
Musim durian di Malaysia bukan lagi sekadar dinanti-nantikan oleh rakyat tempatan. Kini, semakin ramai pelancong luar datang ke negara ini semata-mata mahu merasai sendiri pengalaman makan durian segar, terutama jenis yang popular seperti Musang King, Black Thorn, D24 dan Udang Merah.
Fenomena ini dikenali sebagai durian tourism, iaitu pelancongan berasaskan pengalaman menikmati durian di lokasi asal. Bukan hanya makan buah, pelancong juga mahu melihat suasana gerai durian, belajar cara memilih buah yang elok, bergambar dengan lambakan durian dan merasai pengalaman makan durian secara santai bersama rakan atau keluarga.
Salah satu sebab durian tourism semakin mendapat perhatian adalah kerana pengaruh media sosial. Banyak video pelancong luar mencuba durian Malaysia menjadi tular, terutama apabila mereka memberi reaksi pertama selepas merasa isi durian yang pekat, berkrim dan beraroma kuat.
Bagi sesetengah orang, bau durian mungkin terlalu kuat. Tapi bagi peminatnya, durian Malaysia dianggap antara yang terbaik kerana rasa lemak, manis, sedikit pahit dan teksturnya yang lembut.
Lebih menarik, ada pelancong yang bukan sahaja datang ke Kuala Lumpur atau Selangor untuk makan durian, malah sanggup bergerak ke kawasan pengeluaran terkenal seperti Raub, Pahang dan Balik Pulau, Pulau Pinang semata-mata mahu mendapatkan pengalaman lebih autentik.
Apa yang membuatkan durian tourism menarik ialah suasananya. Bayangkan duduk di gerai terbuka, durian dibelah depan mata, kemudian isi kuning keemasan terus dihidangkan dalam dulang. Di sebelah pula ada air kelapa, manggis atau cendol durian sebagai pelengkap.
Inilah pengalaman yang sukar dirasai di negara luar. Pelancong bukan sahaja mahu makan durian, tetapi mahu menikmati suasana tempatan yang meriah, santai dan penuh karakter.
Bagi kaki travel, aktiviti makan durian juga boleh dimasukkan dalam itinerari jalan-jalan bandar. Kalau ke Kuala Lumpur, Petaling Jaya atau Selangor, banyak lokasi durian popular yang mudah diakses dan sesuai dijadikan port singgah bersama keluarga atau rakan.
SS2 memang cukup sinonim dengan durian. Antara lokasi yang sering jadi pilihan ialah DurianMan SS2. Suasananya meriah, pilihan durian banyak dan sesuai untuk mereka yang mahu menikmati pengalaman makan durian dalam suasana santai tetapi tersusun.
Tempat ini juga sesuai untuk pelancong luar yang baru mahu mengenali durian kerana boleh cuba beberapa jenis varieti dan belajar beza rasa antara durian premium dengan durian kampung.
Kalau mahu pengalaman durian yang lebih ‘tourist friendly’, DurianBB Park antara lokasi menarik untuk dicuba. Tempat ini menawarkan suasana lebih kemas dan bergaya, sesuai untuk pelancong yang mahu makan durian sambil bergambar.
Dengan dekorasi bertema durian dan suasana seperti taman, lokasi ini memang sesuai untuk mereka yang mahu pengalaman durian lebih moden, bukan sekadar duduk di gerai tepi jalan.
Satu lagi lokasi popular di kawasan SS2 ialah SS2 Durian House Stall. Kawasan ini sering meriah terutama pada musim durian, dengan deretan buah durian yang disusun di gerai dan pelanggan datang silih berganti.
Bagi yang suka pengalaman makan durian gaya lokal, tempat seperti ini memang ada tarikannya tersendiri. Pilih buah, tunggu dibelah, kemudian makan terus di meja yang disediakan.
Rizky Durian juga antara nama yang sering disebut apabila bercakap tentang port makan durian di sekitar KL dan Selangor. Selain durian segar, ada lokasi yang turut terkenal dengan menu sampingan seperti cendol durian.
Ini menjadikan pengalaman makan durian lebih menarik, terutama untuk mereka yang datang berkumpulan dan mahu cuba lebih daripada sekadar buah durian biasa.
Sinnaco Durian Specialist pula terkenal sebagai antara lokasi durian popular di Petaling Jaya. Tempat ini sesuai untuk mereka yang mencari durian segar dengan pilihan varieti berbeza.
Bagi penggemar durian yang suka membandingkan rasa, tekstur dan aroma setiap jenis durian, lokasi seperti ini boleh jadi pilihan menarik untuk food hunting.
Sebelum ke mana-mana gerai durian, sebaiknya semak dahulu waktu operasi dan stok harian kerana durian bergantung kepada musim serta bekalan. Harga juga boleh berubah mengikut jenis, kualiti dan permintaan semasa.
Kalau mahu rasa lebih puas, datang bersama rakan atau keluarga supaya boleh berkongsi beberapa jenis durian. Jangan lupa minum air yang cukup dan elakkan makan terlalu banyak dalam satu masa.
Durian mungkin buah yang membuatkan orang sama ada jatuh cinta atau terus mengalah selepas bau pertama. Namun bagi peminatnya, durian Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri yang sukar ditandingi.
Dengan pengaruh media sosial, permintaan pelancong luar dan populariti variety premium seperti Musang King, tidak hairanlah durian tourism semakin menjadi tarikan baharu di Malaysia.
Jadi kalau ada rakan dari luar negara datang bercuti ke Malaysia, jangan hanya bawa mereka ke menara, pantai atau pusat beli-belah. Bawa sekali mereka makan durian. Mana tahu, dari sekadar cuba-cuba terus jadi peminat tegar raja buah.