Travel

Kilauan Cartier Di Melbourne, Pameran Eksklusif Wajib Singgah Buat Pencinta Seni & Travel

Share

Melbourne sememangnya tidak pernah kehabisan alasan untuk dikunjungi. Dari lorong seni yang penuh karakter hingga kafe hipster yang ikonik, kota ini sentiasa menawarkan pengalaman yang berlapis.

Namun tahun ini, ada satu tarikan yang membawa dimensi berbeza, lebih mewah, lebih artistik dan sarat dengan sejarah. Pameran eksklusif daripada rumah barang kemas legenda dunia, Cartier kini mengambil alih ruang NGV International, menjadikannya antara destinasi wajib singgah buat pencinta seni dan gaya hidup premium.

Lebih 300 Koleksi, Dari Kerabat Diraja Ke Selebriti Dunia

Bermula 12 Jun hingga 4 Oktober 2026 akan datang, pameran ini bakal menghimpunkan lebih 300 koleksi luar biasa merangkumi tiara, rantai leher, brooch, jam tangan mewah serta batu permata yang jarang dipertontonkan kepada umum. Menariknya, sebahagian besar koleksi ini belum pernah dipamerkan di Australia sebelum ini, menjadikan pengalaman ini cukup eksklusif.

Keistimewaan pameran ini bukan sekadar pada jumlah koleksi, tetapi kisah di sebalik setiap rekaan. Antara yang mencuri perhatian termasuklah barang kemas yang pernah dimiliki dan dipakai oleh figura terkenal dunia seperti Elizabeth Taylor dan Rihanna. Lebih 20 tiara turut dipamerkan, melambangkan simbol keanggunan dan status yang suatu ketika dahulu hanya menghiasi golongan bangsawan.

Pameran ini juga membawa pengunjung menyelami perjalanan panjang Cartier daripada sebuah perniagaan keluarga di Paris kepada jenama global yang menjadi simbol kemewahan. Evolusi gaya, pengaruh budaya dan inovasi rekaan semuanya dipaparkan secara tersusun, menjadikan pengalaman ini terasa seperti satu perjalanan merentas masa.

Koleksi Duchess of Windsor Jadi Tumpuan

Salah satu segmen yang paling mencuri perhatian adalah koleksi milik bekas Duchess of Windsor, Wallis Simpson, figura yang cukup dikenali dengan gaya berani dan citarasa luar biasa. Antara yang dipamerkan termasuk Flamingo brooch yang ikonik, sebuah rekaan berwarna-warni yang mencerminkan personalitinya yang flamboyan.

Turut dipertontonkan ialah Bib necklace yang dihiasi berlian, amethyst dan turquoise, serta Panther sapphire clip brooch yang menampilkan batu sapphire bersaiz besar yang memukau. Setiap rekaan ini bukan sahaja melambangkan kemewahan, tetapi juga keupayaan Cartier dalam menghasilkan karya yang begitu peribadi dan penuh karakter.

Pengalaman Visual Yang Imersif & Wajib Masuk Itinerary

Apa yang menjadikan pameran ini lebih daripada sekadar galeri adalah konsep persembahannya yang immersive. Ruang pameran direka dengan permainan cahaya, warna dan material yang diinspirasikan daripada identiti rekaan Cartier, menjadikan setiap sudut terasa hidup dan artistik.

Selain itu, pameran ini turut mengetengahkan aspek craftsmanship dan inovasi, termasuk bagaimana batu permata terbaik dunia diperoleh dan diolah menjadi karya seni yang halus. Ia membuka perspektif bahawa barang kemas bukan sekadar simbol kekayaan, tetapi juga ekspresi seni dan budaya.

Bagi yang merancang ke Melbourne tahun ini, pameran ini wajar dimasukkan dalam itinerary. Dalam dunia travel hari ini, pengalaman yang unik dan penuh cerita semakin menjadi pilihan, dan pameran ini jelas menawarkan sesuatu yang berbeza, elegan dan sukar dilupakan.

Oleh
Fiezreen