
Bila sebut Maldives, ramai terus bayangkan resort mewah, villa atas air dan kos percutian yang tinggi. Sebab itu destinasi ini sering dianggap hanya sesuai untuk golongan berada.
Namun hakikatnya, Maldives juga ada sisi yang lebih mesra bajet, terutama jika memilih untuk menginap di Maafushi, sebuah local island yang popular dalam kalangan pelancong kerana menawarkan penginapan jenis guesthouse pada harga lebih rendah berbanding resort.
Portal rasmi Visit Maldives sendiri membezakan guesthouse sebagai pilihan penginapan berasingan daripada resort, sekali gus menunjukkan bahawa percutian ke negara itu tidak semestinya perlu dibuat secara mewah.
Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Jika menginap di Maafushi, pelancong masih dapat menikmati laut biru jernih, pantai cantik dan suasana tropika yang menjadi tarikan utama Maldives, tetapi dengan bajet yang jauh lebih realistik.
Berdasarkan semakan semasa, harga guesthouse di Maafushi boleh bermula sekitar USD 35.64 semalam untuk dua orang, manakala tambang speedboat dari Velana International Airport ke pulau itu pula sekitar USD25 seorang sehala.
Ini bermaksud, untuk percutian 3 hari 2 malam, bajet asas bagi dua orang untuk penginapan dua malam dan kos transfer pergi balik boleh bermula sekitar
RM680 hingga RM 860, bergantung pada jenis bilik dan musim tempahan.Kalau mahu bercuti dengan lebih selesa, termasuk makan, sedikit bajet untuk aktiviti ringan dan perbelanjaan kecil lain, anggaran sekitar RM1,000 hingga RM1,400 untuk dua orang masih boleh dianggap munasabah untuk trip 3 hari 2 malam di Maafushi, tidak termasuk tiket penerbangan antarabangsa.
Angka ini mungkin berubah ikut musim, pilihan guesthouse dan jenis aktiviti yang diambil, tetapi ia tetap jauh lebih rendah daripada tanggapan bahawa Maldives wajib menelan belanja puluhan ribu ringgit.
BACA LAGI: Kalau Ke Jepun, Wajib Cuba Pakai Kimono. Ini Sebab Ramai Tak Lepaskan Pengalaman Ini
Walaupun tidak menawarkan pengalaman eksklusif seperti resort persendirian, Maafushi tetap memberi peluang untuk menikmati Maldives dalam cara yang lebih santai dan dekat dengan kemampuan pelancong biasa.
Pemandangan lautnya masih memukau, pantainya tetap cantik dan suasananya cukup sesuai untuk berehat daripada kesibukan harian.
Pendek kata, Maldives sebenarnya bukan destinasi kayangan semata-mata. Dengan perancangan yang betul dan pilihan lokasi seperti Maafushi, percutian ke sini masih boleh dinikmati tanpa perlu menunggu bajet terlalu besar.
Kadang-kadang, yang membuatkan sesuatu destinasi nampak mahal bukan tempat itu sendiri, tetapi cara kita memilih untuk bercuti.