
Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan ‘travel bubble’ dengan enam negara iaitu Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan. Keputusan itu, bagaimanapun, belum dimuktamadkan lagi memandangkan persetujuan bersama mengenai prosedur operasi standard (SOP) dengan negara-negara tersebut masih dalam perbincangan.
Jika sempadan antarabangsa di buka semula, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan peningkatan jumlah penumpang susulan kebenaran perjalanan antara koridor selamat atau 'travel bubble'.
Photo: Hafzi Mohamed / TMR
Sebelum ini, pengendali di lapangan terbang tidak menghentikan operasinya sepanjang pandemik COVID-19 dan telah melaksanakan langkah pencegahan tambahan untuk memastikan keselamatan penumpang, termasuk meletakkan mesin pengimbas suhu badan di lapangan terbang, mewajibkan penggunaan pelitup separuh muka serta mengehadkan tempat masuk dan keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Hanya jumlah penerbangan yang dikurangkan hingga di bawah 5.0 peratus. Walaupun semasa kemuncak wabak ini, MAHB masih mengendalikan kira-kira 5,000 hingga 10,000 penumpang sehari melalui KLIA dengan beberapa penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari seluruh dunia.
Pemain Industri Pelancongan Kecewa Belanjawan 2021. Lebih RM100 Juta Untuk Sektor Pelancongan Tetapi Hanya Untuk Sebahagian Sektor Sahaja?

Pada Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan lebih RM100 juta diberikan untuk sektor pelancongan.
Antaranya:
- Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kerajaan bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara dalam memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong.
- RM20 juta pula diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung-kampung budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.
- Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi memastikan bangunan warisan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara terus kekal terpelihara dan menjadi ikon pelancongan.
- Sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan yang berpotensi sebagai industri pelaburan baharu negara.
- Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport pekhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga 2022
- Turut diumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong akibat COVID-19. Geran khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.
- Pengecualian levi tabung Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan diberikan selama enam bulan berkuatkuasa 1 Januari 2021 bagi mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas.
1)
Namun begitu Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021. Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun, mendakwa ia berikutan kerajaan hanya menyentuh beberapa sektor dalam industri pelancongan sahaja.
“Adakah peniaga dan penjaja PKS pelancongan yang terjejas hanya berlaku di Sabah? Bagaimana pula keadaan peniaga di Sarawak mahupun di Semenanjung? Mungkin di mata kerajaan, peniaga-peniaga selain di Sabah ini masih mengaut keuntungan pada ketika ini? Jadi kami tidak faham rasional kerajaan hanya menyalurkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 hanya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya kini hanya bergantung harap kepada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada Jun lalu, namun tetap tidak berpuas hati dengan penyampaiannya.
“Penggiat pelancongan berasa seperti dipermainkan oleh pihak institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, hanya tiga peratus dana tersebut telah diluluskan permohonannya. Sebab itu kami mengesyorkan supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menguruskan dana tersebut kerana MOTAC lebih memahami keadaan penggiat pelancongan ketika ini,” ujarnya.
Mereka juga kecewa kerana harapan kerajaan dapat memberikan penyelesaian terhadap pinjaman kenderaan oleh pengusaha bas persiaran yang ditekan oleh syarikat pemberian kredit, tidak kesampaian.
“Bas-bas semuanya tidak dapat beroperasi dan memungkinkan mereka menjadi bankrap. Bukannya kena menunggu untuk penggubalan Akta Kredit Pengguna yang kita tidak tahu bila akan dibahas dan digazetkan. Inilah membuatkan kami sangat kecewa dengan Belanjawan 2021 kerana besar kemungkinan (sebahagian besar) daripada 3.6 juta tenaga kerja di dalam sektor pelancongan bakal hilang mata pencarian,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia mengucapkan terima kasih kerana kerajaan menyediakan peruntukan latihan kepada kakitangan syarikat penerbangan, namun mempersoalkan nasib kakitangan hotel yang terpaksa dihentikan operasi.
2)
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia juga turut menyatakan kekecewaan dengan Bajet2021 yang dibentangkan semalam kerana kebajikan pemain industri pelancongan negara seolah-olah tidak dilihat..
Sebelum wabak COVID-19 melanda negara, pelancongan adalah sektor penting yang menyumbang kepada pendapatan negara. Bagaimanapun ketika ini, pemain industri pelancongan tenat dengan kebanyakannya menunggu masa untuk gulung tikar
Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berharap kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa memandangkan kebanyakan ahlinya hilang punca pendapatan sejak Februari lalu.
Kami merayu kepada kerajaan untuk membuka pintu sempadan antarabangsa kepada jemaah Malaysia bagi mengerjakan ibadat umrah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai 1 Januari 2021 selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Disember 2020 ini.
Mereka juga mencadangkan kerajaan membenarkan pelancong dari negara hijau untuk melawat Malaysia dengan SOP ketat seperti kuarantin 14 hari sebaik tiba serta mewajibkan insuran perjalanan. Beliau turut berkata, satu-satunya harapan pemain industri pelancongan adalah melalui skim di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Jun lalu.
“Bagaimanapun ahli kami merasa seperti dipersendakan oleh institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, hanya tiga peratus daripada dana berkenaan yang diluluskan. Ada di antara ahli PAPUH yang mengusahakan kenderaan pelancongan amat terkesan pada masa ini yang mana rata-rata menggunakan khidmat syarikat kredit untuk pinjaman. Syarikat ini ini tidak membantu langsung dalam penyusunan semula jadual pembayaran balik pinjaman dalam keadaan yang sukar sekarang,” katanya.
image via pexels.com & google image | Sumber: Sinar Harian | Astroawani |Bernama | BHOnline
5 Jenis Scam Yang Selalu Pelancong Kena Di Luar Negara, Anda Perlu Berhati-Hati!

Ketika anda nak keluar bercuti, mesti ada beberapa langkah keselamatan yang anda amalkan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan atau jenayah sesetengah pihak kan?
Walaupun begitu, kita tetap terkena dengan penipuan yang licik oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan ini.
Jadi, untuk menjadikan anda lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku sewaktu anda bercuti lebih-lebih lagi diluar negara, ini lima taktik penipuan yang sering berlaku dan anda akan lebih peka dengan keadaan sekeliling selepas membaca artikel ini.
Penipuan tukaran wang
Selalunya, penipuan semasa anda menukar matawang boleh berlaku jika anda tidak mengira wang yang diterima atau lebih teruk, anda mungkin diberi wang palsu oleh pengurup wang yang tidak bertauliah.
Tolak dan ragut
Taktik ini paling kerap berlaku di luar negara terutama jika anda berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai seperti menaiki pengangkutan awam. Ketika itulah penyeluk saku atau peragut akan menolak anda dan mencuri dompet dari dalam beg.
Didekati OKU
Sebenarnya, tak semua Orang Kurang Upaya (OKU) yang meminta derma benar-benar cacat. Hal ini kerana ada penipu yang menyamar menjadi OKU dan meminta derma daripada anda atau memaksa anda memberi wang kepada mereka.
Menyamar jadi polis
Jangan mudah terpedaya dengan si pencuri yang menyamar jadi polis! Jangan panik jika anda tiba-tiba ditahan dan diarahkan menunjukkan dokumen pengenalan atau memeriksa barangan kerana kemungkinan besar mereka akan meletakkan barang larangan seperti dadah dalam barangan anda dan kemudian mendakwa anda telah melanggar peraturan serta terpaksa membayar denda jika mahu dilepaskan.
Teksi tak guna meter
Taktik penipuan ini sangat popular di seluruh dunia termasuklah negara kita. Jadi, anda harus berwaspada dengan meter teksi semasa melancong di luar negara untuk memastikan anda tidak ditipu.
Biasanya pemandu teksi akan memberitahu bahawa meter rosak dan terus mengenakan harga tetap yang tinggi kepada anda.
Ada juga pemandu yang akan menggunakan jalan jauh semata-mata untuk mengenakan caj mahal walaupun menggunakan meter. Pertahankan hak anda sebagai penumpang jika berlaku insiden seperti ini.
Menarik! KL Bird Park Tawar Promosi Tiket Masuk Serendah RM6 Seorang Sehingga 31 Julai

Bagi anda yang berada di sekitar atau berhampiran dengan Kuala Lumpur dan tidak tahu ingin ke mana membawa keluarga, apa kata singgah ke KL Bird Park (Taman Burung Kuala Lumpur). Terletak berhampiran Taman Tasik Perdana, destinasi ini sangat terkenal serta sesuai untuk mereka yang cintakan haiwan dan alam sekitar.
Sempena pembukaan semula KL Bird Park dalam tempoh PKPP, ada tawaran promosi tiket istimewa yang berbaloi untuk direbut. Tempoh sah promosi ini hanya boleh didapati sehingga 31 Julai 2020 ini sahaja tau!
- Harga Tiket: Dewasa RM16 (berbanding harga asal RM25), Kanak-kanak (RM6)
- Waktu Operasi: 09:00 pagi – 6:00 petang termasuk Cuti Umum dan Cuti Sekolah
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di KL Bird Park adalah semestinya memerhati perilaku burung terutamanya dikawasan terbuka. Anda boleh melihat pelbagai burung dari jarak dekat seperti merak, burung kenyalang dan bangau. Apabila tiba waktu makan, pengunjung diberi peluang membantu petugas memberi makan kepada burung-burung ini. Antara diet harian yang diberikan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Selain menjadi tempat tumpuan ramai untuk bersantai melihat pelbagai spesies burung, KL Bird Park juga merupakan tempat terbaik untuk sesi pembelajaran buat anak kecil mengenal habitat unggas ini. Menerima lebih 200,000 orang pelawat setiap tahun, KL Bird Park mempunyai anggaran lebih kurang 3000 burung yang mewakili setiap 200 spesies, dengan jumlah keseluruhan unggas yang terdapat di sini sebanyak 600,000 ekor. Kebanyakkan burung-burung ini berasal dari Malaysia. Hanya 10 peratus dari luar Negara.
Jangan lepaskan peluang mengambil gambar kenang-kenangan dengan burung yang berwarna-warni dan cantik di dalam taman itu, iaitu burung Nuri dan Kakak Tua. Jurugambar profesional akan membantu anda untuk mengabadikan detik menarik itu.
Pengunjung juga boleh ke sini dengan menggunakan khidmat bas PERCUMA KL Hop-On Hop-Off City Tour pun boleh. Kemudian pengunjung berpeluang makan di Hornbill Restaurant & Cafe dengan diskaun sebanyak 10 peratus.