Travel

Gaya Resort Dalam Bandar, Hilton Shah Alam Glenmarie Destinasi Staycation Baharu Di Selangor

Share

Di tengah kesibukan Lembah Klang yang sentiasa bergerak pantas, kadangkala kita hanya memerlukan satu ruang untuk berhenti seketika dan menikmati ketenangan.

Bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada hiruk-pikuk kota tanpa perlu memandu jauh, pembukaan Hilton Shah Alam Glenmarie menawarkan pengalaman menginap yang cukup berbeza.

Terletak berlatarbelakangkan kehijauan padang golf Glenmarie serta tasik yang menenangkan, hotel ini membawa konsep resort dalam bandar yang sesuai untuk percutian hujung minggu, staycation keluarga mahupun perjalanan perniagaan yang lebih santai.

 

Lokasinya juga cukup strategik. Hilton Shah Alam Glenmarie berada kira-kira 10 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Subang dan sekitar 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dari sini, tetamu boleh dengan mudah meneroka beberapa tarikan popular sekitar Shah Alam dan Subang Jaya seperti Sunway Lagoon Theme Park, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang ikonik dengan kubah birunya, Wet World Water Park serta Taman Botani Shah Alam yang sering menjadi pilihan pencinta alam dan keluarga pada hujung minggu.

Fasiliti Lengkap

Hotel ini menawarkan 261 bilik dan suite yang direka dengan konsep moden dan selesa untuk pelbagai gaya perjalanan. Pilihan penginapan merangkumi bilik tetamu dengan katil king atau twin, bilik deluxe yang menghadap pemandangan padang golf serta bilik premium eksekutif yang dilengkapi ruang lebih luas.

Terdapat juga beberapa bilik dengan konfigurasi bersambung, memudahkan keluarga atau kumpulan rakan menginap bersama. Bagi mereka yang mahukan ruang tambahan, hotel ini turut menyediakan suite dengan susun atur fleksibel yang sesuai untuk penginapan lebih lama atau percutian keluarga.

Kemudahan riadah yang disediakan juga menjadikan hotel ini sesuai untuk percutian bersama keluarga. Antaranya termasuk kolam renang bersaiz Olimpik, kolam kanak-kanak, pusat kecergasan 24 jam yang lengkap, gelanggang sukan dalaman dan luaran serta taman permainan kanak-kanak.

Bagi yang gemar bersantai bersama rakan, terdapat juga ruang karaoke untuk hiburan malam. Penggemar golf pula boleh menikmati akses mudah ke Glenmarie Golf and Country Club yang mempunyai dua padang golf 18 lubang serta lapang sasar lengkap dengan kemudahan latihan profesional.

Ekspresi Gastronomi

Pengalaman menginap di sini turut diperkaya dengan pelbagai pilihan gastronomi. Gingerfire, restoran santapan sepanjang hari, menyajikan hidangan tempatan dan antarabangsa yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.

Garden Terrace Restaurant pula menawarkan suasana makan santai dengan menu Malaysia dan Barat, manakala Fūrin Restaurant membawa pengalaman sajian Jepun yang lebih elegan, lengkap dengan bilik peribadi untuk majlis lebih intim.

Glen Lounge menjadi tempat ideal untuk menikmati pastri dan minum petang sebelum suasana berubah lebih santai pada waktu malam, sementara Pine Café menyediakan pilihan makanan ringan serta minuman yang sesuai untuk dibawa pergi.

Selain menjadi destinasi penginapan, Hilton Shah Alam Glenmarie turut menawarkan ruang acara yang luas dengan lebih 2,800 meter persegi ruang mesyuarat dan acara merangkumi pelbagai venue fleksibel.

Glenmarie Ballroom menjadi tumpuan utama dengan kapasiti sehingga 500 tetamu, menjadikannya lokasi ideal untuk majlis perkahwinan, persidangan korporat atau pelbagai acara sosial.

Dengan gabungan suasana resort yang tenang, kemudahan moden serta lokasi strategik, hotel ini membuka satu lagi pilihan menarik bagi pengembara yang ingin menikmati pengalaman rehat yang lebih santai tanpa perlu meninggalkan bandar.

Oleh
Fiezreen