Kini Terbiar! Carcosa Seri Negara, Rumah Agam Mewah Diiktiraf Warisan Negara

Share

Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih, dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini yang sudah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan. Selepas mencapai kemerdekaan banyak kemajuan dan pembangunan membanggakan dicapai negara dalam pelbagai aspek.

Walau bagaimanapun, jangan dilupakan kesan sejarah yang menjadi mata dan saksi pembangunan negara kita. Ia memberikan penjelasan mengenai bagaimana bermula kewujudan Malaysia. Setiap negeri mempunyai bangunan bersejarah dibina ketika zaman kolonial yang sarat dengan kisah menarik dan memberikan identiti tersendiri. Jika di Kuala Lumpur Carcosa Seri Negara juga merupakan binaan bersejarah yang ramai terlepas pandang.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957

Pernah menjadi latar belakang kepada filem antarabangsa Crazy Rich Asians, Carcosa Seri Negara diangkat sebagai lokasi mahligai milik keluarga Nick Young (pelakon peneraju utama) dalam filem tersebut.

Carcosa Seri Negara yang dipercayai bernilai lebih RM1 bilion adalah rumah agam bersejarah yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Bangunan ini sangat penting untuk dipelihara juga dipulihara kerana ia merupakan salah satu sejarah dan harus dijadikan warisan negara untuk generasi akan datang.

‘Tempat Amat Disayangi’

Carcosa dipercayai berasal daripada bahasa Itali bermaksud ‘tempat amat disayangi’ yang dibina Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Swettenham. Ia dijadikan kediaman rasmi beliau dan Carcosa yang dibina pada 1896 dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada 1987. Carcosa Seri Negara pernah menjadi salah satu hotel utama di Kuala Lumpur suatu ketika tetapi telah pun menamatkan operasinya.

Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Seri Negara yang dahulu dikenali sebagai King’s House pernah menjadi tempat persidangan Raja-Raja Melayu untuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian itu juga menyebabkan kita membentuk kerajaan Persekutuan yang diguna pakai sehingga kini.

Carcosa adalah sebuah banglo mewah terletak berhampiran Tasik Perdana, Kuala Lumpur yang telah berusia lebih 100 tahun, kini semakin uzur dimamah usia. Manakala King’s House yang dibina pada tahun 1913 yang bersebelahan dengannya merupakan kediaman tetamu kenamaan suatu ketika dahulu. King’s House menjadi kediaman bagi tetamu yang terdiri daripada kerabat Diraja British apabila melawat Tanah Melayu.

Jadi Saksi Penting Sejarah Negara

  • Rumah agam mewah ini menjadi saksi kepada campur tangan British dalam pentadbiran di Tanah Melayu serta menjadi medan pertemuan dan perbincangan para pemimpin untuk menuntut kemerdekaan.

  • Selain itu, kedudukan Carcosa di puncak bukit menjadikan ia sebuah kediaman berprestij yang didiami Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Frank Swettenham serta menandakan Kuala Lumpur sebagai ibu kota bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
  • Sebelum kemerdekaan pada tahun 1946, Harold MacMichael yang dihantar oleh kerajaan British untuk menjayakan rancangan Malayan Union telah menjadikan bangunan ini sebagai kediaman dan bilik gerakan rancangan Malayan Union.
Laporan berita British mengembalikan Carcosa kepada malaysia menjadi berita muka depan Mingguan Malaysia pada tahun 1984.
  • Selepas kemerdekaan terdapat desakan daripada rakyat supaya bukit dan bangunan Carcosa yang menjadi milik British diserahkan kembali kepada kerajaan Malaysia demi ‘maruah negara’. Kerajaan Britain bersetuju menyerahkannya semula pada tahun 1984. Ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri telah menerima kembali bagi pihak kerajaan Malaysia.

Trivia

Sir Frank Swettenham telah membina kediaman di Bukit Carcosa sebagai lambang kasih sa­yang terhadap isterinya Sydney Swettenham yang amat dicintainya. Kediaman di Bukit Carcosa itu dianggap mahligai cinta yang tidak terhingga terhadap Sydney. Malah Tasik Perdana sebelum ini juga telah diberi nama Sydney Lake sempena nama isterinya. Sehingga hari ini, ramai yang mengatakan mereka seringkali melihat kelibat ‘entiti’ Sydney Swettenham berada di kawasan sekitar Carcosa Seri Negara.

Sumber Foto: Internet – Sumber: AstroawaniUtusan

IKLAN