
September nampaknya menjadi bulan yang cukup meriah buat kaki wayang apabila banyak filem baharu mula memenuhi pawagam.
Kalau sudah lama tak keluar menonton filem bersama pasangan, keluarga atau geng kawan-kawan, inilah masanya untuk rancang ‘movie day’. Tetapi satu perkara yang ramai selalu terlepas pandang ialah pemilihan hari dan waktu tayangan.
Salah pilih masa, mungkin kena beratur panjang, parking penuh dan pilihan tempat duduk pula tinggal di barisan paling depan.
Jadi sebelum tekan butang ‘book ticket’, ini beberapa tip yang boleh membantu anda menikmati pengalaman menonton dengan lebih selesa.
Kalau anda jenis tak suka pawagam terlalu penuh, cuba pilih hari bekerja terutamanya Isnin hingga Khamis.
Secara umumnya, tempoh ini lebih selesa berbanding malam Jumaat atau hujung minggu kerana kebanyakan orang masih bekerja dan bersekolah.
Bonusnya, lebih mudah untuk mendapatkan tempat duduk pilihan terutama jika anda suka berada di bahagian tengah dewan.
Bagi yang mempunyai masa fleksibel, slot sekitar lewat pagi hingga tengah hari boleh menjadi pilihan menarik.
Pusat beli-belah biasanya belum terlalu sibuk dan suasana di pawagam juga lebih santai.Selepas habis menonton, boleh terus sambung makan tengah hari atau berjalan-jalan. Kiranya sekali keluar, boleh terus jadikan satu ‘day out’.
Lain orang, lain cara menikmati filem.
Ada yang suka pawagam sunyi, tetapi ada juga yang lebih seronok apabila satu dewan penuh dengan penonton.
Kalau anda dalam kategori kedua, cuba menonton pada minggu pertama filem ditayangkan, terutamanya untuk filem yang sedang hangat diperkatakan.
Reaksi penonton ketika babak lucu, seram atau penuh kejutan kadangkala membuatkan pengalaman menonton terasa lebih hidup.
Tak kisah sangat tentang spoiler dan tak mahu berebut tiket?
Tunggu sekitar seminggu selepas filem mula ditayangkan.
Kebiasaannya keterujaan awal sudah mula reda, sekali gus memberi lebih banyak pilihan waktu dan tempat duduk.
Cara ini sesuai untuk anda yang mahu menonton dalam keadaan lebih tenang tanpa perlu membuat tempahan terlalu awal.
Malam Jumaat serta petang dan malam hujung minggu lazimnya menjadi pilihan ramai untuk keluar bersama keluarga dan rakan-rakan.
Jadi jangan pelik kalau kawasan parking, restoran dan pawagam semuanya penuh dalam satu masa.
Kalau tetap mahu datang pada waktu tersebut, sebaiknya tempah tiket lebih awal dan beri sedikit masa tambahan untuk mencari parking.
Jangan terus bayar sebaik sahaja nampak waktu tayangan yang sesuai.
Rajin-rajinlah semak laman web atau aplikasi pawagam kerana ada kalanya ditawarkan promosi, tayangan khas, hadiah ataupun pakej tertentu.
Sebagai contoh, sepanjang September 2026 terdapat beberapa tayangan khas dan promosi koleksi di rangkaian pawagam seperti GSC dan TGV, tetapi tawaran berbeza mengikut filem, lokasi serta tempoh promosi.
Jadi semak dahulu sebelum membuat pembelian kerana mana tahu ada tawaran yang lebih menarik.
Kalau tak pasti nak pilih seat mana, kawasan tengah dewan dan beberapa baris dari belakang biasanya antara posisi yang paling selesa.
Pandangan ke skrin lebih seimbang dan anda tidak perlu terlalu mendongak seperti ketika duduk di bahagian hadapan.
Namun kalau pergi dalam kumpulan besar, tempahlah lebih awal supaya semua orang dapat duduk bersebelahan.
Walaupun tiket sudah dibeli secara online, jangan sampai terlalu ngam dengan waktu tayangan.
Cuba tiba sekitar 15 hingga 30 minit lebih awal, terutama ketika hujung minggu.
Masa tambahan itu boleh digunakan untuk ke tandas, membeli popcorn atau minuman dan masuk ke dewan dengan tenang tanpa perlu berlari ketika filem sudah bermula.
Menonton wayang bukan sekadar duduk dua jam di dalam pawagam.
Dengan perancangan masa yang betul, ia boleh menjadi satu mini outing yang menyeronokkan. Tengok filem, makan bersama, singgah minum kopi dan berjalan-jalan selepas itu.
Jadi kalau September ini senarai filem yang anda nak tengok semakin panjang, mungkin sudah tiba masanya buka kalendar, cari satu hari kosong dan rancang movie day bersama orang tersayang.
Tip Libur: Sebelum keluar, semak dahulu waktu tayangan, harga tiket dan promosi terkini kerana ia boleh berubah mengikut pawagam, lokasi serta jenis dewan.