
Bagi peminat sukan permotoran, Litar Antarabangsa Sepang bukanlah lokasi asing. Setiap kali berlangsung acara perlumbaan besar, kawasan ini dibanjiri pengunjung tempatan dan luar negara yang mahu merasai sendiri kemeriahan di salah sebuah litar paling ikonik di rantau ini.
Namun, ada satu perkara menarik yang mungkin tidak disedari ramai. Apabila dilihat dari pandangan udara, susun atur Litar Sepang dikatakan kelihatan seakan-akan bentuk bunga raya, iaitu bunga kebangsaan Malaysia.
Walaupun tiada kenyataan rasmi yang mengesahkan litar ini sengaja direka menyerupai bunga raya, persamaan tersebut tetap menjadi satu pemerhatian unik yang menarik perhatian.
Litar Antarabangsa Sepang direka oleh arkitek terkenal dari Jerman, Hermann Tilke dan dibuka secara rasmi pada 9 Mac 1999.
Dibina di atas kawasan bekas ladang kelapa sawit seluas kira-kira 260 hektar, kompleks ini turut menggunakan konsep “stadium semula jadi” dengan ribuan pokok palma ditanam di sekeliling kawasan.
Litar utamanya mempunyai panjang kira-kira 5.54 kilometer dengan 15 selekoh dan lapan laluan lurus. Reka bentuk trek yang lebar serta gabungan selekoh perlahan dan berkelajuan tinggi memberi banyak peluang kepada pelumba untuk melakukan aksi memotong.
Dua laluan lurus panjang yang dipisahkan oleh grandstand utama pula menjadi antara ciri paling mudah dikenali di litar ini.
Satu lagi fakta menarik, kompleks Litar Sepang dilaporkan siap dibina dalam tempoh hanya sekitar 14 bulan.
Selepas dibuka pada 1999, litar ini menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara antarabangsa termasuk Formula 1 dan Grand Prix Motosikal Malaysia.
Pembinaannya juga pernah dianggap menetapkan penanda aras baharu bagi litar perlumbaan moden pada ketika itu.
BACA LAGI: Ekues Cabin Cafe Putrajaya, Port Lepak Unik Boleh Makan Sambil Tengok Kuda
Litar Sepang bukan hanya boleh dikunjungi ketika berlangsungnya MotoGP atau acara perlumbaan besar.
SIC turut menawarkan lawatan berpandu yang membawa pengunjung meneroka beberapa lokasi penting di sebalik tabir seperti Main Grandstand, Feature Wall dan Hibiscus Tower.
Selain itu, pelbagai acara seperti perlumbaan kereta, kejohanan superbike, track day serta program komuniti automotif turut diadakan dari semasa ke semasa. Pengunjung disarankan menyemak jadual rasmi terlebih dahulu sebelum datang.
Lokasinya yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menjadikan Litar Sepang mudah dikunjungi oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pengunjung juga boleh menggabungkan lawatan ke litar dengan singgah membeli-belah di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang atau menikmati hidangan sekitar kawasan Sepang dan KLIA.
Daripada susun aturnya yang dikatakan seakan bunga raya hinggalah kepada sejarahnya sebagai pentas perlumbaan bertaraf dunia, Litar Antarabangsa Sepang bukan sekadar lokasi automotif. Ia juga merupakan salah satu simbol pelancongan sukan dan kebanggaan Malaysia yang wajar dikunjungi sekurang-kurangnya sekali.