 tarikan dan gelongsor unik.
Pengunjung yang ke sini wajib merasai pengalaman gelongsor tiub bertutup lengkap dengan kesan lampu LED dan audio futuristik Shaka Waka. Buat yang berani, cubalah The Plunge, gelongsor ekstrem yang menjunam condong dari ketinggian enam tingkat.
Tempat ini juga sesuai untuk mereka yang kaki bergambar, kerana salah satu spot bergambar wajib anda bergambar adalah di Amazonia Ship, hapal lanun gergasi yang paling ikonik di sini.
3. WaterWorld @iCity
Terletak di tengah-tengah pusat rekreasi i-City Shah Alam, WaterWorld menawarkan lokasi mandi-manda yang sangat strategik untuk warga kota. Taman tema ini direka khas untuk membrikan kepuasan maksimum buat pengunjung yang mahukan variasi permainan air tanpa perlu berjalan jauh.
Tarikan utama di sini adalah Tornado Ride iaitu gelongsor corong gergasi pertama di Asia Tenggara yang boleh menggoncangkan adrenalin anda. Selain itu, korang boleh bersantai di Giant Jacuzzi atau melayan ombak buatan di Wave Pool.
4. Amverton Riverine Splash
Jika anda mencari taman tema yang lebih tenang dan jauh daripada hirup piruk kota, Amverton yang terletak di Pulau Carey adalah jawapannya.
Taman tema ini terletak di dalam resort dan dihiasi dengan dekorasi bertemakan suku kaum dan dikelilingi pepohon hijau yang meredupkan mata.
Anda wajib merasai pengalaman terapung santai di atas pelampung menelusuri Rimba River, kolam arus yang dikelilingi alam semula jadi. Untuk gelongsor yang lebih mendebarkan tetapi tetap selamat, cubalah Boa & Anaconda Tube Slides.
5. Big Bucket Splash @ FunPark Gamuda Luge Gardens
Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil atau toddler pasti menyukai lokasi ini. Big Bucket Splash menawarkan persekitaran mandi-manda yang direka khas mengikut tahap kesesuaian kanak-kanak tanpa risau dengan gelongsor yang terlalu curam atau dalam.
Big Bucket Slide dilengkapi dengan baldi gergasi yang akan menumpahkan air secara berkala pasti membuatkan anak-anak bertempik keriangan. Tarikannya bersaiz padat, memudahkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak.
Tempat ini sememangnya tempat terbaik buat seisi keluarga, selain terdapat permainan lain seperti SkyLine yang terletak bersebelahan dengan FunPark ini.
Sebagai pengguna bijak, anda boleh mendapatkan tiket masuk ke tempat-tempat ini secara atas talian kerana harga promosi yang jauh lebih murah berbanding di kaunter.
Pastikan anda juga menyediakan pakaian yang sesuai untuk dibawa ke taman tema air supaya tidak dihalau kerana berpakaian yang tidak sesuai.
Paling penting, jangan lupa bawa beg kalis air untuk merakam momen-momen bersama keluarga tersayang, sunblock untuk melindungi kulit dari cahaya matahari dan tuala untuk keselesaan diri sendiri.