
Bila hujung minggu tiba, selalunya kita dah mula fikir nak bawa keluarga berjalan, piknik, berbasikal ataupun melakukan aktiviti outdoor bersama anak-anak.
Namun ketika keadaan udara berjerebu, rancangan hujung minggu mungkin perlu diubah sedikit.
Tak semestinya kena duduk diam sambil masing-masing menghadap telefon. Inilah masanya untuk jadikan ruang tamu sebagai tempat berkumpul, ketawa dan mencipta memori bersama keluarga.
Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan dan seboleh-bolehnya berada di dalam bangunan ketika keadaan berjerebu.
Jadi kalau tak tahu nak buat apa hujung minggu ini, keluarkan permainan yang dah lama tersimpan dalam almari. Ini lima permainan indoor yang boleh buat satu keluarga lupa sekejap tentang aktiviti di luar rumah.
Permainan ini memang antara paling mudah untuk dimainkan bersama keluarga.
Peraturannya tidak terlalu rumit, permainan pula pantas dan sesuai dimainkan bersama anak-anak yang sudah memahami warna serta nombor.
Tapi jangan terkejut kalau keadaan mula kecoh bila seseorang keluarkan kad Draw Four!
Selain menghiburkan, UNO juga boleh mengajar anak supaya lebih fokus, menunggu giliran dan membuat keputusan dengan cepat.
Lebih ramai bermain, lebih meriah suasana.
Nampak macam sekadar tarik blok kayu, tetapi bila menara sudah semakin tinggi, satu keluarga boleh tiba-tiba senyap kerana terlalu fokus.
Jenga sesuai dimainkan bersama kanak-kanak dan orang dewasa kerana ia tidak memerlukan peraturan yang terlalu banyak.
Permainan ini turut menguji kesabaran, koordinasi tangan dan mata serta strategi.
Bahagian paling menyeronokkan tentunya apabila menara akhirnya tumbang dan semua mula menyalahkan orang yang membuat gerakan terakhir.
Kalau ada masa panjang sepanjang petang, bolehlah keluarkan Monopoly.
Berbanding permainan kad yang biasanya cepat selesai, Monopoly boleh mengambil masa lebih lama dan membuatkan semua ahli keluarga benar-benar duduk bersama.
Dalam masa yang sama, ibu bapa boleh menggunakan permainan ini untuk memperkenalkan konsep mudah mengenai wang kepada anak-anak seperti membeli aset, menyimpan wang dan membuat keputusan sebelum berbelanja.
Cuma satu pesanan — jangan sampai bergaduh sebab berebut hartanah!
Tak ada board game di rumah?
Tak mengapa.
Charades antara permainan paling mudah kerana hanya memerlukan beberapa helai kertas dan sedikit kreativiti.
Tulis nama haiwan, filem, pekerjaan, makanan atau watak tertentu pada kertas. Seorang perlu berlakon tanpa bercakap manakala ahli keluarga yang lain cuba meneka.
Nak lagi meriah, bahagikan kepada dua kumpulan dan tetapkan masa untuk setiap pusingan.
Selalunya bukan jawapan betul yang paling menghiburkan, tetapi gaya pelik orang yang cuba memberikan petunjuk.
Kalau keluarga anda suka melukis, cuba pula Pictionary.
Tak pandai melukis pun sebenarnya lagi bagus sebab itulah yang akan membuatkan permainan lebih kelakar.
Seorang ahli keluarga perlu melukis perkataan yang diberikan manakala yang lain cuba meneka apakah objek atau perkara tersebut.
Daripada kucing yang nampak macam dinosaur sampai kereta yang kelihatan seperti kotak, semuanya boleh jadi bahan ketawa satu keluarga.
Paling penting, telefon boleh diketepikan seketika dan semua benar-benar berinteraksi antara satu sama lain.
Perubahan rancangan akibat jerebu memang mungkin mengecewakan, terutama kalau anak-anak sudah teruja mahu keluar berjalan.
Namun hujung minggu yang menyeronokkan tak semestinya memerlukan perjalanan jauh.
Kadang-kadang meja makan, beberapa keping kad dan seluruh keluarga yang berkumpul sudah cukup untuk mencipta memori.
Siapa tahu, aktiviti bermain bersama seperti ini akhirnya menjadi tradisi hujung minggu yang anak-anak akan ingat apabila mereka dewasa nanti.
Dalam keseronokan menghabiskan masa di rumah, keadaan jerebu tetap perlu diberi perhatian.
Sentiasa semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)
di kawasan masing-masing. Sebagai panduan, bacaan IPU 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.KKM turut menyarankan supaya aktiviti fizikal di luar bangunan dikurangkan. Jika terpaksa keluar ketika keadaan berjerebu, pendekkan tempoh berada di luar dan gunakan pelitup muka yang sesuai.
Pastikan tingkap rumah ditutup jika keadaan di luar berjerebu, kurangkan sumber pencemaran udara di dalam rumah seperti asap rokok dan gunakan mod kitaran udara dalaman jika memandu menggunakan penghawa dingin.
Jangan lupa minum air secukupnya serta membersihkan tangan dan muka selepas melakukan aktiviti di luar. Kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit jantung juga perlu diberikan perhatian lebih kerana mereka lebih mudah terjejas akibat jerebu.
Jika mengalami gejala seperti batuk yang semakin teruk, sesak nafas, sakit dada atau mata yang terlalu pedih, dapatkan nasihat serta rawatan perubatan.
Hujung minggu tetap boleh jadi menyeronokkan. Cuma kali ini, biarkan keseronokan itu berlangsung di dalam rumah bersama orang tersayang.