57KM Di Bawah Swiss Alps! Ini Terowong Kereta Api Terpanjang Di Dunia

Share

Switzerland sememangnya terkenal dengan panorama Swiss Alps yang memukau, tasik jernih dan perjalanan kereta api yang sering dianggap antara paling cantik di dunia.

Namun di sebalik gunung-ganang yang menjadi tarikan pelancong, tersembunyi satu pencapaian kejuruteraan yang cukup luar biasa iaitu Gotthard Base Tunnel, terowong kereta api terpanjang di dunia.

Terowong ini mempunyai panjang kira-kira 57.1 kilometer dan menghubungkan Erstfeld di canton Uri di bahagian utara dengan Bodio di canton Ticino di selatan Switzerland.

Merentasi Swiss Alps Dari Bawah Tanah

Tidak seperti laluan kereta api gunung yang mendaki dan berliku, Gotthard Base Tunnel dibina sebagai laluan yang lebih rata merentasi bahagian bawah banjaran Alps.

Pembinaan laluan ini membantu memendekkan laluan gunung sedia ada antara Uri dan Ticino sekitar 30 kilometer, sekali gus menjadikan perjalanan kereta api utara-selatan Switzerland lebih efisien.

Gotthard Base Tunnel, Switzerland Kredit Foto: structurae.net / Website

Lebih mengagumkan, terdapat bahagian terowong yang dilitupi sehingga kira-kira 2,300 meter batuan gunung, menjadikannya juga antara terowong kereta api paling dalam di dunia.

Ambil Masa 17 Tahun Untuk Dibina

Projek mega ini bukan dibina dalam tempoh singkat.

Menurut kerajaan Switzerland, pembinaan Gotthard Base Tunnel mengambil masa kira-kira 17 tahun, dengan sebahagian besar laluan utama digali menggunakan mesin pengorek terowong atau tunnel boring machine.

Gotthard Base Tunnel, Switzerland Kredit Foto: structurae.net / Website

Sebanyak kira-kira 28.2 juta tan bahan batuan dikeluarkan sepanjang proses pembinaannya. Kos keseluruhan sebenar pembinaan Gotthard Base Tunnel pula dilaporkan sekitar CHF12.2 bilion.

Dua Laluan Terowong Berasingan

Gotthard Base Tunnel sebenarnya terdiri daripada dua terowong satu landasan yang berasingan

, dengan laluan penghubung dibina pada jarak tertentu bagi tujuan operasi dan keselamatan.

BACA LAGI: Peminat Nasi Padang Wajib Cuba! Ini 5 Restoran Rating Tinggi Di Malaysia

Jika semua terowong, laluan penghubung dan struktur berkaitan diambil kira, keseluruhan rangkaiannya mencecah sekitar 152 kilometer

.

Kereta Api Penumpang Boleh Bergerak Sehingga 200KM/J

Walaupun perjalanan berada jauh di bawah gunung, kereta api boleh bergerak pada kelajuan tinggi melalui laluan ini.

Kereta api penumpang dijadualkan bergerak sehingga sekitar 200 km/j, manakala kapasiti terowong ini membolehkan sehingga 65 kereta api penumpang dan 260 kereta api kargo sehari.

Gotthard Base Tunnel, Switzerland Kredit Foto: structurae.net / Website

Gotthard Base Tunnel mula beroperasi pada 2016, menggantikan Seikan Tunnel di Jepun sebagai terowong kereta api terpanjang di dunia.

Bukan Sekadar Tarikan Kejuruteraan

Pembinaan Gotthard Base Tunnel bukan semata-mata untuk memecahkan rekod.

Ia merupakan sebahagian daripada New Rail Link through the Alps (NRLA), projek pengangkutan besar Switzerland yang membantu mempercepatkan pergerakan penumpang dan barangan antara utara dan selatan Eropah.

Laluan ini juga menjadi sebahagian penting koridor kereta api yang menghubungkan kawasan seperti Rotterdam, Basel, Zurich, Milan dan Genoa.

Jadi kalau selama ini Switzerland hanya terbayang dengan gunung bersalji dan perjalanan kereta api berlatar Alps, ada satu lagi sisi negara ini yang cukup menarik untuk diketahui.

Di bawah gunung yang kelihatan tenang itu, kereta api sebenarnya sedang meluncur sejauh lebih 57 kilometer menerusi salah satu projek kejuruteraan paling mengagumkan di dunia.

Oleh
Syahir Hannan