Kluang adalah satu daripada daerah yang terletak di negeri Johor Darul Takzim dan berada lebih kurang 105km daripada Johor Bahru.
Orang-orang tua bersependapat bahawa nama bandar Kluang terbit daripada nama sejenis mamalia yang terbang di waktu malam mencari buah-buahan, iaitu kluang ataupon Malayan Flying Fox dianggap sejenis kelawar yang terbesar di dunia. Jika tercari-cari apa yang menarik di Kluang, entri ini akan memberikan beberapa cadangan kepada anda dimana destinasi yang boleh anda lawati.
Laman Kreatif Kluang
Anda pernah pergi ke tempat lukisan mural yang ada di George Town, Kuching atau Shah Alam? Sekiranya pernah, di Kluang juga mempunyai tarikan ‘Instagramable’ popular yang sama seperti di tempat-tempat lain itu. Lokasi di mana hasil kreatif lukisan mural ini dipaparkan kepada pengunjung adalah di antara Jalan Dato’ Kaptain Ahmad dan Jalan Dato’ Teow Siew Khor. Dek kerana lokasinya yang terletak di pusat bandar Kluang, lokasi ini sangat mudah untuk dikunjungi kalau anda bermalam di bandar Kluang.
Ads
Taman Rekreasi Gunung Lambak
Kalau anda jenis yang sukakan aktiviti lasak dalam trip percutian seperti mendaki gunung, mandi air terjun dan sebagainya, lokasi ini adalah salah satu cadangan yang sesuai untuk anda. Gunung Lambak yang berketinggian lebih kurang 1400m dari aras laut ini sesuai untuk aktiviti jungle trekking atau camping. Tapi jangan risau sekiranya anda bukan jenis yang suka beraktiviti lasak. Ada pelbagai lagi cadangan aktiviti santai yang boleh anda lakukan seperti bbq ada sekadar bercuti di pinggir hutan untuk menghirup udara nyaman dan menyegarkan. Di sini juga ada mini waterpark yang amat sesuai sekiranya anda berkunjung bersama keluarga dan budak-budak. Walaupun mini, ianya pasti cukup memberikan kepuasan kepada kanak-kanak untuk berhibur lebih-lebih lagi semasa musim cuti persekolahan.
Gunung Belumut
Gunung berketinggian 1,010 meter ini terletak di daerah Kluang, Johor adalah gunung keempat tertinggi di daerah berkenaan. Gunung ini lebih tinggi dan curam sekiranya dibandingkan dengan Gunung Lambak dan Gunung Panti. Salah satu tarikan gunung berkenaan ialah Batu Mahkota iaitu sebuah batu yang kelihatan seolah-olah satu mahkota raksasa dan dapat dilihat selepas pengembaraan berjalan kaki selama dua jam.
Ads
UK Farm Agro Resort
Nak merasa dan ingin tahu macam mana ladang diuruskan di New Zealand, anda boleh datang ke UK Farm Agro Resort yang terletak kira-kira 18km dari pekan Kluang. Ini kerana UK Farm ini adalah satu ladang penternakan dan pertanian yang setanding dengan ladang-ladang berstatus antarabangsa di seluruh dunia. Kawasannya yang luas juga membuatkan lokasi ini mempunyai banyak aktiviti yang ditawarkan kepada anda untuk dinikmati seperti zoo mini, melihat haiwan ternakan dan tanam-tanaman yang ada di sini. Selain itu juga, UK Farm ini juga menyediakan tempat untuk anda bermalam yang terdiri daripada chalet, asrama dan dewan. Sesuai sekiranya ada sekolah atau organisasi yang ingin mengadakan progra di sini.
Kedai Kopi Keretapi, Kluang Johor
Ads
Nasi lemak, roti bakar dan secawan kopi di Kluang Rail Coffee atau dikenali Kedai Kopi Keretapi yang wujud dekat sini sejak lebih 80 tahun lalu terletak betul-betul di tepi landasan kereta api masih mengekalkan suasana sama seperti awal dahulu. Buat peminum kopi tegar, anda boleh berkunjung ke kedai lama yang bercirikan tradisional tanpa dekorasi indah, di samping menawarkan keaslian menu zaman dahulu. Ketika zaman 50-an dan 60-an, kedai ini pernah menghidangkan kopi kole atau teh kole yang dibungkus dalam tin susu sebagai kemudahan kepada orang ramai yang ingin membawa pulang ketika dalam perjalanan di dalam kereta api. Zaman sudah berubah. Tempat yang sama namun situasinya sudah berbeza. Di sini ada 35 meja. Satu meja hanya muat empat orang tetapi waktu kemuncak seperti hujung minggu, boleh muat sehingga 10 orang. Nak merasa duduk bersama orang tidak dikenali, di sini tempatnya.
Gulai Kawah & Asam Pedas Hj. Ishak
Antara spot makan tengah hari yang terkenal di Kluang. Kedai ini terletak di barisan blok L Perumahan Flat Haji Manan, Kluang atau landmark yang paling mudah untuk anda jadikan panduan adalah Hotel Ailang dan terletak tidak jauh dari Stesen Keretapi Kluang.
Asam Pedas Padang Tembak
Satu lagi spot asam pedas yang cukup terkenal di Kluang iaitu Asam Pedas Padang Tembak. Lokasinya terletak di Jalan Padang Tembak, Kluang dan ianya hanya terletak kira0kira 5km dari Kluang Parade.
Foto & Sumber: visitjohor.com.my
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Luangkan masa untuk meneroka Lombok dan menikmati pelbagai aktiviti yang tawarkan. Berjemur, snorkeling, menyelam, bersantai, berenang, kayak laut, spa bertaraf dunia, bermain golf, menunggang, atau pengembaraan berkonsepkan eko pelancongan. Semuanya ada di Lombok!
Lombok adalah salah satu destinasi pelancongan yang popular di Indonesia yang menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Merupakan pulau yang kaya dengan keindahan alam, ia terletak di bahagian timur Bali termasuk di dalam gugusan Nusa Tenggara Barat (Lombok dan Sumbawa). Tidak kira sama ada anda seorang backpackers, mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti secara berkumpulan, Lombok merupakan lokasi percutian ideal yang pastinya tidak mengeringkan poket anda.
Dengan pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan di sini, percutian sepanjang tiga ke empat hari di sini pastinya membuatkan rutin harian anda sarat dengan aktiviti. Percutian sempurna pastinya bermula di tiga pulau yang indah. Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air yang dikelilingi dengan pasir putih dan lambaian pokok-pokok kelapa melambai yang terletak di lautan yang berkilauan di kawasan barat laut Lombok.
Selama beberapa tahun, Gilis telah menarik pelawat dari di seluruh dunia untuk perairan yang bersih buat aktiviti skuba dan snorkeling. Apabila anda tiba di Lombok, Pulau Gili Trawangan antara lokasi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan kemudahan yang disediakan. Pulau Gili Trawangan berkeluasan 35km persegi ini yang di awal kemunculannya diterokai oleh para backpackers kini mempunyai 30 penginapan berkonsep vila dan resort.
Selain itu, terdapat dua pulau berdekatan dengannya iaitu Gili Meno dan Gili Air. Setiap sudut pulau menjadi lokasi untuk para penyelam dan aktiviti santai sepanjang pantai. Di pulau ini, ternyata terumbu karang di sekitar pulau masih belum tercemar dan hidupan akuatiknya menjadi tumpuan para pencinta alam.
Buat mereka yang mendambakan inapan mewah, menjejakkan kaki di suatu kawasan bernama Senggigi pula pasti menemukan anda dengan hotel, resort dan vila bertaraf lima bintang. Tambahan pula, kawasan ini lebih ‘havoc’ pada waktu malam kerana adanya pusat hiburan untuk para pelancong.
Buat mereka yang ingin berlabuh di sini, pastinya peluang untuk berlibur di Batu Bolong Temple, Senggigi Art Market dan Kerandangan Valley tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
Buat mereka yang sukakan cabaran, apa kata anda cuba aktiviti treking di Pergunungan Rinjani. Pengunjung juga boleh menggabungkan perjalanan di sini dengan menginap di Gili dan Senggigi sebelum memulakan langkah menjelajah Rinjani. Kebanyakan operator untuk aktiviti treking berpengalaman luas dalam menyediakan alatan, panduan, air, makanan dan keadaan cuaca bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar.
Di sini, pengembara bakal bertemu dengan salah satu kawah besar yang dikenali sebagai Tasik Segara yang terletak kira-kira dua ribu meter di atas paras laut. Kawah ini merupakan tempat gunung berapi yang aktif di abad ini. Terdapat empat hot springs yang wujud di sini di mana salah satunya dipercayai oleh penduduk tempatan mampu untuk mengubati penyakit tertentu.
Pengalaman mendaki gunung dengan pemandangan mengagumkan dan kemudahan ekspedisi serta treking telah menjadi faktor utama di mana Taman Negara Rinjani telah berjaya untuk merangkul anugerah di National Geographic World Tourism Award pada tahun 2004.
Salah satu tempat yang turut menjadi tumpuan mereka yang gemarkan tanah tinggi ialah Malimbu – bentangan laut biru bersama alunan ombak-ombak kecilnya bagaikan panorama indah yang jelas terlihat di depan mata ketika menghadap laut dari tebing bukit. Ke mana pun jua lemparan mata memandang, pemandangan di Malimbu sungguh memukau. Di sini juga, pengunjung boleh melihat Gunung Berapi Agung yang terletak di bahagian timur Bali dan barat Lombok.
Info:
Mataram adalah ibu kota Lombok Barat Nusa Tenggara. Pekan ini sebenarnya terdiri daripada empat bandar-bandar yang berbeza Ampenan, Mataram, Ulu (Cakra) dan Sweta. Ampenan mempunyai kebanyakan tarikan, termasuk Muzium Nusa Tenggara Barat yang memberikan gambaran terbaik budaya tradisi Lombok dan Pulau Sumbawa.
Mesti Tahu
Apa yang menariknya, tiada kereta atau motosikal di tiga kepulauan Gili di mana bentuk utama pengangkutan selain daripada berjalan kaki adalah dengan kereta kuda yang digelar oleh penduduk tempatan dengan panggilan Ciodomo.
Info Menarik
Lombok secara majoriti didiami penduduk yang beragama Islam sebanyak 85% ini baru saja membuka lapangan terbang bertaraf antarabangsa di daerah Praya. Sebelum ini, lapangan terbangnya terletak di Selaparang, bahagian timur Lombok. Meskipun Lombok pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit, tidaklah sukar untuk anda mencari makanan yang halal. Antara hidangan yang mesti cuba ialah Ayam Taliwang.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Selangor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan eko yang menarik bagi penggemar aktiviti sukan lasak dan penggemar alam semula jadi.
Apa kata, luangkan masa senggang anda dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar dilokasi seperti berikut:
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar. Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih. Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang. Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai. Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju.
Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30. Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam. Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia.
Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun. Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta. Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor. Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara.
Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Itu ringkasan pengalaman melawat Chiba. Ternyata Jepun ada banyak tempat menarik lain dan bukan hanya di bandar Tokyo. Wilayah Chiba atau Chiba Prefecture salah satunya. Tinggalan sejarah dan destinasi singgahan zaman edo Jepun, menjadikan Chiba destinasi unik, malah tempat ini juga mesra muslim sesuai untuk percutian keluarga atau eksplorasi solo.
Dimana sebenarnya Chiba?
Jepun mempunyai 47 prefecture atau pun wilayah. Chiba prefecture adalah salah satunya dalam kawasan Kanto. Ia terletak bersebelahan bandar Tokyo. Jika nak dibandingkan dengan Malaysia, Chiba seperti negeri Melaka, manakala Tokyo adalah seperti bandar Kuala Lumpur.
Suhu
Waktu kunjungan Libur ke tempat ini, suhu adalah sekitar 3 – 6 darjah celcius. Ini pada Februari lalu. Sentiasa perhatikan musim dan suhu tempatan sebelum berkunjung ke luar negara. Bolehlah mempersiapkan diri dengan apa yang diperlukan.
Bagi mereka yang tidak tahan sejuk, bawalah jaket winter, sarung tangan, penutup mulut dan hidung (mask) jika cuaca menjadi terlalu sejuk dan berangin, baju panas heattech atau long john serta pad pemanas untuk diletakkan di dalam poket (Baca Persediaan Bercuti Luar Negara di Musim Sejuk)
Sesejuk manakah sejuk? Jika pernah berkunjung ke Cameron Highlands di Malaysia pada musim hujan, cuaca disini adalah dua atau tiga kali ganda lebih sejuk. Malah pernah turun pada suhu negatif celcius. Tangan dan muka menjadi cepat kering akibat sejuk dan terasa kebas jika terdedah dengan udara sejuk terlalu lama. Tapi walau sesejuk mana, cuaca berbeza inilah yang kita cari.
DAY 1
Naratisan Shinshoji Temple
Setibanya di Narita Airport, kami bergerak menuju ke Naratisan Omotesando Street di mana terdapatkan kuil Naritasan Shinshoji. Memasuki tempat ini seperti berada di sebuah perkampungan kecil, penuh dengan upacara keagamaan dan ritual kepercayaan mengikut fahaman Buddha.
Kuil, binaan, batuan dan aspek arkitektur yang terdapat di sini terbina sejak beratus tahun lalu dan dipelihara sehingga ke hari ini.
Kemudian kami berjalan pula di luar. Cuaca dingin membuatkan penat berjalan tidak terasa meskipun kami sedikit mendaki bukit, sambil leka memerhati kehidupan harian masyarakat di sini yang menjual dan berniaga pelbagai jenis barangan daripada cenderamata, makanan dan barangan unik Jepun.
Yoneya Tourist Centre
Selepas puas berjalan, makan tengahari di Yoneya Tourist Centre juga di jalan Naritasan Omotesando. Restoran di sini menghidangkan makan halal. Pertama kali menikmati set hidangan Jepun rasa teruja.
Ia dihidangkan lengkap satu set daripada pemula, menu utama hingga ke manisan. Konsep makan di Jepun mengutamakan kesegaran. Jika makanan panas, ia hendaklah dihidang panas-panas dan dinikmati pada waktu itu juga. Jangan terkejut jika anda perlu menyiapkan sup sendiri di atas meja.
Sammu Narutou Area
Mungkin ada yang merasakan petik strawberi dekat Malaysia pun boleh buat. Tetapi percayalah, strawberi yang dipetik segar disini manis dan enak. Mengubah persepsi selama ini yang tidak percaya ada strawberi rasa manis.
Kami berkunjung ke Aiban Strawbery Farm, di mana sekeliling ini juga terdapat banyak ladang buah dan sayuran lain. Bayaran sekitar 1000 yen untuk membolehkan kita menikmati sebanyak mungkin strawberi dalam masa 30 minit. Teringat-ingat sampai balik ke Malaysia.
Choshi Railway Station
Kereta api merupakan pengangkutan utama di Chiba. Jika hendak melihat sejarah dan stesyen kereta api terawalnya, berkunjunglah ke Choshi Railway Station.
Inubosaki Hotel
Sekitar jam 6 keadaan sudah gelap disini. Perbezaan waktu antara Malaysia dan Chiba, lebih kurang satu jam lebih awal di Chiba. Kami dibawa menginap di Inubosaki hotel. Ia bersebelahan laut dan terdapat kolam air panas dibina untuk pengunjung hotel. Tapi perlu diingatkan, untuk memasuki kolam air panas disini anda perlu menanggallkan semua pakaian. Lebih baik rendam sahaja kaki di kolam air panas berasingan dan nikmati pemandangan lautan pasifik yang cantik. Disini juga ada beberapa penguin yang menjadi residen tetap. Beritahu kami kalau mereka masih ada sewaktu anda berkunjung ke Inubosaki Hotel.
DAY 2
Inubosaki lighthouse
Tidak jauh daripada hotel Inubosaki terdapatnya rumah api Inubosaki yang dibina oleh arkitek British pada 1874. Rumah api ini merupakan salah satu daripada 100 rumah api bersejarah terbaik di dunia.
Memanjat 99 anak tangga sedikit memenatkan. Tetapi apabila tiba di atas, anda akan terpesona dengan pemandangan lautan pasifik yang sangat cantik. Air dan langit putih biru, seperti sebuah poster, buat anda terlupa seketika perkara lain. Pada musim sejuk dan berangin perlu berhati-hati kerana angin kuat boleh menyebabkan telefon tercampak. Jadi jika nak berselfie, pastikan anda pegang baik-baik telefon itu.
Sunrise Kujukuri
Puas bergambar di Inubosaki, kami menikmati makan tengahari di Sunrise Kujukuri. Ada pelbagai menu daripada mahal (3000 yen iaitu kira-kira RM112 satu hidangan) kepada yang murah. Sambil makan boleh lihat pemandangan laut, dan restoran ini juga ada menjual barangan yang boleh dibuat cenderamata.
Mother Farm
Jangan tidur sewaktu perjalanan ke Mother Farm. Ladang yang terletak di gunung Kanosan ini mempunyai pemandangan yang cantik. Anda akan nampak Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji. Dikatakan pada musim bunga, ia semakin cantik lagi.
Mother Farm bermula sebagai sebuah ladang kecil pemberian dari seorang anak kepada ibunya, kerana itu ia dinamakan ‘Mother Farm’. Namum kini ia menjadi tempat hiburan menarik dan terkenal di Chiba. Jujurnya tempat ini sangat sesuai untuk bawa keluarga terutama dengan anak kecil.
Beri makan biri-biri, bermain dengan haiwan di kandang yang bersih dan terjaga. Juga paling utama saksikan persembahanlakon teater haiwan dimana karektor utama adalah haiwan-haiwan itu sendiri, lucu. Pada sebelah malamnya, Mother Farm akan dipenuhi lampu-lampu dan taman tema kecil akan dibuka untuk bermain Roda Ferris dan banyak lagi.
Umihotaru Parking Area
Sewaktu perjalanan turun dari Mother Farm, Gunung Fuji boleh dilihat dengan lebih jelas. Pada masa sama juga matahari terbenam, pemandangan adalah menakjubkan. Umihotaru merupakan sebuah tempat yang berada di atas lautan dan menghubungkan orang ramai ke bandar Tokyo. Apabila naik ke tingkat lima, ada kawasan terbuka untuk melihat pemandangan Gunung Fuji dan aktiviti sekitar Teluk Tokyo ini. Pada waktu angin kuat, cuaca akan sangat sejuk, pastikan anda pakai pakaian berlapis.
Untuk makan malam, boleh juga hanya makan disini. Umihotaru mempunyai banyak kedai dan restoran. Jika makan di food court, terdapat sistem pesan dan bayar guna ‘vending machine’. Serahkan kupon ke kaunter makanan yang anda mahukan dan anda akan diberi alat keloi yang berbunyi apabila makanan siap. Bagi muslim, perhatikan label menu halal sewaktu membeli, mudah.
Washington Hotel Kisarazu
Malam menjelma, kami menginap di hotel Washington Kisarazu. Sekeliling terdapat kedai-kedai yang masih beroperasi hingga lewat malam. Bolehlah berjalan ke Family Mart atau 7eleven untuk membeli snek. Hotel Kisarazu seperti kebanyakkan hotel lain di Jepun menyediakan kemudahan tv dan program On Demand. Jika terasa nak menonton filem pada waktu malam, dipersilakan.
DAY 3
Kisarazu Station – Yoshikawa Kouen Station
Hari ketiga ini kami lebih banyak berjalan kaki dan menaiki tren. Merasai sendiri pengalaman pengangkutan masyarakat disini, kami dibawa sekitar bandarnya dan diminta untuk perhatikan Chiba City Manhole. Ia merupakan penutup lubang atas jalanraya dengan perincian identiti Chiba. Bukan semua tempat ada, jadi kena cari jika anda hendak mengambil gambarnya.
TAKO Takoyaki
Sambil berjalan kami singgah ke kedai tepi jalan yang kecil sahaja, menjual Takoyaki. Apa boleh dikatakan, Takoyaki di kedai ini sangat lembut dengan sos yang enak, sesuai dengan selera orang Malaysia.Menurut pemiliknya, untuk menghasilkan dan membentuk Takoyaki yang lembut adalah lebih sukar. Ia Halal dan pastinya satu set tidak mencukupi.
Chiba Kun Bussankan – Junnu Shopping Mall
Jika nak merasa gabungan masakan Itali dengan sayuran segar Chiba pula, boleh berkunjung ke Est Bambino dalam Junnu shopping mall. Sayuran disini diambil segar dari ladang Takanashi. Bagi orang disini, kesegaran sayuran adalah penting dan ia nampak indah di atas pinggan dengan warna-warna terang dan menarik.
Nishi Chiba Mosque
Selepas makan, kami dibawa ke Masjid Nishi terletak di Pusat Budaya Islam Chiba. Pada mulanya kami membayangkan ia seperti masjid di Malaysia dengan kubah dan kawasan lapang. Tetapi masjid di sini adalah seperti sebuah surau namun besarnya masih boleh menempatkan jemaah untuk Solat Jumaat. Disini juga menjual barangan dan makanan halal yang diimport dari malaysia, Indonesia, Thailandjuga barangan halal Jepun yang lainnya.
Makuhari Hongo Station – Sushi Ichizyu
Usai solat kami bergerak kerestoran Sushi Ichi menaiki tren. Tren disini tepat mengikut masa dan tidak terkurang 1 saat sekalipun tanpa sebab. Jika ingin sampai pada waktuya, pastikan sudah berdiri di stesyen sebelum tren sampai.
Di restoran Sushi Ichizyu kami belajar cara membuat sushi. Buat sushi tak semudah yang disangkakan. Ada teknik perletakkan jari dan cara yang betul untuk menggenggam dan mengalihnya. Semuanya adalah seni dalam penghasilan makanan ruji Jepun ini. Bagi yang tak biasa, mahu tergeliat juga tangan membuatnya.
Hotel Port Plaza Chiba
Malam ini kami menginap di Hotel Port Plaza Chiba. Setibanya dalam bilik kelihatan sejadah, set kiblat dan tasbih. Mereka cuba menjadikan bilik disini mesra Muslim untuk menarik pengunjung Malaysia dan juga Muslim dari negara lain. Satu yang saya suka sepanjang berada di hotel di Chiba adalah kelengkapan bilik airnya. Tandas dengan fungsi automatik, saya sanggup bayar jika ada di Malaysia. Sejurus duduk, permukaan tandas akan menjadi panas dan selesa. Bukan hanya di hotel, kemudahan ini juga ada di tempat-tempat lain seluruh Jepun.
DAY 4
Boso-no-Mura
Tempat wajib singgah dan luangkan lebih masa di sini jika berkunjung ke Chiba. Rasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Jepun, dimana kita akan dibawa melalui transasi pakaian, makanan dan rumah dari zaman kuno ke zaman moden. Lihatlah binaan arkitektur Jepun, perkampungan seperti kampung Samurai dan kedai yang mempamerkan seni asli Jepun.
Pada mulanya anda perlu menukar pakaian di Cosplay Annex. Boleh pilih pakaian tradisional seperti Kimono, Ninja atau pakaian lebih moden. Kemudian masuk ke perkampungan Jepun ini untuk menyelami budaya dan kehidupan mereka secara langsung. Jika bernasib baik, anda boleh lihat rakaman filem disini yang lazim digunakan sebagai set untuk cerita-cerita lama. Boso-no-Mura ini seperti Hollywood Jepun.
Kanetaya Sakaemachi
Kami kemudian dibawa ke restoran yang turut menghidangkan menu halal. Restoran ini diwarisi dari generasi ke generasi sejak lebih 150 tahun lalu. Paling tidak boleh dilupakan adalah kek khas yang dibuat disini, dihidangkan bersama krim dan buahan segar, sangat enak. Ia merupakan resipi keluarga dan pastikan anda membeli yang tiada alkohol.
Sawara City
Apa yang boleh dikatakan, ini adalah pengalaman paling menenangkan dalam trip ini. Menyusuri sungai Sawara dalam cuaca dingin sungguh menyamankan. Pada zaman dulu, pekan Katori ini dihubungkan melalui sungai, dimana eksport utama adalah beras. Urusan melalui sungai adalah lebih mudah berbanding pengangkutan lain. Pemandu bot akan bercerita sambil anda boleh membayangkan kehidupan sejarah lepas menerusi bangunan rumah dan kedai yang masih dikekalkan.
Mereka ada undang-undang lokal yang mengatakan bangunan baru tak boleh dibina disini. Sebahagian besar rumah yang dilihat disini terbina sejak dari zaman Edo dan masih ada orang yang tinggal. Sawara City ini juga popular sebagai lokasi set filem. Antaranya filem The Rising Sun (Thailand) dirakamkan disini.
Membeli Belah
Aeon Mall
Tentunya di Chiba atau di tempat-tempat lainnya di Jepun, terdapat banyak Aeon Mall. Tarikan lazim utama buat orang Malaysia tentunya Daiso. Anda boleh lihat barangan Daiso yang tidak terdapat di Malaysia. Cenderamata, belilah disini.
Mega Don Quijote Narita
Juga berdekatan dengan Narita Aeon Mall adalah Don Quijote. Tempat ini juga seronok untuk membeli belah daripada cenderamata, kelengkapan rumah, barang penjagaan kulit dan banyak lagi dijual murah. Ramai yang borong coklat Kit Kat, Hada Labo, dan juga benda-benda unik lain disini.
Marroad International Hotel Narita
Hotel ini dekat dengan Narita Airport, kira-kira 15 minit perjalanan untuk anda kejar penerbangan balik ke Malaysia. Rezeki kami pada malam sebelum balik itu, dapat merasai salji yang turun lebat sekitar jam 10 malam. Ketahui ramalan cuaca dan suhu jika anda nak merasai pengalaman yang sama.
Chiba Memanggil
Banyak lagi tarikan lain yang boleh dikunjungi di Chiba. Antaranya Kamogawa Sea World, Sakura City (bandar Samurai), Tokyo Disney Resort, Country Farm Tokyo German Village di Gunung Nakogiri dan untuk membeli belah seperti di Mitsui dan Shisui Premium Outlet.
Chiba buat mereka yang pertama kali berkunjung ke Jepun menawarkan dua pengalaman berbeza iaitu moden dan juga tradisional, sesuai untuk semua peringkat umur. Jika nak berkunjung ke Tokyo, perjalanan hanya sekitar 40 minit.
Anda masih boleh pulang ke kawasan yang kurang sibuk dan berehat di tepi laut sambil merendam kaki di kolam air panas yang melegakan. Menyandar dan mengimbau pengalaman siang tadi menikmati kek lembut yang enak, menghirup sup yang panas, menyusuri perkampungan indah gaya ala Jepun dan membawa pulang cenderamata dan kenangan yang pasti akan memanggil semula anda ke Chiba.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Kala liburan, makanan adalah salah satu cara untuk mengenali dengan lebih dekat sesebuah budaya. Setiap satu menu yang dicuba menjadi manifestasi rasa lantas mengisi...