Gaya Hidup

Air Terjun Bukit Nanas, Port Healing Tersembunyi di Tengah KL

Share

Kehidupan di Kuala Lumpur yang serba pantas, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas hampir setiap hari, kadangkala membuatkan kita teringin mencari tempat untuk berehat dan menenangkan fikiran tanpa perlu memandu jauh berjam-jam.

Tahukah anda, di tengah-tengah deretan bangunan pencakar langit ibu kota sebenarnya terdapat sebuah lokasi hijau yang mungkin ramai warga Kuala Lumpur sendiri tidak sedar kewujudannya?

Lokasi tersebut ialah Air Terjun Bukit Nanas, sebuah air terjun buatan manusia yang terletak berhampiran kawasan hijau Bukit Nanas.

Suasananya yang kehijaun menjadikan kawasan ini cukup menarik untuk mereka yang mahu mencari sedikit ketenangan di tengah kesibukan bandar.

Walaupun bukan air terjun semula jadi, reka bentuknya tetap memberikan suasana nyaman dengan elemen air, batu-batuan dan kehijauan di sekelilingnya.

Lokasinya juga cukup istimewa kerana berada berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, antara kawasan hutan yang mempunyai sejarah panjang di Kuala Lumpur dan telah diwartakan sejak tahun 1906.

Bukan sekadar tempat untuk berehat, kawasan ini juga boleh dijadikan salah satu spot menarik untuk bergambar.

Gabungan kehijauan flora dengan latar bangunan moden ibu kota memberikan perspektif yang cukup unik. Dari beberapa sudut, anda juga boleh melihat Menara Kuala Lumpur menjulang di sebalik kanopi pokok.

Pemandangan sebegini agak sukar ditemui di tengah kota — alam hijau dan seni bina moden berada dalam satu bingkai yang sama.

Disebabkan lokasinya berada di tengah Kuala Lumpur, pengunjung juga mempunyai pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam.

Antara pilihan yang mudah ialah turun di Stesen LRT Dang Wangi sebelum meneruskan perjalanan menuju ke kawasan Bukit Nanas. Jika mahu suasana lebih nyaman, datanglah pada waktu pagi atau lewat petang apabila cuaca tidak terlalu panas.

Jadi, selepas ini jika terasa mahu ‘healing’ tetapi malas menghadap perjalanan jauh keluar dari Kuala Lumpur, Air Terjun Bukit Nanas boleh dimasukkan dalam senarai.

Tak perlu pergi jauh untuk mencari suasana hijau. Kadangkala, tempat untuk menarik nafas seketika sebenarnya berada betul-betul di tengah kota.

Cuma pastikan anda memilih waktu dan cuaca yang sesuai sebelum berkunjung.

 

Oleh
Balqis Qadisah