
Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia ketika ini mungkin membuatkan ramai berfikir dua kali untuk melakukan aktiviti luar, lebih-lebih lagi aktiviti yang memerlukan kita berada lama di kawasan terbuka.
Pada pagi 26 Ogos 2026, beberapa lokasi di Selangor turut mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat termasuk Johan Setia, Shah Alam, Klang, Banting dan Petaling Jaya. Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Namun, kalau sudah merancang untuk keluar bersama keluarga atau rakan-rakan, tidak semestinya semua rancangan perlu dibatalkan. Apa kata tukar aktiviti hiking, berkelah atau bersiar-siar di kawasan terbuka kepada aktiviti yang dilakukan di dalam bangunan?
Ini lima lokasi sekitar Selangor yang boleh dipertimbangkan.
Kalau ada anak kecil, KidZania Kuala Lumpur antara tempat yang boleh membuatkan mereka lupa sekejap tentang aktiviti di luar rumah.
Terletak di Curve NX, Mutiara Damansara, KidZania dibina seperti sebuah bandar mini khas untuk kanak-kanak. Di sini, mereka boleh mencuba lebih 60 aktiviti lakonan kerjaya termasuk menjadi juruterbang, doktor, anggota bomba, cef dan pelbagai lagi.
Bukan sekadar bermain, konsepnya turut memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali dunia pekerjaan, belajar mengurus wang dan membina keyakinan diri melalui pengalaman sebenar dalam suasana terkawal.
KidZania sesuai terutamanya untuk kanak-kanak berusia empat hingga 17 tahun dan beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Lokasi: Curve NX, Jalan PJU 7/5, Petaling Jaya, Selangor.
Pernah teringin mencuba skydiving tetapi rasa seram nak terjun dari kapal terbang?
Di WINDLAB Indoor Skydiving, anda boleh merasai sensasi terapung seperti melakukan terjunan bebas menerusi sebuah terowong angin menegak.
Ia sesuai bukan sahaja untuk mereka yang sudah berpengalaman tetapi juga beginner yang pertama kali mahu mencuba. Malah, WINDLAB menerima peserta seawal usia tiga tahun, tertakluk kepada syarat keselamatan yang ditetapkan.
Lokasinya di 1 Utama Shopping Centre menjadikan aktiviti ini pilihan menarik kalau mahu pengalaman yang sedikit ekstrem tanpa perlu melakukan aktiviti di kawasan luar.
Lokasi: Level 2, 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Tak perlu pergi pantai untuk mencuba surfing.
FlowRider 1 Utama menawarkan simulator ombak yang membolehkan pengunjung mencuba pengalaman flowboarding menggunakan aliran air yang dihasilkan secara berterusan.
Menariknya, beginner juga boleh mencuba kerana sesi disertakan dengan bimbingan tenaga pengajar. Pengunjung boleh memilih sama ada mencuba bodyboarding atau stand-up flowboarding mengikut kemampuan.
Untuk kanak-kanak, syarat ketinggian minimum turut dikenakan, jadi sebaiknya periksa dahulu syarat penyertaan sebelum membuat tempahan.
Memandangkan aktiviti ini melibatkan aktiviti fizikal dan bahagian venue mungkin tidak sama seperti ruang dalaman tertutup sepenuhnya, semak keadaan jerebu dan kualiti udara terlebih dahulu sebelum berkunjung.
Lokasi: Lower Ground Floor, 1 Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Kalau satu keluarga jenis tak boleh duduk diam, boleh juga jadikan Jump Street Asia sebagai pilihan.
Indoor trampoline park ini menawarkan kawasan permainan berasaskan trampolin serta pelbagai cabaran yang boleh membuatkan pengunjung aktif melompat, bermain dan menguji ketangkasan.
Bukan kanak-kanak sahaja yang boleh berseronok, orang dewasa pun boleh turut serta. Beberapa tarikan mempunyai syarat ketinggian tertentu dan pengunjung juga perlu mematuhi peraturan keselamatan sebelum memasuki kawasan permainan.
Cuma ingat, ketika keadaan berjerebu, mereka yang mengalami ketidakselesaan pernafasan atau golongan sensitif elok mengurangkan aktiviti fizikal berat walaupun berada di lokasi tertutup.
Lokasi: Petaling Jaya, Selangor.
Tak semua percutian pendek perlu dipenuhi aktiviti lasak.
Kalau mahu sesuatu yang lebih santai dan pada masa sama menambah ilmu, singgah sahaja ke Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam.
Bangunannya sendiri cukup unik dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada seni bina rumah Minangkabau. Di dalamnya terdapat ribuan artifak dan pameran yang membawa pengunjung mengenali sejarah Selangor, budaya masyarakatnya, alam semula jadi, sukan serta perkembangan Islam di negeri ini.
Sesuai sangat kalau datang bersama anak-anak kerana selain berjalan dalam ruang muzium, mereka juga berpeluang mengenali sejarah negeri Selangor dengan cara yang lebih dekat.
Lokasi: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.
Walaupun destinasi yang dipilih berada di dalam bangunan, keadaan kualiti udara tetap perlu diambil kira ketika perjalanan dari rumah ke lokasi berkenaan.
Tambahan pula, bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa kerana data kualiti udara dikemas kini setiap jam.
Jadi sebelum keluar, semak dahulu bacaan IPU kawasan anda dan destinasi yang mahu dikunjungi. Jika keadaan semakin buruk atau anda tergolong dalam kumpulan sensitif, pilihan terbaik mungkin berehat sahaja di rumah.
Sekurang-kurangnya dengan adanya lokasi-lokasi indoor sebegini, hujung minggu tidak semestinya perlu dihabiskan dengan aktiviti outdoor. Tukar sahaja rancangan dan teruskan masa berkualiti bersama keluarga dalam suasana yang lebih terlindung.