Bangunan Keretapi Stesen Tanah Melayu, ‘Binaan Agung’ Yang Gah Di Tengah Kota. Wajib Bergambar Di Sini

Share

Bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu pada satu ketika dahulu merangkumi bangunan stesen, hotel dan pejabat pentadbiran dibina pada zaman kemuncak ketika berlakunya pembangunan pesat dan perubahan teknologi pengangkutan keretapi di Tanah Melayu.

Bangunan ini merupakan stesen ketiga di Kuala Lumpur yang merupakan sebuah bangunan beratap sementara menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang (Pengkalan Batu) dengan landasan keretapi yang pertama untuk menghubungkan bandar ini dengan kawasan-kawasan lain di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada asalnya, bangunan stesen ini mengandungi tiga platform yang berkonsep ringkas dan terbuka dengan ruang legar yang luas berbumbung selari dengan platform. Stesen Keretapi Tanah Melayu ini merupakan antara bangunan terindah yang memperlihatkan perkembangan reka bentuk dan nilai estetika melalui kepelbagaian seni hiasnya seperti penggunaan berulang gerbang besar (Gothe) dan disulam beranda di setiap tingkat, serta tingkap besar dan kubah dengan tiang tegak terpintal yang terletak di empat penjuru bangunan.

Dalam lipatan sejarah, bangunan ini pernah mengalami kemusnahan dan kerosakan besar iaitu di bahagian sayap utara akibat terkena bedilan bom semasa Perang Dunia Kedua. Kemudian, pada 14 November 1968, bahagian yang sama di tingkat kedua musnah akibat kebakaran yang tercetus.

Kuala Lumpur merupakan tempat pentadbiran ketika zaman British sebelum Merdeka lagi. Disebabkan itu, Bandaraya Kuala Lumpur dihiasi pelbagai binaan agung serta struktur bangunan yang menpunyai nilai sejarah yang tinggi dan menarik. Sebagai rakyat Malaysia, anda seharusnya berbangga untuk menghayati sejarah tinggalan warisan ini. Jangan lupa untuk ambil gambar kenangan disekitar kawasan tersebut dan perkenalkan negara kita kepada orang luar melalui gambar-gambar destinasi menarik yang ada disekitar Kuala Lumpur ke dalam sosial media!

    

Foto: Google Image | Instagram

 

IKLAN