Jangan Pandang Sebelah Mata. Kecil-Kecil Perlis Penuh Dengan ‘Kejutan’

Share

Tenang dan memiliki bentuk muka bumi istimewa menjadi faktor tarikan utama dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong luar untuk menerokai Perlis. Jolokan ‘Negeri Permai Lagi Mempesona’ sememangnya sangat sesuai dengan negeri Perlis yang aman dan indah.

Perlis merupakan negeri terkecil di utara Semenanjung, sering menjadi persinggahan sementara untuk pelancong ke Pulau Langkawi ataupun memasuki negara jiran, Thailand. Pelbagai tarikan pelancongan di Perlis pastinya memberikan pengalaman hebat dan menyeronokkan. Berikut antara tarikan istimewa negeri mangga harumanis:

KAWASAN EKO PELANCONGAN

Perlis menyimpan khazanah hutan yang amat berharga. Kawasan hutan di Perlis menjadi satu-satunya negeri di Malaysia mempunyai spesies Pokok Bogak terbanyak untuk dinikmati pencinta alam. Hutan Simpanan Kekal, Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu merupakan hutan simpan tertua di negara ini dengan sebahagian besar Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi batu kapur berusia kira-kira 500 juta tahun.

Gua Kelam merupakan satu daripada gua batu kapur tertua di Malaysia terletak di Kaki Bukit. Gua ini dahulunya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan antara penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit. Sejarah perlombongan di sini dianggarkan berusia kira-kira 100 tahun yang lampau dan Gua Kelam dikatakan merupakan satu-satunya aktiviti perlombongan dalam gua yang dijalankan.

  • Gua Kelam 1

Gua Kelam 1 atau dikenali sebagai Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan laluan di dalam gua melalui jambatan kayu tergantung. Panorama di dalam perut gua ini begitu indah dibantu dengan sorotan lampu berwarna-warni menemani pengunjung sepanjang perjalanan. Gua Kelam 1 boleh dikatakan sebagai ‘bintang’ di Perlis, jika tidak sampai ke sini, umpama anda belum jejakkan kaki di Perlis. Pada hujung minggu, lokasi ini agak meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang gemar melakukan aktiviti perkelahan dan mandi air sungai yang mengalir dari gua ini.

  • Gua Kelam 2

Kini terdapat tarikan terbaru di Gua Kelam 2, orang ramai diberi peluang untuk menyusuri laluan dalam terowong bekas kerja-kerja perlombongan sejauh kira-kira 3.8 meter. Jujur penulis kata kan ini merupakan satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan. Laluan ke dalam Gua Kelam 2 diterangi dengan sedikit cahaya lampu jingga yang malap, namun disepanjang perjalanan masih kelihatan jelas kesan tapak aktiviti pemindahan bijih besi masa lampau. Hampir semua kesan peninggalan aktiviti perlombongan dapat dilihat dalam keadaan baik kerana barangan yang terdapat di situ tidak mengalami proses pereputan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai formasi batuan, stalaktit serta stalagmit dalam bermacam rupa dan bentuk.

  • Stesen Penyelidikan FRIM Perlis

Stesen Penyelidikan FRIM Perlis merupakan pusat penyelidikan perhutanan jati, yang memiliki landskap sesuai menikmati panorama flora hutan dan beriadah. Terletak di Hutan Simpan Mata Ayer, FRIM Canopy Walk sepanjang 100 meter dengan ketinggian 17 meter pada aras laut merupakan tarikan utama pengunjung singgah ke sini. Dari aras ketinggian ini anda boleh menikmati kehijauan semula jadi hutan hujan tropika dan mengenali secara lebih dekat flora hutan. Jika bernasib baik, terdapat juga beberapa haiwan yang bermain-main berhampiran kawasan ini seperti monyet, tupai dan burung.

IKON KUALA PERLIS
  • Masjid Al Hussain

Kuala Perlis dikenali sebagai satu daripada pintu masuk utama ke Pulau Langkawi. Destinasi ini sentiasa sesak dengan kunjungan ramai tidak kira masa. Terdapat sebuah masjid ikonik menjadi ikon Kuala Perlis iaitu Masjid Al Hussaini juga digelar ‘masjid terapung’. Masjid ini tersergam indah dengan pandangan struktur jambatan berukuran 50 meter yang berfungsi menghubungkan masjid utama dibina di atas perairan Selat Melaka. Dibina pada tahun 2006 masjid terapung ini mula beroperasi pada 8 Oktober 2011. Disekeliling masjid ini juga seringkali menjadi ‘port’ menarik untuk orang ramai bergambar sambil melihat view matahari terbenam.

  • Jambatan Tuanku Syed Putra

Jambatan ini adalah jambatan yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Seberang Tuk Pi dan Kampung Seberang Ramai. Pemandangan di atas jambatan ini sangat memukau.

Berhampiran dengan jambatan ini terdapat sebuah premis menjual produk tempatan dan luar. Antara barang yang wajib dibeli seperti belacan Perlis, ikan masin, ikan pekasam, dan kuah rojak dengan harga yang sangat berpatutan.

MAKAN-MAKAN

Di Perlis terdapat banyak destinasi makanan yang menarik menyajikan pelbagai jenis hidangan yang menggamit selera. Bukan sahaja warung dan kafe hipstur yang bercambah di sana sini menyediakan pilihan sajian tradisi juga moden malah restoran besar yang terdapat di sekitar negeri Perlis juga menghidangkan pilihan menu yang aneka rupa dan rasa.

  • Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar

Perlis sendiri tidak ketinggalan untuk mempunyai resepi dan hidangan laksa negeri yang tersendiri. Dari jauh, aroma kuah laksa ikan sudah menusuk ke rongga hidung. Sebaik melangkah ke ruang dalam Restoran Kak Su Laksa Beras Asli & Segar, aromanya terus meningkatkan darjah nafsu yang mula membuak-buak. Fokus semakin terganggu apabila berterusan menghirup wangi aroma kuah laksa dan isinya. Restoran Kak Su Laksa sudah terkenal dan beroperasi di Kuala Perlis sejak tahun 2002 lagi. Istimewanya Laksa di sini dihasilkan dan diproses sendiri dari A ke Z bermula dengan menguli tepung untuk menghasilkan laksa hingga ke kuah.

Ada yang lebih istimewa, hidangan laksa ini dicadangkan untuk dimakan bersama kuih ‘spera’ dan pulut panggan. Terasa aneh pada awalnya, tetapi setelah mencuba pasti anda jatuh cinta!

  • Restoran Asputra Seafood

Kuala Perlis sudah sinonim menjadi pilihan penduduk tempatan sebagai destinasi yang ideal untuk bersantai pada hujung minggu dek keadaan pantai yang nyaman. Selain dikenali sebagai tempat beriadah, ikan bakar dan makanan laut yang segar juga merupakan daya tarikan utama Kuala Perlis. Seperti menu lain, masakan berasaskan makanan laut mempunyai penggemar dan pengikutnya sendiri.

Oleh itu, semakin banyak restoran berkonsep santai yang menghidangkan menu makanan laut dibuka terutama di sekitar ini. Bagi penggemar makanan laut, apa kata mencuba makanan laut di Restoran Asputra Seafood. Yang pasti, segala jenis masakan yang dihidangkan akan membangkitkan selera pengunjung. Soal harga usah dipertikaikan kerana ia sememangnya berbaloi dan berpatutan.

MEMBELI-BELAH
  • Arked Niaga Padang Besar

Padang Besar tidak perlu lagi diperkenalkan, destinasi ‘shopping’ wajib dikunjungi jika sampai Perlis. Dikenali juga sebagai ‘Pekan Siam’ kerana kedudukan geografinya berdekatan sempadan wilayah Selatan Thailand. Arked Niaga Padang Besar sering menjadi tumpuan pada hujung minggu dan musim cuti panjang. Paling menyeronokkan jika anda hebat dalam kuasa tawar-menawar anda bakal menjadi ‘pembeli yang menang’ mendapatkan variasi produk dari negara jiran terutama kraf tangan, makanan, pakaian, aksesori wanita, mainan kanak-kanak, beg, peralatan dapur dan set bilik tidur pada harga berpatutan. Waktu operasi perniagaan di Padang Besar, Perlis adalah sekitar pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.

PENGINAPAN
  • Homestay Felda Mata Air

Percutian ke Perlis, bakal memberikan pengalaman yang berlainan buat anda yang jarang berkunjung di negeri paling Utara Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi dapat menginap di Homestay Felda Mata Air. Tersergam indah, sebuah perkampungan dengan pemandangan gaya tropika yang amat sesuai bagi mereka yang cintakan keindahan alam. Penanaman getah merupakan kegiatan ekonomi sebahagian besar penduduknya yang peramah, murah senyuman serta ‘hemoi’ ini. Lokasinya berhampiran dengan Padang Besar, tetapi dipisahkan oleh bukit-bukit yang menjadikannya lebih tenteram serta dingin.

Pelbagai aktiviti menarik akan disajikan kepada tetamu, antaranya seperti persembahan hiburan, berzanji, pembuatan produk tradisional dan pembuatan ikan serta daging pekasam. Jika datang pada musim mempelam harumanis, tetamu berpeluang untuk merasai kelazatan buah ini yang banyak ditanam di sekitar kawasan Homestay Felda Mata Air. Seperkara lagi yang terpahat di ingatan tetamu ialah layanan tuan rumah serta orang kampung yang terlibat melayan tetamu tak ubah seperti sanak saudara sendiri.

 

PENGANGKUTAN
  • Stesen KTM Arau, Bukit Keteri & Padang Besar

Kereta, bas atau motosikal sering menjadi pengangkutan utama penumpang untuk travel dari satu tempat ke negeri Perlis. Namun, kereta api juga menjadi satu pengangkutan wajib bagi sesetengah daripada mereka kerana dikatakan lebih praktikal. Perjalanan menaiki kereta api sering menjadi pilihan kerana ia pengangkutan darat yang lebih selamat, cepat dan selesa untuk digunakan terutama untuk jarak jauh. Jika anda ingin ke Perlis, dicadangkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus ke stesen Arau, Bukit Keteri atau Padang Besar.

Tatkala menggunakan khidmat kereta api, penumpang bakal menikmati pengalaman yang menarik kerana ‘dihidangkan’ dengan pemandangan indah nan luas menyusuri celah-celah hutan, bukit bukau, sawah padi dan sungai. KTMB juga menyediakan kemudahan tandas, kantin, ruang solat, selain katil di koc kereta api terpilih untuk keselesaaan pengguna.

Jom pakat mai Perlis!

Terima kasih: Tourism Malaysia Wilayah Utara, Tourism Malaysia Perlis, Tourism Malaysia Wilayah Tengah & KTMB

IKLAN