Sarawak menawarkan pelbagai macam keistimewaan yang pasti membuatkan sesiapa saja teruja untuk berkunjung ke Bumi Kenyalang ini. Membeli-belah di Sarawak juga merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan, selain menjanjikan pengalaman yang berbeza di mana pengunjung akan disajikan dengan pelbagai produk tempatan seperti cenderamata hasil kraftangan, produk kering juga bahan makanan basah untuk di bawa pulang.
Dengan rangkaian produk yang pelbagai, sesiapa sahaja yang berkunjung ke Sarawak pasti rambang mata untuk membawa pulang signature produk utama Sarawak seperti Kek Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Lada Hitam dan juga hasil kraf. Bahkan ada yang mengatakan, jika produk-produk tersebut tidak dibeli, tidak lengkap rasanya kunjungan ke Sarawak.
Bazar Utama Kuching – Pusat Jualan Kraftangan Sarawak
Bazar Utama Kuching (Kuching Main Baazar) merupakan jalan tertua dan menjadi nadi kepada bandar Kuching lama. Pengunjung pasti terpegun melihat binaan reka bentuk rumah kedai lama masyarakat Cina yang telah didiami oleh beberapa generasi keluarga. Sekiranya menginap di hotel sekitar bandar raya Kuching jangan melepaskan peluang mengunjungi Bazaar Utama Kuching untuk membeli atau sekurang-kurangnya melihat kepelbagaian hasil seni dan kraf tangan buatan masyarakat tempatan. Daripada barang ukiran hinggalah hasil tenunan sendiri, semuanya boleh didapati pada harga yang murah. Pelbagai kedai kraftangan dan cendermata boleh ditemui di sini, dan telah menjadi kawasan tumpuan pelancong untuk membeli-belah.
Antara produk jualan kraf yang boleh didapati di sini adalah tikar Sarawak, kain Pua, rantai manik, beg anyaman, perhiasan rumah dan banyak lagi. Bertentangan dengannya pula ialah laluan jalan kaki terkenal, Tebingan Kuching atau lebih popular dipanggil waterfront yang merupakan bekas pelabuhan kapal-kapal dagang yang menjadikan tempat itu sebagai tapak permulaan bandar Kuching. Dari situ, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar dari seberang sungai dengan menaiki bot tambang yang pernah menjadi pengangkutan terpenting suatu ketika dulu.
Kek Lapis Sarawak
Salah satu daripada produk signature Sarawak yang seringkali mendapat perhatian ramai adalah kek lapis Sarawak yang merupakan sejenis kuih pemanis mulut yang wajib ada di atas meja di rumah masyarakat Melayu Sarawak. Jika berkunjung ke Kuching, singgah sebentar di mana-mana sahaja kedai yang menjual Kek Lapis Sarawak, anda pasti kagum melihat lebih 50 jenis kek lapis Sarawak yang pelbagai warna, cantik dan halus buatannya dihasilkan setiap hari.
Ads
Antara jenis kek yang seringkali ditawarkan ialah kek lapis keju coklat, coklat Cadbury, masam manis, oreo, blueberi keju, nescafe cappuchino dan banyak lagi. Namun yang paling sedap dan mendapat permintaan ramai ialah kek lapis masam manis. Kek lapis yang diletak di luar peti sejuk boleh tahan sehingga satu minggu manakala jika disimpan dalam peti sejuk dan tidak dipotong, boleh tahan sehingga tiga bulan. .
Medan Niaga Satok- Terubuk ikan masin
Medan Niaga Satok merupakan pasar yang menghimpunkan pelbagai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung. Menariknya di sini terdapat banyak gerai yang menjual ikan terubuk masin. Ikan terubuk masin menjadi satu kemestian kepada mereka yang berkunjung ke Sarawak untuk membeli dan membawa pulang ke tempat masing-masing. Maka, tidak hairan jika seseorang itu melancong ke Bumi Kenyalang tidak akan lupa singgah membeli ikan terubuk masin yang banyak dijual di Medan Niaga Satok sebagai buah tangan untuk sanak-saudara serta sahabat handai.
Ads
Mungkin berasa segan untuk menghadiahkan ikan masin sebagai buah tangan atau ole-ole dari Sarawak tetapi jangan risau, kerana keenakan rasa ikan itu pasti akan menambat hati mereka untuk terus mendapatkan ikan-ikan terubuk masin ini. Kelebihan ikan terubuk masin Sarawak terletak pada jenis ikan dan teknik ketika memprosesnya. Ikan terubuk tempatan ternyata lebih berkualiti dengan isinya yang lebih cantik dan lebih segar berbanding ikan terubuk import yang sedikit tawar.
Jangan risau jika ingin membawa pulang ke Semenanjung dan menaiki pesawat kerana kebanyakan pengusaha ikan terubuk masin di pasar ini mempunyai teknik tersendiri untuk melakukan pembungkusan ikan agar ia boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tanpa mengeluarkan bau, basah dan ikan ini mampu bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari di dalam kotak berkenaan.
Pasar Tamu Serian
Bandar Serian terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Kuching menjadi destinasi riadah dan lokasi membeli belah pada hujung minggu. Kemunculan pusat komersil serta Pasar Tamu Serian yang terkenal dengan produk serta hasil hutannya membolehkan pengunjung mendapatkan segala jenis keperluan di situ. Di Pasar Tamu Serian terdapat pelabgai gerai-gerai menjual bekalan basah, sayur-sayuran kampung, buah-buahan tempatan dan kuih tradisional Sarawak yang sering dijadikan buah tangan pelancong. Harga yang ditawarkan juga berbaloi dan murah berbanding di kawasan lain.
Ads
Buah tempatan yang diberi jolokan buah Kristal Sarawak merupakan ole-ole yang mesti dibeli jika berada di Pasar Tamu Serian ini. Rasanya sangat sedap dan manis, seakan buah laici dan mata kucing.
Kilang Pemprosesan Lada, Sri Aman
Lada merupakan rempah yang digunakan dengan meluas sebagai perasa makanan sejak berkurun lamanya. Di Sarawak, lada telah ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula pada tahun 1900-an. Kini, lada merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Lada banyak ditanam di beberapa daerah seperti di bahagian Sri Aman.
Jika berada di Sri Aman, jangan lupa untuk singgah ke kilang pemprosesan lada iaitu Aromatic Black Pepper. Terdapat dua jenis lada yang biasa dijumpai di Sarawak sebagai rempah iaitu lada hitam dan lada putih. Kedua-duanya dihasilkan dari buah lada hitam melalui dua proses yang berbeza. Lada hitam dihasilkan dengan cara menjemur dan mengeringkan buahnya yang belum masak di atas api hingga kulitnya berubah menjadi hitam dan berkeriput.
Lada putih pula dihasilkan dengan memetik buah yang hampir masa, ia kemudiannya direndam untuk memudahkan proses pengupasan. Lada putih mempunyai bau yang lebih kuat dari lada hitam, tetapi bau lada hitam lebih wangi dari lada putih. Pengunjung juga berpeluang untuk membeli lada di sini yang dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding di pasaran.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
New Zealand dipilih sebagai lokasi percutian kerana ia terkenal dengan pemandangannya yang sangat indah, sesuai dengan tujuan percutian kali ini yang lebih kepada merehatkan minda serta lari sebentar dari kesibukan kerja. Memilih syarikat penerbangan Malaysia Airline, saya serta beberapa ahli keluarga yang lain telah menempah tiket seminggu sebelum percutian dengan harga RM2600.00 seorang untuk perjalanan pergi balik Malaysia dan Auckland, New Zealand.
Pada hari kejadian, kami berangkat dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada jam 11.20 malam. Perjalanan mengambil masa selama 10 jam dan kami selamat tiba di Auckland Airport, New Zealand pada jam 12.00 tengah hari. Dengan menaiki Super Shuttle atau van yang telah ditempah dari Malaysia melalui atas talian, kami bergerak ke rumah apartment di tengah bandar Auckland bersebelahan dengan Sky Tower. Harga perkhidmatan Super Shuttle adalah NZ$55, sedikit murah berbanding teksi NZ$70.
Mission Bay
Dengan mengikut itinerari yang disusun, kami pergi ke Mission Bay pada hari kedua dengan menaiki Uber berharga NZ$16. Perjalanan dari Auckland ke Mission Bay mengambil masa 15 minit sahaja. Ini merupakan salah satu tempat yang disyorkan sekiranya anda bercuti di New Zealand. Pantai yang cantik, dengan pasir putih serta rumput yang kehijauan semestinya dapat memberi ketenangan jiwa. Di sini terdapat banyak pilihan kafe dan outlet makanan, kami tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera di kedai Fish & Chips serta menikmati pencuci mulut, kek dan aiskrim. Setelah hampir seharian berada di sana, kami pulang semula ke Auckland untuk berehat.
Christchurch
Hari seterusnnya, kami berangkat ke Christchurch menaiki Jetstar, dengan harga tiket lebih kurang RM400 seorang dan perjalanan mengambil masa 1 jam 40 minit. Setibanya di Chrischurch, kami menguruskan hal pengangkutan dengan menyewa campervan dari Syarikat Juicy dan terus bergerak ke Timaru yang mengambil masa 2 jam 30 minit. Kami merancang untuk melakukan roadtrip dengan menggunakan campervan kerana ia merupakan cara yang paling efektif, dengan kemudahan yang disediakan seperti katil, meja makan serta dapur masak. Di Malaysia biasanya disebut sebagai caravan di mana ia adalah seperti kontena yang diubahsuai menjadi mini rumah, tetapi bezanya ia perlu ditarik menggunakan kenderaan.
Timaru
Kami memilih campsite Timaru Top 10 Holiday Park sebagai lokasi penginapan dan kami berasa seperti berada di rumah sendiri kerana kemudahan yang lengkap termasuklah bilik mandi, dapur, dobi dan lain-lain. Di sini, kami dapat berkenalan dan beramah mesra dengan pengunjung dari pelbagai negara. Masing-masing tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam kerana suhunya yang mencecah -3 Darjah Celcius.
Queenstown
Dari Timaru, kami meneruskan perjalanan ke Queenstown yang mengambil masa selama lebih kurang 4 jam dengan menaiki van dan perkara yang paling menarik ialah kami telah melalui kawasan berbukit-bukau yang sangat indah, dengan tasik serta ladang biri-biri dan lembu yang terbentang luas. Lokasi penginapan jenis standard cabin dipilih di Queenstown Top 10 Holiday Park, dimana penghuni di kabin ini harus berkongsi dapur serta tandas bersama pengunjung-pengunjung lain. Bagi sesiapa yang ingin memasak, anda tidak perlu risau kerana ruangan yang disediakan sangat luas dan bersih. Penghuni hanya perlu membawa peralatan memasak seperti kuali dan lain-lain.
Skyline Gondola
Queenstown adalah sebuah bandar yang dikelilingi tasik dan banjaran gunung yang indah dan antara tempat yang harus dikunjungi ialah Skyline Gondola. Ia boleh dikatakan seperti kereta kabel yang membawa pengunjung ke puncak bukit untuk melihat keindahan bandar Queenstown. Harga Skyline Gondola adalah NZ$39 untuk seorang dewasa. Pemandangan yang kami lihat sepanjang menaiki gondola sememangnya tidak akan kami dapat lupakan kerana ia sungguh indah tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.
Lake Tekapo
Keesokan harinya, kami bergerak ke Lake Tekapo dan perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Lake Tekapo merupakan tasik kedua terbesar di New Zealand dan ia merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana pemandangannya yang sangat cantik dan luar biasa dengan air tasik yang berwarna seperti cahaya kebiruan, tanah rumput yang cantik, serta kelihatan dari jauh gunung yang disaluti salji. Kami sekeluarga meluangkan masa bersantai di tepi tasik sambil menikmati keindahan suasana. Selepas hampir 2 jam berada di sana, kami pulang semula ke Chrischurch.
Geraldine
Dalam perjalanan dari Lake Tekapo ke Chrischurch, kami singgah di Geraldine yang merupakan sebuah perkampungan kecil terletak jauh dari kawasan bandar. Setibanya di pekan Geraldine, kami terus ke The Barker’s Shop iaitu kedai menjual pelbagai jenis jem, chutney, sos dan bermacam-macam lagi. Sesuai lah untuk dijadikan sebagai buah tangan atau ole-ole apabila pulang ke Malaysia nanti. Setelah selesai membeli-belah, kami teruskan perjalanan ke Chrischurch untuk menetap di sana semalaman sebelum pulang ke tanah air.
Auckland
Sejak dari awal pagi lagi, kami telah bergerak ke Auckland dengan menaiki Jetstar dan setibanya di Auckland Airport, kami menunggu beberapa jam lagi untuk menaiki penerbangan ke Malaysia. Berat hati mahu meninggalkan negara sejuk ini, walaubagaimanapun kami pasti akan kembali lagi ke sana dengan membawa lebih ramai lagi ahli keluarga lain. Selamat tinggal New Zealand, terima kasih untuk segala kenangan manis dan memori indah!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Terengganu akan memperkenalkan ‘pasar terapung’ sebagai satu lagi produk pelancongan sebagai tarikan terbaharu terutama kepada pengujung luar. Kuala Nerus ‘Floating Market’ dijangka akan menjadi destinasi tarikan yang pertama pasar terapung di negeri Terengganu.
Walaupun masih dalam peringkat cadangan namun lokasi di Seberang Takir adalah lokasi paling strategik untuk tujuan tersebut. Ini kerana, Seberang Takir mempunyai panorama yang agak indah untuk dilakukan aktiviti sebegini. Ditambah dengan kawasan yang berlatarkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang perlu dimanfaatkan.
Usaha yang dijangka menarik lebih ramai pelancong itu turut melibatkan perkhidmatan bot penambang sekali gus mampu mentransformasikan pengangkutan tradisi yang telah berusia lebih 60 tahun itu.
Penduduk tempatan negeri ini juga bakal menikmati suasana seperti berada di pasar terapung yang boleh didapati di Kampung Pulau Suri di Kelantan dan seperti pasar terapung Klong Hae di Hatyai.
Bagaimanapun, konsep pasar terapung Seberang Takir mungkin menampilkan sedikit kelainan daripada pasar terapung biasa dan ia masih belum diputuskan jawatankuasa terbabit.
Harap-harap cadangan ini cepatlah menjadi kenyataan. Zaman sekarang, apabila ada sesuatu destinasi yang menjadi tular pasti ramai akan datang ke lokasi tersebut.
Bukit Canada digelar The Grand Old Lady, ia bukanlah seorang si wanita tua tetapi sebenarnya telaga minyak Miri Nombor 1, telaga minyak pertama di negara ini yang menggunakan kaedah alat kabel.
Sejak 1910, Si Wanita Tua yang terletak 150 meter di atas paras laut, telah menyaksikan pelbagai sejarah dan pembangunan fizikal yang berlaku di bandar Miri yang kaya dengan hasil minyak ini, tetapi juga industri pelancongannya yang menarik.
Berdasarkan fakta, Si Wanita Tua itu mempunyai sejarah yang boleh ditelusuri sejak lewat tahun 1800-an semasa Residen Baram ketika itu, Claude Champion de Crespigny, menjumpai minyak di bawah tanah wilayah Baram.
Pada 1888, Charles Hose yang mengambil alih sebagai Residen Baram selepas itu meneruskan usaha Crespigny dan sebelum bersara, Hose telah menjalankan satu kajian yang intensif mengenai kewujudan minyak di sana.
Erb kemudian memutuskan untuk membina telaga minyak di atas puncak bukit itu dan seorang rakyat Kanada bernama McAlpine, ditugaskan mendirikan telaga minyak itu. Bukit itu dinamakan sebagai Bukit Kanada sebagai menghargai sumbangannya itu.
Pada 10 Ogos 1910, McAlpine berjaya menyiapkan sebuah menara kayu setinggi 87 meter, yang kini dikenali sebagai ‘Si Wanita Tua’ dan tidak lama selepas itu, kerja-kerja menggali pun dimulakan dengan menggunakan kaedah alat kabel, satu-satunya kaedah menggali minyak yang diketahui pada waktu itu.
Selepas beberapa bulan tidak menghasilkan apa-apa, mereka akhirnya menjumpai minyak di bukit itu pada 22 Dis 1910 pada paras kedalaman 150 meter. Memandangkan Si Wanita Tua itu mempunyai nilai sentimental kepada Miri, sebuah Muzium Petroleum telah didirikan di sebelahnya.
Muzium Sains Petroleum Miri merupakan salah satu tarikan utama pengunjung di bandar ini. Dari muzium ini, para pengunjung boleh menikmati pemandangan indah bandar raya Miri dan Laut China Selatan. Sebaik menjejakkan kaki ke muzium, pelawat seolah-olah dibawa kembali ke era bermulanya industri petroleum di Miri.
Muzium ini begitu unik kerana adanya patung manusia yang sedang menggerudi minyak selain menara yang tinggi menjulang langit. Selain lengkap dengan sejarah perkembangan petroleum, pengunjung pasti tertarik dengan reka bentuk bangunan muzium.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...