
Jauh dari hiruk-pikuk kota dan kesibukan destinasi pelancongan popular, tersembunyi sebuah lokasi eksklusif yang semakin mencuri perhatian pengembara antarabangsa.
Terletak di pesisir Sipalay dalam wilayah Negros Occidental di Filipina, Manami Resort tampil sebagai antara destinasi baharu yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan sentuhan kemewahan bertaraf dunia.
Nama “Manami” yang berasal daripada bahasa Hiligaynon membawa maksud ‘indah’, dan ia bukan sekadar nama, sebaliknya mencerminkan keseluruhan pengalaman yang ditawarkan.

Resort ini dibangunkan di kawasan pantai yang masih terpelihara, dikelilingi air laut jernih, pulau batu kapur serta kehijauan tropika yang menenangkan.
Menariknya, pendekatan pembangunan resort ini tidak menekankan kemegahan fizikal semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada keseimbangan antara struktur binaan dan alam sekitar.
Setiap vila dan kemudahan disusun dengan teliti agar menyatu dengan landskap, membolehkan cahaya semula jadi, angin laut serta panorama sekitar menjadi sebahagian daripada pengalaman penginapan.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Small Luxury Hotels of the World, Manami Resort memenuhi piawaian antarabangsa dalam aspek reka bentuk, perkhidmatan dan pengalaman tetamu.
Pengiktirafan ini meletakkan resort berkenaan sebaris dengan hotel butik terbaik dunia yang menitikberatkan pengalaman peribadi dan eksklusif.
Dari segi penginapan, resort ini menawarkan pelbagai pilihan vila dan suite yang direka dengan konsep ‘indoor-outdoor living’ yang memberikan pengalaman semulajadi yang menenangkan.
Antaranya termasuklah vila dua bilik dengan pemandangan menghadap laut serta kolam infiniti peribadi, selain itu terdapat unit lebih kecil untuk pasangan yang menginginkan suasana intim.
Setiap ruang dilengkapi kemudahan moden, namun tetap mengekalkan elemen seni bina tempatan yang sederhana dan elegan.
Tidak hanya terhad kepada penginapan, pengalaman gastronomi di Manami turut menjadi tarikan utama.

Restoran di resort ini menampilkan gabungan hidangan tempatan Negrense dengan pengaruh antarabangsa, manakala Hunas Sunset Deck & Bar menawarkan suasana santai untuk menikmati minuman dan sajian ringan sambil menyaksikan panorama matahari terbenam.
Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti luar, resort ini menyediakan pelbagai pilihan melalui Balas Dive and Experience Center.
Aktiviti seperti selam skuba, pelayaran pulau dan penerokaan gua membolehkan tetamu menikmati keindahan biodiversiti marin yang masih terpelihara, selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Dalam masa sama, kemudahan spa di Linong Spa menawarkan pengalaman relaksasi berasaskan alam semula jadi.
BACA JUGA: Gaya Resort Dalam Bandar, Hilton Shah Alam Glenmarie Destinasi Staycation Baharu Di Selangor
Terletak di kawasan berbukit, pusat kesejahteraan ini menyediakan rawatan yang menggabungkan terapi tradisional dengan suasana persekitaran yang tenang, sesuai bagi mereka yang ingin merehatkan minda dan tubuh.
Secara keseluruhannya, Manami Resort membuktikan bahawa konsep pelancongan mewah tidak semestinya bergantung kepada kemegahan, sebaliknya terletak pada keupayaan sesuatu destinasi untuk menawarkan ketenangan, privasi dan hubungan yang lebih dekat dengan alam.
Dalam era pelancongan moden yang semakin pantas, resort ini hadir sebagai pilihan bagi mereka yang mendambakan pengalaman yang lebih bermakna dan eksklusif.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!





