Dahulu Pulau Serai (nama asal Gunung Jerai) terkenal sebagai penanda arah buat pelayar-pelayar yang singgah berdagang di negeri Kedah. Tetapi kini ia lebih sinonim sebagai salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi itu.
Nama ‘Jerai’ mungkin berasal dari perkataan Chera, iaitu Kerajaan India Selatan yang ketiga. Ia telah berubah kepada Serai dan kemudiannya Jerai. Terdapat peninggalan dari zaman purba di Lembah Bujang, yang berada di kaki Gunung Jerai. Kawasan Lembah Bujang mengandungi tapak arkeologi yang paling kaya dengan peninggalan purba di Malaysia.
Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak. Jika tidak berkemampuan, anda tidak perlu mendaki kerana jalan menuju ke puncak itu boleh dilalui menggunakan kenderaan.
Gunung ini memiliki ketinggian 1,217 meter dari paras laut dan terletak di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan itu sentiasa mendapat kunjungan daripada para pengembara dan pencinta alam yang ingin menerokainya tidak kira pada hari biasa atau cuti umum.
IKLAN
Gunung tertinggi di Kedah itu juga menyediakan kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni. Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau.
IKLAN
Pengunjung juga boleh bermalam di puncah Gunung Jerai kerana terdapat kemudahan resort disediakan. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.
IKLAN
Tempat Menarik
Agaricles Biotech Organic Farm
Hutan Lipur Sungai Teroi
Masjid Gunung Jerai
Muzium Perhutanan Gunung Jerai
Telaga Tok Sheikh
Mitos
Keagungan sejarah Gunung Jerai dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung dan legenda batu kapal kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa. Saudagar pada zaman purba menganggap Gunung Jerai sebagai kemuncak yang suci. Kerja cari gali arkeologi telah menemui tapak yang dipercayai ‘Kuil Kolam Air Sembilan’ yang kononnya tempat bersiram Raja Bersiong.
Siapa Raja Bersiong? Pada zaman dahulu, Negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Malahan terdapat juga yang berketurunan Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong. Pada masa pemerintahannya, Raja Bersiong sangat zalim. Rakyat Kedah sentiasa dalam ketakutan. Tiada siapa berani membuat kekacauan, kerana apabila ditangkap mereka akan diseksa atau terus dibunuh oleh para pengawal atau panglima Raja Bersiong.
Apabila pergi ke zoo, kita pasti terbayang bagaimana binatang bergaul sesama sendiri seperti mana di habitat asal mereka.
Penulis beranggapan bahawa ‘ini mesti tengok haiwan, kenal spesis, tiada apa yang menarik’, tetapi sebaik sahaja melangkahkan kaki ke Singapore Zoo, tanggapan penulis adalah terhad bahkan ia diperluaskan lagi.
Penulis amat kagum dengan pengurusan zoo ini yang berjaya menukar tanggapan asal dengan membawa kami wakil media daripada Malaysia.
Pada hari pertama penulis dibawa bersarapan bersama sekumpulan spesis Orang Utan. Ia belum pernah dilakukan mana-mana zoo, iaitu sambil menikmati sarapan, anda boleh berkenalan dengan mereka melalui penjaga kepada Orang Utan tersebut.
Haiwan Banyak Membantu Manusia
Gambar di habitat asal
Tanpa kita sedari, tangan manusia lebih banyak membunuh haiwan daripada haiwan itu sendiri yang banyak membantu manusia. Ia dapat dilihat selepas penulis dibawa ke Jurong Birdpark. Kami para media diperkenalkan dengan spesis Burung American Vulture. Burung ini terkenal dengan jolokan ‘Scavenger’ atau pemakan bangkai, tetapi tahukah anda burung seperti ini sudah banyak menyelamatkan jutaan umat manusia kerana sifat mereka yang memakan bangkai sebenarnya membersihkan bumi daripada kekotoran. Di Malaysia spesis ini tidak ada, tetapi kalau kita lihat burung Gagak, ingatlah bahawa mereka membantu membersihkan alam sekitar.
Burung Enggang Melawan Kanser
Penulis amat kagum dengan kejayaan Pasukan Perubatan Veterinar Wildlife Reserves Singapore yang berjaya membantu Burung Enggang spesis Great Pied Hornbill bernama Jary melawan kanser yang menyerang paruhnya. Spesis ini menurut Senarai Merah International Union For Conservation of Nature (IUCN) ia tergolong dalam haiwan yang ‘Diancam Kepupusan’ atau Nearly Threathened. Masa yang sama spesis ini boleh hidup selama 40 tahun. Jary juga dikenali sebagai burung yang menggunakan paruh yang dihasilkan melalui teknik cetakan 3D.
4 Spesis Burung Kakak Tua Yang Sudah Pupus Di Habitat Asal
Tahukah anda terdapat 4 spesis Burung Kakak Tua kini sudah pupus di hutan belantara & jumlahnya yang sedikit kini di bawah jagaan manusia serta konservasi. Mereka adalah spesis Spix Macaw, Lear Macaw, Glaucuous Macaw & Hyacinth Macaw. Faktor utama kepupusan adalah disebabkan penjualan haram diantara pemburu & pembeli yang ingin membelanya secara haram serta tanpa penjagaan yang betul.
Gabungan Teknologi Laser & Alam Semulajadi
Seumur hidup penulis, tidak pernah lagi tahu bahawa ada zoo yang membuat tarikan kepada pengunjung melalui teknologi laser. Di Singapore Zoo anda akan terpesona dengan pencahayaan sinar lampu laser yang menghiasi sepanjang 1KM perjalanan di dalamnya. Gambar di bawah memaparkan sedikit keindahan di dalamnya.
Anda dah bosan nak makan dekat rumah atau malas lagi nak ke bazar Ramadan mencari juadah berbuka puasa? Jom sekali sekala makan di restoran yang menyediakan juadah berbuka puasa terbaik kepada anda.
Suasana berbuka puasa di sini lain berbanding anda berbuka puasa di rumah atau di tempat-tempat lain. Lokasi yang dicadangkan oleh Libur ini lebih selesa untuk anda keluarga bersama keluarga beramai-ramai untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim di masa bulan puasa ini.
Jadi, kita jangan tunggu lagi, ini senarai lokasi bufet berbuka puasa untuk anda:
Hotel Sri Petaling
Hotel Sri Petaling memperkenalkan bufet Ramadan bertemakan #throwbackramadan yang membuatkan anda mengimbau masa berbuka puasa sewaktu anda kecil-kecil dahulu bersama hidangan tradisional. Bufet yang bermula dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam ini berharga RM79 untuk dewasa dan RM39 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun. Pelanggan boleh menikmati 80 jenis juadah berbuka puasa dengan pelbagai aneka pilihan masakan seperti masakan Melayu tradisional, timur tengah, asia dan sebagainya. Antara juadah yang istimewa adalah ayam percik Kelantan, ketam goreng berempah, ayam opor Pahang, ikan patin tempoyak Pahang, dan gulai kawah.
Hotel Royale Chulan KL
Pelbagai hidangan dan variasi citarasa tempatan yang dihidangkan disamping tema Citarasa Nusantara yang dibawa oleh Mahsuri Courtyard, Hotel Royale Chulan KL ini pasti akan menepati selera anda untuk berbuka puasa. Juadah pilihan chef di sini adalah bubur lambuk Royale dan pilihan shell out seperti kambing golek, lontong samudera, cendol durian, som tam dan pelbagai makanan laut yang lain. Bagi anda yang mahu suasana asli kemeriahan berbuka gaya Malaysia, bufet Ramadan ini juga menyediakan deretan hudangan autentik Melayu, India dan Cina seperti nasi ayam, sate dan pencuci mulut. Harga bufet Ramadan di sini adalah RM150 untuk dewasa, RM100 untuk warga emas dan, RM75 untuk kanak-kanak 6 hingga 12 tahun.
Hilton Garden Inn
Hilton Garden Inn, Puchong mengalu-alukan anda untuk mencuba sajian berbuka puasa istimewa yang disediakan di hotel mereka. Hidangan yang sedap disamping suasana persekitaran yang nyaman memberikan pengalaman terbaik untuk anda berbuka puasa bersama rakan taulan dan keluarga dalam keadaan penuh kemesraan. Hidangan popular yang disediakan untuk anda adalah nasi minyak badam, lauk asam pedas, kari ikan tenggiri dan ayam masak merah. Selain daripada itu, juadah seperti sup kambing, kacang pool dan roti bakar turut disajikan kepada anda. Dengan harga sebanyak RM80 seorang, pastinya bufet Ramadan di sini akan memberikan pulangan yang berbaloi kepada anda.
Hotel Summit USJ
200 menu berbuka puasa dihamparkan kepada anda sebaik sahaja melangkah masuk ke Hotel Summit USJ! Selain daripada hidangannya yang ‘meriah’, kelazatan masakannya pasti akan membuatkan anda terkenang masakan mak saat berbuka puasa di kampung satu masa dahulu. Menu yang menjadi pertaruhan di sini adalah kambing panggang, satay raja alang, briyani kasih bonda, sup gear box, mee jawa dan asam laksa. Lokasi berbuka puasa di hotel ini mempunyai dua tingkat ruang lantai untuk anda mengambil makanan diselingi dengan irama lagu ghazal yang dimainkan secara langsung sebagai pemecah kesunyian. Anda yang ingin menikmati juadah berbuka puasa di sini, harga bermula RM88 untuk dewasa, RM40 untuk kanak-kanak.
Suites On The Park, Perdana Hotel PNB
Perdana Hotel PNB menampilkan kelainan yang berbeza berbanding tempat-tempat lain apabila mereka membawakan kemeriahan bazar Ramadan kepada anda yang ingin berbuka puasa di sini. Tema Bazar Perdana mengubah Restoran 10 Binjai menjadi meriah berbanding santai seperti kebiasaannya. Dengan variasi 188 hidangan berbuka puasa, antara menu pilihan adalah sup berempah binjai, kambing golek, apam balik, satay, aiskrim goyang, ais batu campur dan murtabak cheese. Selain daripada menu pilihan terbaik disediakan untuk anda, anda juga dihamparkan dengan pemandangan ibukota Kuala Lumpur sambil dihiburkan dengan muzik. Harga bermula daripada RM98 untuk hidangan bufet di Restoran 10 manakala RM135 di Restoran 39.
Dorsett Grand Subang
Dorsett Grand Subang memang tidak menghampakan dalam penyediaan makanan kepada pengunjung yang hadir ke hotel mereka. Keenakkan menu berbuka puasa di sini tidak dinafikan disamping tema berbuka puasa yang menghimpunkan makanan-makanan popular dari 13 negeri seluruh Malaysia juga memberikan sentihan ‘anak jati’ kepada konsep bufet Ramadan di sini. Menu popular yang dihidangkan adalah briyani gam Johor, mangga muda Penang, sotong goreng berlada Negeri Sembilan, gulai tempoyak patin Pahang, sotong sumbat Terengganu, gulai kawah Kelantan, ikan bakar Kuala Perlis, tetel asam pedas Melaka, lemak pisang muda Selangor, sup tulang gear box dan kambing golek berempah. Harga di sini adalah sebanyak RM165 untuk Terraza Brasserie dan Rm155 untuk Melati Room.
Laman Kayangan Shah Alam
Anda yang berada di Shah Alam, Selangor boleh singgah ke Laman Kayangan di Seksyen 7 untuk menikmati juadah berbuka puasa gabungan dua negara iaitu Utara Malaysia dan Selatan Thailand. Sebanyak 80 hidangan disajikan kepada anda untuk dinikmati terdiri daripada kambing golek dua kuah, Thaiyani chicken, Pattani grilled beef dan laksa ikan sekoq disamping ikan bakar air asam. Selain daripada itu, menu masakan Utara Malaysia yang disediakan adalah daging masak tauchu, daging kari kentang, ikan masak asam kunyit dan sambal ikan rebus. Harga yang ditawarkan di Laman Kayangan ini berbaloi dengan sebanyak RM98 untuk dewasa.
Best Western i-City
Satu lagi lokasi bufet Ramadan yang terbaik di Shah Alam iaitu Best Western i-City Shah Alam yang menyediakan 160 sajian berbuka puasa kepada anda di bulan Ramadan ini. Bertempat di The View Cafe, variasi juadah terdiri daripada pembuka selera, lauk pauk, pencuci mulut, sup dan gerai yang memasak makanan secara langsung kepada anda untuk menjamin kesegaran makanan tersebut. Paling istimewa di sini adalah anda dapat menikmati kelaatan raja buah iaitu durian kampung yang disediakan di dalam pakej bufet Ramadan di sini. Antara menu makanan yang menjadi pilihan chef di sini adalah sup kambing berampah, soto madura, rojak campur, okonomiyaki teppanyaki, ayam panggang dan pelbagai lagi. Selain daripada itu, kepada anda yang berbuka puasa di Best Western i-City ini juga berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah setiap hari yang berupa baucer Hi Tea, diskaun bilik dan penginapan dan hadiah menarik yang lain. Harga bufet ramadan di sini bermula dengan harga RM119 untuk dewasa manakala kanak-kanak dan warga emas sebanyak RM69.
Berjaya Times Square Hotel
Di bulan Ramadan ini, Berjaya Times Square Hotel menyediakan majlis berbuka puasa berkonsepkan hidangan bonda kepada tetamu yang datang ke hotel ini. Pelbagai menu terpilih dipertaruhkan untuk santapan tetamu seperti nasi kerabu, paru-paru berlada, pedal hati ayam masa cili, dan juga menu makanan antarabangsa sperti Thai green curry duck, dawood basha, Indian style chicken masala dan salmon fillet. Makanan tradisional lainnya adalah kari kepada ikan citarasa bonda, lempeng pisang kelapa bidara, pisang goreng keju makmur, aneka sup sarantau, rendang daging khatulistiwa dan nasi lemak lobster. Bufet ramadan di sini bermula dari harga RM128 untuk dewasa manakala kanak-kanak adalah sebanyak RM58.
Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur
Menawarkan harga bufet Ramadan menarik dari serendah RM35 untuk bersahur, dan untuk berbuka RM39 (kanak-kanak), RM50 (warga emas) dan RM99 (dewasa) dengan tema ‘Selera Kampungku. Bertempat di Restoran Suasana@27, pengunjung berpeluang menikmati juadah berlatar belakangkan bangunan ikonik di Kuala Lumpur. Untuk bufet Ramadan berbuka puasa hidangan ala kampung di Malaysia seperti kambing bakar, patin asam tempoyak, bubur lambuk, ayam sambal petai, ikan bakar dan cencaru sumbat pasti membuka selera.Terdapat 11 gerai ditempatkan dengan hidangan istimewa seperti sate daging dan ayam, nasi biryani, mee goreng mamak, aglio olio, laksa Penang serta mee kari Nyonya.
Tidak ketinggalan, hidangan daging salai gulai lemak yang menjadi hidangan tengahari dan malam pada hari biasa turut disediakan. Bagi peminat masakan Cina, gerai China Town menawarkan yong tau foo dan lok-lok bersama sos pedas-manis yang pastinya menyelerakan pengunjung. Tamu Hotel & Suites turut menawarkan pakej Penginapan Ramadan dengan promosi istimewa berharga RM310 untuk dua hari satu malam untuk dua orang termasuk bilik deluxe, bufet Ramadan dan sahur.
Taiping dianugerahkan status bandar warisan dan bandar lestari pelancongan antara terbaik di dunia kerana mempunyai pelbagai lokasi bersejarah dan khazanah tidak ternilai.
Terkini Taiping sekali lagi mencipta nama dengan mencatatkan rekod baru dengan menghasilkan sebuah lukisan mural tiga dimensi terbesar di Malaysia iaitu lukisan Amelia Mary Earhart.
Lukisan mural Amelia Earhart ini menceritakan penerbangan solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik di mana beliau telah singgah untuk mengisi bahan api di Lapangan Terbang Tekkah, Taiping di mana ketika itu ia merupakan lapangan terbang pertama Malaysia pada 20 Jun 1937. Tetapi sejarah mencatatkan beliau telah hilang di lautan Atlantik dan tidak kembali.
Lukisan mural ini mendapat pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records sebagai lukisan terbesar (The Biggest Outdoor 3D Mural Painting) dengan ukuran 14.60 m (47 kaki) tinggi dengan kelebaran 27.44m (90 kaki) dengan keseluruhan keluasan 281.07 meter persegi.
Menurut Perak Today, lukisan mural berkenaan telah siap pada 31 Ogos yang lalu dan ditambahbaik menjadi lukisan 3D di mana kosnya secara 100 peratus ditaja oleh pihak penaja swasta. Dimaklumkan bahawa kos ini berjumlah RM280,000 untuk menghasilkan lukisan sedemikian yang telah dijayakan oleh enam orang pelukis dengan menggunakan tujuh warna yang berbeza iaitu putih, kelabu, light grey, medium grey, dark grey, hitam dan warna emas di mana cat-cat yang digunakan merupakan cat kalis air dan tahan cuaca.
Kalau ke Taiping jangan lupa singgah untuk mengambil gambar kenang-kenagan di sini ya!