Hotel mewah Crockfords di Resorts World Genting (RWG) sekali lagi mengekalkan penarafan 5-Bintang oleh Forbes Travel Guide (FTG) bagi tahun kelapan berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya hotel di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut bagi tahun ini.
Pengiktirafan berprestij yang dicapai sejak 2019 hingga 2026 itu membuktikan konsistensi Crockfords dalam menawarkan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia, berpaksikan perkhidmatan peribadi, perhatian terhadap perincian serta komitmen tinggi terhadap kecemerlangan.
Forbes Travel Guide yang diiktiraf sebagai autoriti global dalam penilaian hospitaliti mewah menjalankan pemeriksaan rahsia oleh penilai profesional sebelum sesebuah hotel layak menerima penarafan tertinggi.
Terletak bersebelahan kompleks SkyAvenue, Crockfords menawarkan suasana eksklusif dengan pintu masuk tersendiri yang menjamin ketenangan tetamu.
Reka bentuk dalaman berkonsep elegan kontemporari diserikan sentuhan artistik yang dikurasi rapi, sekali gus mencipta pengalaman ketibaan yang sofistikated dan berkelas.
Seiring dengan pencapaian tersebut, hotel ini turut memperkenalkan kategori suite baharu yang direka memenuhi gaya hidup moden. Antaranya Prestige Suite yang merupakan Gym seluas 1,080 kaki persegi yang dilengkapi kemudahan kardio peribadi dan balkoni persendirian.
Selain itu, Premier Suite seluas 670 kaki persegi yang menawarkan suasana intim dan mewah serta Studio Suite seluas 540 kaki persegi dengan elemen reka bentuk tempahan khas turut menjanjikan pengalaman menarik.
Penambahan ini memperlihatkan usaha berterusan pihak hotel dalam meningkatkan tahap keselesaan serta fungsi ruang penginapan.
Dalam memperkayakan pengalaman gaya hidup tetamu, Crockfords turut memperkenalkan Eden by Crockfords di Aras G, sebuah destinasi menjamu selera yang menggabungkan konsep santai namun eksklusif.
Restoran tersebut menyajikan hidangan klasik antarabangsa serta menu berinspirasi citarasa tempatan seperti Home-Cured Gravlax, Mexican Wagyu Burger dan Kari Laksa Nyonya, selain menawarkan stesen memasak secara langsung.
Ia dibuka kepada tetamu hotel dan orang awam, sekali gus memperluaskan pengalaman hospitaliti hotel melangkaui penginapan semata-mata.
BACA JUGA: Resipi Tradisi Diangkat Tinggi, Ini 5 Restoran Berkonsep Melayu Wajib Cuba
Selain Crockfords, portfolio hotel RWG turut menerima pengiktirafan apabila Genting Grand dinobatkan sebagai Hotel Mewah 4-Bintang Forbes Travel Guide bagi sembilan tahun berturut-turut, manakala Hotel Highlands tersenarai sebagai Hotel Disyorkan Forbes bagi tempoh sama.
Sebagai sebahagian daripada Genting Malaysia Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia, Resorts World Genting terus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi rekreasi dan hiburan terkemuka di rantau ini.
Dengan landskap pergunungan yang memukau pada ketinggian 6,000 kaki dari paras laut serta rangkaian kemudahan bertaraf antarabangsa, pencapaian terbaharu Crockfords ini bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya simbol keunggulan hospitaliti Malaysia di persada dunia.

