Cari Tempat Menarik Di Kuala Kangsar? Medan Kraftangan Ini Ada Banyak Aktiviti Boleh Dibuat

Share

Suasana tenang di Bandar Diraja Kuala Kangsar dengan pemandangan indah Sungai Perak menjadikan daerah ini antara destinasi menarik untuk dikunjungi ketika bercuti di Perak.

Kuala Kangsar bukan sahaja terkenal dengan sejarah kesultanannya, malah daerah ini turut menjadi antara lokasi penting dalam mempertahankan dan memperkenalkan seni warisan serta kraftangan Melayu.

Antara lokasi yang boleh dikunjungi untuk mengenali keunikan seni tersebut ialah Medan Kraftangan Kuala Kangsar.

Syurga Kraftangan Tempatan

Medan Kraftangan Kuala Kangsar boleh dianggap sebagai pusat sehenti buat pengunjung yang mahu melihat dan mendapatkan pelbagai hasil kraftangan tempatan.

Sudah tentu antara produk yang paling sinonim dengan Kuala Kangsar ialah labu sayong. Kraftangan tradisional ini bukan sahaja mempunyai rupa yang unik, malah sudah lama menjadi salah satu identiti Kuala Kangsar.

BACA JUGA: Naik ETS Rentas Tasik Bukit Merah, Laluan Kereta Api Atas Tasik Yang Cukup Cantik Di Perak

Selain labu sayong, pengunjung juga boleh menemui pelbagai barangan yang diperbuat daripada rotan, ukiran kayu, anyaman mengkuang serta barangan perhiasan dan cenderamata.

Singgah di sini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada kita untuk mengenali hasil kerja tangan pengusaha tempatan, selain membantu menyokong kelangsungan industri kraftangan tradisional.

Setelah puas mencuci mata dan membeli cenderamata, bolehlah mengisi perut di medan selera yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

Terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman yang boleh dinikmati. Antaranya cendol, rojak dan laksa yang cukup sesuai dinikmati sambil berehat selepas berjalan-jalan.

Pengunjung boleh memilih gerai mengikut selera dan bajet masing-masing.

Kalau mahu pengalaman yang lebih menarik, jangan terus pulang selepas membeli-belah.

Pengunjung juga boleh menikmati suasana Sungai Perak dengan menaiki bot menyusuri sungai. Aktiviti ini sesuai dilakukan bersama keluarga sambil menikmati pemandangan dan angin sungai yang cukup mendamaikan.

Ia boleh menjadi pengalaman menarik terutama buat anak-anak yang pertama kali berkunjung ke Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Satu lagi tarikan yang boleh diterokai ialah lorong seni yang menampilkan mural berkaitan seni, budaya dan identiti Kuala Kangsar.

Selain menjadi lokasi menarik untuk bergambar, mural-mural ini turut memberi gambaran mengenai keunikan budaya masyarakat tempatan.

Jadi, kalau datang ke Kuala Kangsar, jangan sekadar lalu sahaja. Luangkan sedikit masa meneroka kawasan ini, membeli hasil kraftangan tempatan, menikmati makanan dan merasai sendiri suasana Sungai Perak.

Medan Kraftangan Kuala Kangsar sememangnya antara destinasi yang patut dimasukkan dalam itinerari apabila bercuti ke Perak. Lebih penting, setiap pembelian hasil kraftangan tempatan turut membantu memastikan seni warisan kita terus hidup dan dihargai generasi akan datang.

Siapa lagi yang akan menyokong tukang kraf tempatan kalau bukan kita?

 

Your Next Stay Starts Here ✨

Discover places to stay across destinations near and far, with options to match your plans, style, and budget!

Explore Stays

Oleh
Balqis Qadisah