Akhirnya rancangan untuk pergi mengembara bersama-sama dua lagi rakan, Umie Syazwani dan Wan Afifah menjadi kenyataan apabila kami selamat sampai di negara bersejarah, Kemboja pada 28 Mac 2018. Percutian yang sudah dirancang setahun yang lepas ini merupakan percutian 4 hari 3 malam dan sebagai backpackers, sudah tentu kami akan memilih tiket penerbangan dengan harga yang lebih murah. Seperti biasa, kami memilih penerbangan Air Asia dengan harga tiket promosi hanya RM155 untuk perjalanan pergi dan balik.
Ingin mengenali serta mempelajari adat dan budaya negara luar, Kemboja dipilih sebagai destinasi percutian kali ini kerana ianya terkenal dengan bangunan bersejarah yang berusia mencecah ribuan tahun. Lebih menarik, para pelancong dapat melihat sendiri keindahan senibina yang sangat unik hasil titik peluh masyarakat zaman dahulu.
Untuk memastikan percutian ini berjalan dengan teratur dan lancar, sudah pasti kami membuat sedikit kajian dari segi pengangkutan, penginapan, makanan serta tempat-tempat menarik dalam menghasilkan jadual perjalanan atau itinerary.
Kemudahan Penginapan Dan Pengangkutan
Kami memilih Onederz Hostel sebagai tempat penginapan sepanjang 4 hari 3 malam ini dimana ianya sangat disyorkan terutamanya kepada backpackers. Hostel yang selesa dengan harga 28.5 USD seorang untuk 3 malam. Manakala, dari segi pengangkutan pula sudah pasti kami memilih tuk-tuk dengan bayaran 15 USD seorang sepanjang berada di sana.
Silk Farm
Penerbangan mengambil masa lebih kurang dua jam. Alhamdulillah kami selamat tiba di Siem Reap International Airport dan pemandu tuk-tuk terus membawa kami ke Silk Farm. Di sini kami memperoleh pengalaman baru apabila dapat melihat sendiri kreativiti masyarakat di sana dalam menghasilkan kain sutera dengan proses-proses yang sangat terperinci.
Maka, tidak hairanlah kain sutera dijual dengan harga yang tinggi sesuai dengan cara pembuatannya yang rumit, daripada ulat yang diternak menjadi kepompong, melalui beberapa lagi proses sehingga terhasilnya sutera.
Cambodian Cultural Village
Ads
Seterusnya kami mengunjungi Cambodian Cultural Village yang merupakan sebuah taman tema serta muzium pelbagai etnik di negara Kemboja. Bercerita sedikit tentang sejarahnya, ia sebenarnya mula dibina pada tahun 2001 dan dibuka secara rasmi pada September 2003. Terdapat tujuh kawasan yang mewakili 19 kumpulan etnik di sini. Persembahan atau pertunjukkan yang diadakan termasuklah tarian apsara, perkahwinan tradisional, akrobat, permainan rakyat dan bermacam-macam lagi. Harga tiket masuk pula berharga 15 USD setiap seorang.
Angkor Wat
Pada hari yang kedua, kami pergi ke salah satu tempat menarik yang menjadi tarikan utama pelancongan di Kemboja iaitu Angkor Wat. Dengan tiket berharga 37 USD seorang, setiap pengunjung dibenarkan melawat pelbagai kuil di sekitar kawasan tersebut. Angkor Wat yang bermaksud “Kuil Kota” merupakan kuil yang paling indah dan terbesar antara kuil-kuil Angkor. Keseimbangan kuil ini bersama komposisinya serta kecantikkannya menjadi ia salah satu monument terbaik di dunia. Kami pun sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar-gambar menarik!
Bayon Temple
Kami juga tidak ketinggalan melawati kuil Bayon yang dikenali sebagai sebahagian daripada destinasi terkenal dunia Angkor dengan menampilkan pencirian satu lautan besar berwajah yang melebihi 200 buah dan memandang dalam semua arah. Melihat kedatangan pelancong lain di sini menunjukkan bahawa ramai yang ingin lebih mengenali sejarah serta asal usul bangunan lama ini. Siapa kata tempat bersejarah ini bosan? Banyak sebenarnya perkara baru yang boleh kita pelajari.
Ads
Ta Phrom
Ini juga adalah kuil yang wajib dikunjungi apabila berada di Kemboja. Lokasi ini terkenal kerana pernah menjadi tempat pembikinan filem Hollywoood, Tomb Rider. Dengan usianya menghampiri 1000 tahun, ia adalah binaan yang sangat berharmoni dengan hutan. Batang dan akar pokok hutan pula saling menyokong binaan yang hampir runtuh dan kami dapat merasakan suasana di dalam kuil Ta Phrom agak dingin. Apa yang lebih menarik di sini adalah terdapat 3 spesies pokok tumbuh membesar yang berusia beratus tahun lamanya. Terpegun kami dibuatnya.
Phrase Cambodia Circus
Ini lah salah satu pengalaman yang menyeronokkan iaitu di Phrase Cambodia Circus. Apa yang terlintas di fikiran kami setelah mendengar nama lokasi ini ialah pertunjukan haiwan, tetapi sebenarnnya ia adalah sebuah persembahan lebih kurang seperti teater yang menggunakan aksi circus. Dikenakan bayaran tiket berharga 18usd, kami merasakan ianya sangat berbaloi.
Lotus Farm
Setelah puas mengelilingi kawasan kuil bersejarah, kami singgah di Lotus Farm pada hari ketiga pula. Tiada bayaran dikenakan, Lotus Farm merupakan satu ladang bunga teratai yang agak luas, dan ianya sesuai untuk dijadikan tempat fotografi dengan pemandangan yang tenang dan cantik.
Ads
Satu pengalaman baru apabila pemandu tuk-tuk kami mengajar cara-cara untuk memakan biji teratai atau lotus seeds. Agak pelik pada mulanya, tetapi sememangnya rasanya seperti kekacang. Sebenarnya memang ramai masyarakat di sana yang menjual biji teratai ini, bermakna ia boleh dimakan terus begitu sahaja. Pelik kan tetapi benar!
Night Market (Angkor Night Market- Pub Street- Old Market)
Masa untuk membeli ole-ole! Kami singgah di kawasan sekitar Angkor Night Market dengan tujuan mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Suasana di situ agak meriah dengan berkonsepkan kehidupan ala-ala Barat. Dari segi pemakanan di Night Market pula, ianya agak meragukan dan kami hanya membeli Ice Blended buah-buahan dengan harga USD1 serta ais krim gulung yang merupakan salah satu menu popular di sana.
Selain itu, Night Market juga menjadi lokasi tumpuan kerana para pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan urutan dengan harga yang sangat rendah seperti 7 USD untuk urutan seluruh badan manakala 2 USD untuk urutan tapak kaki. Murah kan?
Kemudahan Makanan
Salah satu cabaran apabila mengembara ke negara Kemboja ini adalah agak susah bagi Muslim untuk mencari makanan Halal di sana. Bagi mereka yang mempunyai rancangan ingin meneroka negara Kemboja, kami sarankan anda untuk pergi Restoran The Siem Reap Backpackers dimana ia menyediakan semua hidangan Halal.
Selesai semua aktiviti, kami pulang pada hari keempat dengan membawa banyak kenangan manis serta pengetahuan baru terutamanya tentang sejarah dan budaya masyarakat di sana. Sememangnya pengalaman ini akan kami kenang selamanya. Terima kasih rakan-rakan backpackersdan terima kasih Kemboja! Semoga kita jumpa lagi pada masa akan datang.
Sepanjang cuti perayaan, bagi individu yang berasal dari negeri yang jauh pasti terkesan kerana perlu bersabar menempuh kesesakan jalan raya. Jika memilih untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan domestik pula ketika musim perayaan, tiket sering habis dalam tempoh yang singkat.
Kini ada satu cara untuk anda pulang ke kampung halaman untuk berhari raya dengan pantas dan mudah iaitu memilih menyewa helikopter.
Menurut laporan portal berita Sinar Harian, sekurang-kurangnya 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, ‘Balik Raya Elak Jem’ di musim perayaan Aidilfitri ini. Perkhidmatan menyewa helikopter untuk balik kampung merupakan kali pertama diperkenalkan oleh syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group.
Menurut pemilik syarikat berkenaan, Hazmi Hanipa, 31, sebelum ini perkhidmatan menyewa helikopter dan jet peribadi sudah diperkenalkan mereka sejak tiga tahun lalu. Kebiasaannya perkhidmatan berkenaan menjadi pilihan ahli perniagaan.
Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, syarikat ini mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Untuk Kelantan sahaja,mereka sudah ada empat penerbangan setakat ini. Syarikat ini menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang. Dengan menaiki helikopter, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa hanya tiga jam.
Hazmi berkata, penerbangan pertama akan bermula pada 3 Jun ini dan harga sewa penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala. Untuk penerbangan enam penumpang, harga sewanya mencecah RM17,000 untuk satu jam.
Syarikatnya menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja. Dia yang juga merupakan anak jati Gua Musang, Kelantan tidak pernah menyangka perkhidmatan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam kalangan ahli perniagaan.
Kalau anda mampu apa salahnya balik kampung naik helikopter kan?
Rawang Bypass antara projek lebuhraya hebat dan komplikated di Malaysia. Di antara laluan projek ini, pengguna akan berada separas puncak pokok atau lebih tinggi bergantung pada kawasan. Selain itu, kenderaan juga akan melalui bawah talian kabel pencawang elektrik.
Jambatan ini juga akan membelah awan di waktu pagi terutamanya selepas hujan yang akan memberikan pengalaman menarik bagi pengguna. Pemandangan sewaktu berada di atas lebuh raya paling tinggi Malaysia ini cukup memukau.
Laluan ini mula digunakan pada 30 November 2017 dan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memendekkan masa perjalanan pengguna dari Serendah ke Selayang, terutamanya pada waktu puncak. Jika sebelum ini pengguna mengambil masa sehingga dua jam pada waktu puncak, kini mereka hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi sama.
Trivia Rawang Bypass
Projek Rawang Bypass antara Serendah ke Rawang sepanjang 23km ini direka arkitek tempatan; Tuan Haji Radzali Mokhtar.
Laluan ini penting dan memendek waktu perjalanan di waktu puncak ke KL dari 2 jam kepada 30 minit sahaja. Ia juga bakal menaik pembangunan di Serendah, Batang Kali dan Tanjung Malim.
Keunikan Jalan Pintas Rawang ini ialah pembinaan struktur tiang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.
Laluan ini merentasi Taman Warisan Selangor, yang padat dengan hutan. Ia unik kerana tiang dibina tidak lurus bagi meminimakan impak kerosakan terhadap ekosistem Taman Warisan Negeri Selangor. Ia juga bagi memastikan kawasan rezab hutan kekal terpelihara terutamanya spesies haiwan hutan yang kian pupus
Rawang Bypass juga dibina sedemikian rupa bagi memelihara sejenis pokok endemik iaitu pokok yang hanya ditemukan di satu kawasan sahaja yang dikenali sebagai Giam kanching. Hutan Simpan Kanching, Rawang menjadi satu-satunya lokasi pokok tersebut boleh hidup dan dijumpai di dunia.
JALAN PINTAS RAWANG (RAWANG BYPASS)Rakaman drone dan fakta menarik Rawang ByPass. Story penuh http://www.libur.com.my/rawangbypass/📹 Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )#libur #rawangbypass
Pembinaan Rawang Bypass di Bandar Rawang sebenarnya tertunda 2,132 hari; hampir enam tahun atas sebab posedur kerja dan proses pihak ketiga yang diluar kuasa Jabatan Kerja Raya.
Projek ini diluluskan di bawah Plan Malaysia ke-9 (RMK9) bertujuan mengurang kesesakan teruk di Bandar Rawang dan memajukan lagi sistem jalan ke Kuala Lumpur. Projek ini melibatkan penambahbaikan 10.72km jalan sedia ada dan pembinaan empat lorong dua hala untuk 12.58km bermula 16 Julai 2005 dan dijangka siap 12 Januari 2008 dengan kos anggaran RM203.47 juta.
Namun beberapa perjanjian tambahan dimetrai termasuklah peruntukan khas bagi kos kerja:
Kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik
Pembinaan jalan alternatif sepanjang 3.3km melalui Taman Warisan Negeri Selangor
Penambahbaikan 1.57km lebuhraya persekutuan
Memanjangkan projek dari 15 Disember 2011 hingga 17 April 2015 dengan kos tambahan RM390 juta
Apabila audit dilakukan pada Oktober dan Disember 2016, mereka mengesahkan projek ini diurus baik, dan lanjutan masa 2,132 hari dibenarkan dengan tarikh siap dijangka pada 16 Mac 2017.
Sebagai tambahan, repot juga menunjukkan perubahan reka bentuk di laluan bertindih antara struktur tinggi dengan Lebuh Raya Latar yang melibatkan kos tambahan RM34.2 juta.
Satu-satunya hutan simpan kekal yang masih ada di tengah bandaraya Kuala Lumpur terletak di Taman Eco Rimba Kuala Lumpur di kawasan Bukit Nanas. Hutan berkenaan adalah satu-satunya hutan asli berstatus hutan dara yang masih wujud diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negara.
Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas sudah berusia 113 tahun berdasarkan tarikh pewartaannya sejak 1906. Ketika itu, ia berkeluasan 17 hektar, tetapi kini hanya berbaki 9.37 hektar. Dahulu dikenali sebagai Bukit Weld atau Bukit Gombak dan sangat popular dalam kalangan pengunjung kerana kedudukannnya di tengah bandar. Selain itu kawasan ini juga dikelilingi dengan deretan hotel ternama serta pusat membeli-belah.
Kini di puncak bukit ini tersergam indah Menara Kuala Lumpur yang satu ketika dahulu merupakan tapak bekas istana Raja Mahdi Raja Sulaiman, Pentadbir Klang yang menentang campur tangan British di Kuala Lumpur.
Kereta Kabel Bukit Nanas
Selain itu, pada suatu masa ketika dahulu lokasi ini pernah dibangunkan perkhidmatan Kereta Kabel Bukit Nanas yang memberi peluang pengunjung untuk menikmati alam sambil bersiar-siar. Namun tarikan aktiviti dan perkhidmatan kereta kabel ini telah ditamatkan sekitar tahun 1980an.
Terowong Rahsia Di Bukit Nanas
Jangan tidak tahu, terdapat sebuah terowong rahsia dijumpai disekitar kawasan ini. Terowong itu ditemukan secara tidak sengaja semasa kerja-kerja baik pulih cerun runtuh oleh kontraktor pada Mei 2013 lalu. Penemuan ini juga mengukuhkan lagi beberapa cerita dan bualan mulut orang terdahulu tentang peperangan di puncak bukit itu selain wujudnya istana lama pernah dihuni oleh raja-raja Melayu. Terowong itu dipercayai dibina oleh kudrat manusia yang menghuni Bukit Nenas sekitar 150 tahun dahulu dengan menggunakan alat tajam untuk mengorek lubang menjadi sebuah terowong. Hasil penemuan mendapati terowong itu dijadikan pintu belakang untuk keluar masuk menuju ke Sungai Klang dan lombong bijih timah di kawasan sekitar tersebut.
Jambatan Gantung Titian Silara
Hari ini kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas mempunyai pelbagai tarikan lain iaitu Titian Silara atau canopy walk yang siap dibina pada 2014. Canopy walk sepanjang 200 meter dengan ketinggian 18 meter dari tanah itu mempunyai keunikan tersendiri.
Mungkin anda tidak sempat untuk merasai ‘perkhidmatan kereta kabel’, namun dengan adanya jambatan gantung ini, pengunjung masih boleh menikmati pemandangan cantik Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas dari atas. Paling penting canopy walk ini sangat mesra orang kurang upaya (OKU) terutama kepada pengguna kerusi roda.
‘Hiking’ Tengah Kota
Daripada titian terus berjalan masuk ke dalam denai hutan yang seterusnya menghubungkan laluan ke Menara Kuala Lumpur. Denai Penarahan, Denai Merawan, Denai jelutung, Denai Suboh dan Bamboo antara laluan siar kaki yang menawarkan pelbagai tarikan tersendiri. Kemudahan kerusi dan pondok rehat turut disediakan bagi memudahkan pengunjung melepaskan lelah seketika selepas melakukan penjelajahan di hutan ini.
Galeri Pusat Maklumat Perhutanan
Selain itu turut disediakan Galeri Pusat Maklumat Perhutanan menyediakan maklumat yang membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai Hutan Simpan Kekal Bukit Nanas. Pelbagai maklumat mengenai hutan ada di sini serta dilengkapi mini teater untuk tayangan video atau taklimat.
Bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi tanpa perlu keluar jauh dari bandar raya Kuala Lumpur, Taman Eko Rimba KL destinasi tepat buat anda. Waktu Operasi dari 8 pagi hingga 5 petang dibuka tujuh hari seminggu.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...