Macam-Macam Ada Di Pekan, Bandar Diraja Pahang. Ini 10 Destinasi Wajib Singgah

Share

Pekan, merupakan daerah yang tidak asing lagi buat negeri Pahang. Pekan, Bandar Diraja punya keunikan dan tarikan tersendiri yang boleh diteroka.

Nama Pekan diambil dari sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang.Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.

Pekan terletak 44 kilometer dari bandar Kuantan dan mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan dan terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Di Raja negeri ini. Pekan nyata destinasi percutian yang bukan saja menawarkan pelbagai tarikan menarik tetapi punya destinasi pelbagai menjadi tumpuan ramai.

  • Memancing Udang Galah & Ikan Sungai

Sungai Pahang sememangnya kaya dengan hasil terutama udang galah serta pelbagai ikan sungai. Mengikuti aktiviti menyusur sungai Pahang ini juga membawa pengunjung melihat sendiri perkampungan Kemboja yang menghuni pesisir sungai selain aktiviti harian mereka yang mengusahakan ikan sangkar.

  • Meaw Island

Bagi peminat kucing, jangan lepaskan peluang menyusuri Sungai dengan menggunakan kemudahan River Cruise ke Pulau Kucing atau Meaw Island. Berada di pulau ini bagai memberi satu kedamaian. Kucing-kucing terbiar yang dihantar ke pulau itu hidup bebas di kawasan yang dibangun begitu cantik. Di sini, tersedia tempat khusus buat pengunjung yang datang untuk bermesra dan melayan kerenah kucing-kucing yang ada serta pelbagai aktiviti lain termasuk meredah hutan.

  • Pekan Riverfront

Pekan Riverfront dahulunya hanya pulau kecil namun kini menjadi tumpuan bukan saja penduduk tetapi penganjur yang ingin mengadakan pelbagai acara selepas dibangunkan kembali. Ia kini menjadi lokasi beriadah seisi keluarga dan lokasi bersantai bersama rakan sambil menikmati pemandangan indah.

  • Pantai Air Leleh

Pantai Air Leleh merupakan lokasi dicadangkan jika ingin melihat anorama indah matahari terbenam, nyata memberikan penutup hari yang mendamaikan. Jangan lepaskan peluang untuk merakam foto indah sambil duduk di atas buaian ‘besar’ yang disediakan.

  • Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi

Pekan sememangnya terkenal dengan hasil tenun yang bukan saja halus pembuatannya tetapi juga menawarkan pelbagai jenis corak dan fabrik yang menarik. Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap. Hasilnya yang cantik itu boleh dibeli secara terus atau membuat tempahan terlebih dahulu dengan memilih pelbagai jenis corak kain yang disediakan.

  • Muzium Sultan Abu Bakar

Bagi yang meminati sejarah Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar pastinya tidak mengecewakan dengan pelbagai galeri artifak, seramik, arkeologi dan kesenian. Mengunjungi Galeri Tun Teja di Muzium Sultan Abu Bakar juga nyata tidak mengecewakan terutama anda yang mencintai hasil kraf yang unik dan halus pembuatannya. Di dalam galeri ini dipamerkan rekaan baju diperbuat daripada kain tenun dan direka oleh pereka terkemuka negara. Sesuatu yang menarik perhatian di galeri ini bukan saja rekaan atau perincian setiap baju tetapi kain tenun yang digunakan. Pelbagai warna, rekaan dan corak yang sememangnya cukup mengujakan.

  • Muzium Masjid Sultan Abdullah

Bandar Diraja ini juga terkenal dengan tinggalan sejarahnya terutama bangunan lama seperti Muzium Masjid Sultan Abdullah. Muzium ini juga terkenal dengan gelaran ‘Taj Mahal’ Pekan dek warnanya putih, struktur binaannya yang unik dan kolam air di pekarangan masjid membuatkan ia kelihatan seperti klon kepada salah satu keajaiban dunia, Taj Mahal. Turut dikenali sebagai Masjid Putih, masjid ketiga terawal di bandar Pekan ini dibina dengan reka bentuk ‘Moorish’ dan berkonsepkan muzium dalam taman. Muzium ini mengandungi pelbagai komponen seperti ruang pameran, ruang solat, ruang diskusi dan ilmiah dengan mengetengahkan tiga segmen utama iaitu Sumbangan Islam dalam Tamadun Dunia, Islam di Pahang dan Koleksi Diraja.

  • Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak

Rumah Kelahiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak juga tidak harus lupa untuk dikunjungi. Terletak di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, rumah ini adalah rumah yang dibina semula mengikut reka bentuk asalnya oleh tukang yang mahir.

  • Pekan Sehari, Pekan

Ingin mencari juadan tempatan? Pekan Sehari terletak di pinggir Sungai Pahang dekat Kuala Semantan punya tarikan tersendiri terutama makanan tradisionalnya iaitu kuih Qasidah, Suji, Apam Baghdad, lemang periuk kera dan banyak lagi. Pilihan sayur kampung serta ikan sungai segar dan udang galah juga boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan.

  • Murtabak Mengkasar

Menjamu selera juga adalah daya tarikan sesebuah destinasi percutian dan Pekan juga tidak kurang hebatnya. Apa kata cuba kelazatan Murtabak Makassar yang punya keenakan tersendiri dan lebih tebal berbanding murtabak biasa kerana memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dengan 21 jenis rempah-ratus berkualiti dan dimasak garing. Bagi yang sukakan keju, murtabak Mengkasar special memberikan anda rasa keju yang enak dan tidak memuakkan sekali gus membuatkan anda makan sehingga menjilat jari.

  • Makan Malam Ikan Bakar Segar

Pada malam hari, disekitar Pekan, banyak premis makanan menawarkan sajian makanan laut segar. Jangan lupa untuk singgah dan penuhkan perut anda dengan sajian yang lazat.

 

Sumber Foto: Google Image| HMOnline

IKLAN