
Bercuti ke negara empat musim, terutamanya ketika musim sejuk atau bersalji, memang menjadi impian ramai rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun.
Namun, cabaran paling utama sebelum terbang adalah mencari pakaian musim sejuk khususnya jaket atau mantel yang bukan sahaja mampu menahan suhu dingin, tetapi juga tidak membebankan bajet percutian.
Memilih jaket musim sejuk tidak boleh dibuat secara mudah. Jika tersalah pilih, percutian anda boleh terganggu akibat kesejukan melampau atau masalah kesihatan.
1. Utamakan Fabrik Penebat Haba yang Betul
Perkara paling asas dalam pemilihan jaket adalah materialnya. Untuk lapisan dalaman, pilih jaket yang diperbuat daripada fabrik seperti wool (bulu biri-biri) atau cashmere kerana ia memerangkap haba dengan sangat baik.
Memandangkan cashmere agak mahal, jaket wool adalah pilihan yang jauh lebih praktikal dan sudah memadai untuk mengelakkan anda daripada memakai terlalu banyak lapisan baju.
BACA JUGA: Nak Bawa Kucing Naik Kapal Terbang? Ini Senarai Airlines Di Malaysia & Syarat Wajib Anda Tahu!
Bagi bahagian luar pula, pastikan ia menggunakan material kalis air atau kapas tebal agar salji dan hujan renyai tidak meresap ke dalam.
2. Pilih Saiz yang ‘Fit’ (Ngam-Ngam) di Badan
Ramai yang tersilap dengan membeli jaket bersaiz terlalu besar kerana menyangka ia lebih selesa. Hakikatnya, jaket yang terlalu longgar meninggalkan banyak ruang kosong di bahagian dalam yang membolehkan udara sejuk berkumpul.
Pilihlah saiz yang fit dengan tubuh anda (tetapi masih memberi ruang untuk lapisan baju di dalam) supaya haba badan kekal terperangkap dengan optimum.
3. Cari Rekaan yang Mempunyai Hood dan Poket Tepi
Perincian kecil pada jaket memainkan peranan besar ketika suhu menjunam. Pilih jaket yang dilengkapi penutup kepala (hood) untuk memberikan perlindungan ekstra pada bahagian leher, telinga dan muka daripada tiupan angin sejuk.
Selain itu, pastikan jaket tersebut mempunyai poket di bahagian tepi kerana ia sangat berguna untuk memanaskan tangan anda dengan cepat ketika berjalan di luar.
4. Pertimbangkan Pemilihan Warna Mengikut Aktiviti
Warna gelap seperti hitam, biru tua (navy blue) atau coklat adalah pilihan paling selamat kerana ia mudah dipadankan dengan pelbagai pakaian serta tidak nampak kotor.
Namun, jika anda merancang untuk melakukan aktiviti lasak seperti bermain ski di kawasan salji tebal, jaket berwarna terang sangat disarankan atas faktor keselamatan agar kelibat anda mudah dilihat dari jauh.
5. Beli Secara Online Lebih Awal (‘Off-Season’)
Elakkan membeli kelengkapan musim sejuk pada saat akhir di butik fizikal kerana harganya selalunya jauh lebih mahal.
Sebaliknya, rancang pembelian anda beberapa bulan lebih awal secara dalam talian (online). Kebiasaannya, banyak penjual menawarkan jualan off-season dengan potongan harga yang sangat berbaloi.
6. Jangan Malu ‘Menyelam’ di Kedai Bundle
Siapa kata bergaya di musim sejuk perlukan modal ribuan ringgit? Jika anda rajin mencari, kedai pakaian terpakai atau bundle sebenarnya lubuk kepada jaket musim sejuk berjenama dan berkualiti tinggi pada harga yang sangat murah.
Kadangkala serendah RM1. Pastikan anda memeriksa keadaan zip, jahitan dan lapisan dalamannya sebelum membeli.
7. Beli Ikut Keperluan, Elak Prinsip ‘Satu Hari Satu Jaket’
Jaket musim sejuk bersaiz tebal dan berat. Jika anda bercuti selama seminggu, membawa dua helai jaket sudah memadai untuk ditukar ganti sepanjang aktiviti harian. Elakkan obsesi mahu memakai jaket berbeza setiap hari semata-mata untuk bergambar kerana ia bukan sahaja membazir wang, malah akan memenuhkan ruang serta menambah berat bagasi anda.
8. Pilih Rekaan Klasik dan Praktikal
Fesyen sentiasa berubah, tetapi jaket musim sejuk adalah pelaburan jangka panjang. Daripada membeli jaket mengikut trend semasa yang mungkin cepat lapuk, lebih baik pilih potongan klasik dan praktikal supaya ia boleh dipakai berulang kali untuk percutian pada masa akan datang. Dengan suai padan aksesori seperti skarf atau topi snow cap, jaket yang ringkas pun mampu kelihatan luar biasa.
Kesimpulannya, dengan perancangan dan pemilihan jaket yang tepat, anda bukan sahaja dapat melindungi tubuh daripada cuaca ekstrem, malah dapat berjimat lebih banyak untuk dibelanjakan pada pengalaman percutian dan makanan tempatan di destinasi impian anda.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!
