
Kalau dulu sebut AirAsia, ramai mungkin terus terbayang trip dekat-dekat sekitar Asia Tenggara. Tapi sekarang rangkaian AirAsia semakin berkembang jauh, termasuk ke Australia dan beberapa bandar di Eropah menerusi penerbangan terus serta kerjasama codeshare.
Pada September 2026, AirAsia mengumumkan kerjasama codeshare pertamanya bersama Pegasus Airlines yang membuka akses dari Kuala Lumpur ke lebih banyak destinasi Eropah menerusi Istanbul. Kerjasama ini bermula dengan lima destinasi utama iaitu London Stansted, Moscow, Ankara, Zurich dan Athens.
Jadi kalau korang jenis suka travel jauh tetapi masih mahu mencari pilihan penerbangan tambang rendah, tujuh negara ini boleh masuk dalam wishlist.
London kini semakin dekat dalam rangkaian AirAsia.
AirAsia X sudah melancarkan laluan Kuala Lumpur–Bahrain–London Gatwick, dengan perkhidmatan bermula pada 26 Jun 2026.
Selain itu, kerjasama AirAsia dengan Pegasus turut membuka pilihan perjalanan ke London Stansted melalui Istanbul.
Bila sampai London, boleh explore Big Ben, Tower Bridge, Notting Hill, Camden Market atau sekadar berjalan santai menikmati suasana kota klasik Eropah.
Australia mungkin antara pilihan paling mudah kalau nak mula mencuba trip jarak jauh.
AirAsia kini mengukuhkan rangkaiannya ke Australia dengan penerbangan Kuala Lumpur–Perth dan Kuala Lumpur–Melbourne.
Mulai Disember 2026, laluan Perth–Kuala Lumpur dijadual meningkat sehingga 14 penerbangan seminggu, manakala Melbourne–Kuala Lumpur kembali beroperasi setiap hari.
Perth sesuai untuk road trip dan pantai, sementara Melbourne pula terkenal dengan café culture, seni jalanan dan pengalaman bandar yang lebih urban.
Kalau Switzerland selama ini nampak macam destinasi yang susah dicapai, kini AirAsia membuka satu lagi laluan untuk sampai ke sana.
Menerusi kerjasama codeshare dengan Pegasus, penumpang boleh bergerak dari Kuala Lumpur ke Zurich melalui Istanbul.
Zurich boleh menjadi pintu masuk untuk meneroka tasik, bandar lama dan sambung perjalanan dengan train ke destinasi lain seperti Lucerne atau kawasan pergunungan Switzerland.
Nak suasana Eropah tetapi lain daripada kota besar seperti London atau Paris?
Athens boleh jadi pilihan.
AirAsia turut membuka akses ke Athens melalui Istanbul sebagai sebahagian daripada peringkat awal kerjasamanya dengan Pegasus Airlines.
Selain melihat Acropolis, korang boleh jadikan Athens sebagai permulaan perjalanan sebelum sambung ke pulau-pulau Greece.
Moscow juga termasuk dalam lima destinasi pertama yang dibuka menerusi rangkaian codeshare AirAsia-Pegasus.
Penumpang dari Kuala Lumpur boleh meneruskan perjalanan ke Vnukovo, Moscow melalui Istanbul.
Bandar ini menawarkan pengalaman yang sangat berbeza dengan seni bina ikonik, muzium, stesen metro yang terkenal dengan reka bentuknya dan suasana musim sejuk yang tentunya jauh daripada cuaca Malaysia.
Untuk perjalanan ke Russia, pastikan semak keperluan visa, nasihat perjalanan dan keadaan semasa sebelum membuat tempahan.
Türkiye menarik sebab ia berada di persimpangan Asia dan Eropah.
AirAsia kini menghubungkan Kuala Lumpur dengan Istanbul Sabiha Gökçen, manakala kerjasama dengan Pegasus membuka sambungan ke Ankara menerusi Lapangan Terbang Esenboğa.
Lebih menarik, kekerapan Kuala Lumpur–Istanbul dirancang meningkat daripada empat kepada tujuh penerbangan seminggu menjelang Februari 2027.
Dari bazar, masjid bersejarah dan Bosphorus hinggalah makanan seperti kebab dan baklava, memang banyak benda boleh explore.
Bahrain mungkin bukan destinasi pertama yang terlintas bila fikir tentang percutian, tetapi kedudukannya kini semakin penting dalam rangkaian AirAsia X.
AirAsia X memilih Bahrain sebagai hab strategik pertamanya menuju Eropah menerusi laluan Kuala Lumpur–Bahrain–London Gatwick.
Jadi kalau perjalanan membenarkan stopover, boleh pertimbangkan untuk explore negara Teluk ini terlebih dahulu sebelum sambung perjalanan ke London.
Perkembangan ini menunjukkan AirAsia bukan lagi sekadar menawarkan pilihan perjalanan dalam rantau Asia.
Melalui rangkaian AirAsia X serta kerjasama dengan Pegasus Airlines, syarikat itu merancang membuka lebih daripada 100 laluan tambahan antara Asia dan Eropah secara berperingkat.
Malah ketika pelancaran kerjasama tersebut, AirAsia pernah menawarkan tambang promosi dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi Eropah melalui Istanbul bermula RM799 sehala termasuk semua, walaupun promosi itu hanya tersedia dalam tempoh tertentu.
Jadi kalau selama ini trip Eropah nampak macam terlalu jauh, makin banyak pilihan penerbangan tambang rendah mungkin membuatkan itinerary ke benua lain lebih mudah dirancang.
Tip Libur: Jangan terus pilih tiket hanya sebab harga asas nampak murah. Untuk penerbangan jarak jauh, bandingkan sekali kos bagasi, makanan, pemilihan tempat duduk, tempoh transit dan hotel sekiranya perlu bermalam sebelum menentukan pilihan yang paling berbaloi.