Dah Ramai Terkorban! Jangan ‘Degil’ Berkelah, Mandi-Manda Di Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu

Share

Ramai yang mengambil peluang ketika ini untuk bersantai dan berkelah bersama keluar di banyak lokasi tumpuan ramai setelah dibenarkan berbuat demikian.

Keseronokkan jelas terpancar di wajah orang ramai, mana tidaknya sudah hampir tiga bulan tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti sedemikian. Namun begitu, anda dinasihatkan untuk bercuti didestinasi yang dibenarkan dan tidak meragut keselamatan nyawa anda.

Jika anda bercadang ke kawasan air terjun di Kuala Berang, Terengganu ini ada arahan khas daripada pihak berkuasa! Orang ramai diingatkan jangan berkelah atau bermandi-manda di kawasan Air Terjun Belukar Bukit kerana lokasi berkenaan memang tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah.

Kawasan rekreasi berkenaan sebenarnya sudah hampir dua tahun ditutup kepada orang awam, bagaimanapun pihaknya menerima aduan ada pengunjung yang masih ‘mencuri’ masuk ke kawasan tersebut. Kedegilan orang ramai mematuhi arahan penutupan ini terutamanya orang luar dari negeri atau kawasan ini menjadi punca berlaku kejadian malang sehingga mengorbankan nyawa.

Lokasi Air Terjun Belukar Bukit memang tidak dibenarkan dikunjungi orang ramai dan sebelum ini pihak berkuasa sudah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga, antaranya memasang kain rentang dan papan tanda di sekitar kawasan. Air terjun di sini dikatakan sangat berbahaya kerana air sungainya kelihatan seperti sangat cetek tetapi sebenarnya di bawah itu ada pusaran air. Lebih-lebih lagi ketika cuaca hujan.

Untuk rekod, kawasan air terjun ini sudah catat empat tragedi yang meragut lima nyawa untuk tahun 2019 sahaja. Malah untuk tahun ini sudah dua tragedi berlaku iaitu pada 16 Mac 2020 dan terbaharu kegembiraan 18 sekeluarga bermandi-manda di tempat perkelahan Air Terjun Belukar Bukit meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada 18 Jun 2020.

Foto: FB Amazing Terengganu | Sumber: sinar harian

IKLAN