Gaya Hidup

Dirasmikan Sultan Kedah, Hilton Burau Bay Langkawi Tampil Dengan Pesona Rimba Dan Laut Andaman

Share

Berlatarkan kehijauan hutan hujan tropika dan panorama Laut Andaman, Hilton Burau Bay Langkawi Resort menambah tarikan percutian di pulau legenda. Terletak di Teluk Burau, resort ini mengajak pengunjung menikmati Langkawi dengan rentak lebih santai, ditemani pemandangan Gunung Mat Cincang dan suasana pesisir.

Resort ini dirasmikan oleh Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, pada 10 September 2026. Berlangsung di Dewan Utama Orchid, perasmian diraja itu menandakan pelancaran komersial sepenuhnya selepas fasa pra-pembukaan pada Jun lalu, seiring dengan kempen Visit Malaysia 2026.

Keberangkatan Baginda turut disertai Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah, dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda, bersama kerabat diraja Kedah. Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, serta wakil Tradewinds Corporation Berhad turut hadir memeriahkan majlis.

Pembukaan ini membawa perhatian kepada keistimewaan Langkawi yang pernah ditegaskan Sultan Kedah dalam titah sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-84 pada Julai lalu. “Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisannya yang unik,” titah Baginda, seraya menyeru pembangunan yang berpaksikan jati diri pulau.

Dibangunkan dan dimiliki oleh Tradewinds Corporation Berhad, resort ini merangkumi kawasan hampir 22 ekar dengan pantai persendirian sepanjang 650 meter. Lokasinya sekitar 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, selain berdekatan Langkawi Cable Car, SkyBridge dan Oriental Village, memudahkan tetamu menyusun acara bersiar-siar.

Sebanyak 251 bilik dan suite ditawarkan, setiap satunya dilengkapi teres atau balkoni persendirian dengan pemandangan hutan, gunung atau laut. Sebanyak 16 bilik bersambung pula tersedia untuk penginapan pelbagai generasi, sesuai buat keluarga yang mahu membawa ibu bapa dan anak-anak bercuti bersama.

 

BACA JUGA: Gaya Resort Dalam Bandar, Hilton Shah Alam Glenmarie Destinasi Staycation Baharu Di Selangor

Pengalaman menjamu selera hadir melalui empat konsep berbeza. Gingerfire menyajikan hidangan Asia dan antarabangsa sepanjang hari, manakala Haliya Lounge menawarkan kopi artisan dan botani tempatan. Mingzhu mengetengahkan tradisi kulinari etnik Yunnan yang kaya rempah ratus, sementara Trattoria Mare menyajikan masakan Itali dalam suasana tepi laut.

Bagi yang mahu memperuntukkan waktu untuk rehat diri, Eforea Spa menampilkan susun atur astaka terbuka, sauna luar berbentuk tong, bilik garam khusus dan Elixir Lounge. Kemudahan ini melengkapkan pilihan untuk mengisi percutian dengan kegiatan yang lebih santai.

Tiga kolam renang merangkumi kolam keluarga, kolam khas kanak-kanak dan zon dewasa sahaja, di samping lima kolam meditasi batu. Tetamu yang gemarkan aktiviti fizikal pula boleh memanfaatkan gelanggang tenis, pickleball dan bola keranjang.

Pusat Alam Semula Jadi menawarkan penerokaan hutan hujan tropika bersama pemandu, membuka peluang untuk mengenali persekitaran pulau dengan lebih dekat. Kelab Kanak-Kanak turut melengkapkan pilihan aktiviti, menjadikan resort ini relevan untuk percutian keluarga dengan minat dan usia yang berbeza.

Untuk sambutan istimewa, resort menyediakan lebih 5,400 kaki persegi ruang acara dalam dan luar bangunan. Antaranya ialah Dewan Utama Orchid tanpa tiang yang boleh menampung sehingga 210 tetamu, selain bilik fungsi, Grand Lawn dan kawasan pantai sebagai pilihan latar majlis.

Dengan gabungan lokasi, pilihan santapan dan aktiviti, Hilton Burau Bay Langkawi Resort memberi alasan untuk kembali menikmati pesona Langkawi. Sesekali, biarkan jadual percutian sedikit lapang. Nikmati sarapan lebih lama, luangkan petang di tepi laut dan beri diri sendiri peluang untuk bercuti tanpa tergesa.

Oleh
Fiezreen